BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Mei 19, 2010

Sup Ayam Ginseng Dan Masalah Darah Beku

Sejak berminggu-minggu lepas, dan pastinya sudah melebihi beberapa bulan yang aku sendiri sudah lupa, aku kehilangan waktu cuti aku kerana terlalu fokus dengan seronok terhadap beberapa skop-skop tugasan dalam kerjayaku. Jawatan-jawatan baru yang bertambah, menyebabkan aku semakin hari semakin sibuk.

Aku menghadapi beberapa masalah kesihatan seperti cepat mengantuk, penat dan pening-pening kepala. Kadangkala laluan langkahku seolah-olah bergoyang-goyang di atas ombak ganas. Namun aku tetap cuba membiasakan diri. Namun hari makin hari, aku dapat merasai kekebasan pada anggota tangan dan kakiku, yang membuktikan kepenatan melampau yang telah aku alami gara-gara kurang rehat dan banyak bekerja.

Baru-baru ini aku pergi membuat pemeriksaan kesihatan dan dari situ aku mengetahui kerana terlalu kuat bekerja, aku telah mengalami masalah darah beku di dalam saraf. Lalu selepas itu aku mula bertindak untuk membersihkan saluran-saluran darah di dalam badanku.

Aku tidak mengambil cuti, cuma pernah rehat. Namun hasilnya berbaloi dengan beberapa keberhasilan dalam kerja, termasuk beberapa kejayaan dan anugerah yang diperolehi dalam waktu yang begitu singkat ini. Syukur kepada Allah yang memberikan kekuatan dan ketabahan kepadaku untuk mengharungi alam pekerjaan yang mencabar dan menyeronokkan ini.

Hari ini, aku cuba memasak sup ayam ginseng untuk membersihkan darah beku di dalam saluran darah. Nampaknya selepas ini, aku aku perlu meneliti alam semula jadi dengan lebih terperinci, untuk menyelami ilmu-ilmu baru. (Seperti biasa, aku menulis menggunakan tatacara kod berbahasa lagi).

Sup ayam ginseng memakan masa yang agak lama untuk dimasak. Sekitar 3 jam. Herba-herba dan ulam merupakan makanan kegemaranku di kampung. Sejak berada di kota metropolitan ini, aku sudah lama tidak menemui herba dan ulam. Profesionalisme dalam kerjaya pula menyebabkan aku makin hari makin jauh daripada kehidupan lalu. Dalam jangka masa terdekat ini pula, aku bercadang membeli sebuah banglo sebagai kenang-kenangan di sini, supaya aku dapat mencari ketenangan dalam privasi, juga menyediakan dewan untuk latihan seni mempertahankan diri pada waktu lapang.

Sesungguhnya, aku cukup rimas jika tidak dapat menggunakan keempat-empat kerat tulangku dalam pelbagai acara seni bela diri, kerana seni bela diri adalah salah satu minat terpendam yang cukup kuat menggelora minta diisi dalam diriku.