BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Ogos 26, 2010

Bonus Raya 2010 - Melaka dan Perak Dapat Duit Raya

Kakitangan awam Perak dapat duit raya RM500


IPOH 25 Ogos – Kerajaan negeri Perak hari ini mengumumkan pemberian bonus kepada kira-kira 7,000 kakitangannya sebelum Hari Raya Aidilfitri ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM3.5 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika mengumumkan berita baik itu berkata, bonus RM500 tersebut diberikan kepada semua kakitangan awam sehingga gred 54 termasuk pesara.

Langkah itu katanya, diambil selaras dengan pengumuman Kerajaan Persekutuan yang memberikan bonus sama kepada kakitangannya.

“Saya harap dengan pemberian bonus raya ini, ia akan dapat meringan beban kakitangan kerajaan khususnya di kalangan kakitangan sokongan yang memerlukan sedikit bantuan.

“Mereka akan mendapat bonus ini sebelum Syawal dan boleh digunakan untuk perbelanjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan bubur lambuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr. Abd. Rahman Hashim serta barisan Exco kerajaan negeri.

Penjawat awam Selangor turut terima duit raya RM500

SHAH ALAM 26 Ogos – Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan pembayaran khas sempena Hari Raya RM500 kepada 9,089 penjawat awam yang berkhidmat di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini berkata, pembayaran bonus hari raya itu melibatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM4.5 juta dan akan dibayar sebelum 1 Syawal.

"Bayaran bonus itu diberi kepada semua petugas kerajaan negeri kecuali dari Gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) ke atas,” katanya.

Khalid juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan bayaran khas RM250 kepada 5,297 guru Kelas Agama dan Fadhu Ain (KAFA) yang akan melibatkan pembayaran berjumlah RM1.3 juta.

Semalam kerajaan Pusat mengumumkan pembayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada lebih 1.24 juta petugas awam dalam Gred 1 hingga 54 dan 590,000 pesara kerajaan yang akan dibuat sebelum 1 Syawal.

Ia kemudian diikuti dengan pengumuman oleh kerajaan negeri Melaka dan Perak, mengenai pemberian bantuan RM500 kepada penjawat awam yang berkhidmat dengan kerajaan negeri. – Bernama