BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, September 09, 2010

Surat Pembaca - Lambat Tangkap Apa Yang Guru Ajar

Surat kiriman daripada Capricorn_gurlz93:
sya ssah nk tngkap ape yg ckgu ajr kdg2..especially dlm mta plajran math...sya x prnh llus n spm brape bln je lgi..prob lain..sya ialh sya asyk dpt marks bwh 60 x mcm dlu..always ats 60...tlg bntu sya...


Jawapan daripada Amiene Rev:
Sekiranya saudari ingin memudahkan pemahaman saudari terhadap apa yang guru saudari ajar di dalam kelas. Saudari perlu semak sama ada saudari telah melakukan beberapa perkara seperti di bawah:

Pertama, adakah saudari memberi tumpuan penuh semasa guru mengajar di dalam kelas? Jika ya, maka seharusnya ilmu pertama yang masih segar itu mudah diterima. Kebanyakan pelajar mengabaikan peri pentingnya ajaran pertama. Ajaran pertama guru memiliki kesegaran. Jika saudari gagal memberi tumpuan pada saat ini, maka itu satu kerugian buat saudari. Kosongkan fikiran, betulkan niat belajar, pasti ilmu mudah diterima.

Kedua, adakah saudari tidur secukupnya. Jika saudari sentiasa dalam kepenatan, maka saudari hendaklah cuba mengubah jadual harian saudari. Tidur tidak cukup, otak kurang rehat, saudari mudah penat.

Ketiga, pemakanan. Elakkan makan benda-benda yang haram. Elakkan makan benda-benda yang masam. Elakkan jeruk. Elakkan memakan organ dalaman. Elakkan makan kepala ikan. Pastikan saudari memakan makanan yang baik-baik seperti kismis, kurma dan madu yang terkenal baik untuk otak.

Keempat, ulangkaji pelajaran. Adakah saudari mengulangkaji pelajaran selepas tamat kelas? Adakah saudari melakukan tugasan latihan atau kerja rumah yang diberikan oleh guru? Tugasan latihan atau kerja rumah yang diberikan oleh guru, bertujuan membantu meningkatkan kefahaman saudari secara praktis.

Kelima, bertanyakan soalan. Jika ada apa-apa yang saudari tidak faham, bertanyalah kepada guru. Jangan pula menyampuk semasa guru sedang mengajar. Tunggu masa yang sesuai, atau apabila guru membuka ruang untuk para pelajar bertanyakan soalan.

Keenam, restu guru dan doa. Hendaklah sentiasa menghormati guru, dan sentiasa berdoa agar diberi kebahagiaan dan rahmat kepada guru dan juga memohon kejayaan untuk apa yang saudari pelajari.

Ketujuh, sentiasa membuat penilaian kendiri. Buat latihan untuk setiap soalan dan kenalpasti kesalahan saudari. Di mana silapnya? Bagaimana kesilapan itu boleh berlaku? Apakah cara yang betul? Sekiranya saudari buntu, saudari boleh merujuk permasalahan saudari itu kepada guru atau rakan-rakan yang lebih pandai dalam satu-satu subjek.

Kelapan, sentiasa praktikkan ilmu. Contohnya, untuk Bahasa Melayu. Elakkan penggunaan Bahasa Melayu SMS seperti yang tertulis dalam e-mel saudari. Seharusnya saudari menjadikan lapangan siber ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan penguasaan saudari dari segi aspek bahasa.

Sekian sahaja jawapan saya untuk saudari. Selamat menghadapi Peperiksaan SPM 2010.