BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Februari 11, 2010

Soal Keberkatan

Kali ini saya mahu menulis mengenai keberkatan. Kata orang, tidak berkat ilmu seseorang itu, jika dia tidak menghormati gurunya. Apatah lagi jika seseorang pelajar itu menyakiti hati gurunya.

Hukuman Di Dunia Untuk Murid Yang
Telah Menyakiti Hati Seorang Guru
Penulis: Amiene Rev (C) 2010
Emosiku selaku seorang guru telah lama terluka, tercedera kerana seorang pelajar ini. Pelajar ini terus menerus menyakiti hatiku, dan semakin berlagak serta sombong. Maka ketika itu, aku berserah kepada Tuhan. Ketika itu juga doaku seakan-akan dimakbulkan Tuhan.

Semalam aku mendapat tahu pelajar itu mengatakan kepada seorang guru lain, tidak ada guru di padang untuk melatihnya untuk acara sukan. Sedangkan ketika itu aku sememangnya berada di padang dan sedang memantau pelajar-pelajar yang sedang berlatih. Namun pelajar tersebut langsung tidak menegurku, dan tidak mempedulikanku. Dia seolah-olah sedang berlagak, lantaran dia pernah memenangi pingat emas dalam acara yang disertainya. Tersinggung dengan sikapnya, aku mendiamkan diri. Dalam hati aku berkata, Tuhanku yang Maha Adil, tunjukkan kepada pelajar ini kekuasaan-Mu, sesungguhnya dia adalah pelajar yang sangat-sangat menyakiti hatiku, biarpun telah banyak budi yang kutaburkan kepadanya. Selepas itu pelajar itu mengganggu pula pelajar lain yang sedang kupantau dalam acara lain. Pelajar itu berlagak sambil menyebut konsep Matematik, seolah-olah menunjukkan dirinya pandai dalam Matematik biarpun dia tidak lagi belajar Matematik denganku, di depanku. Aku mendiamkan diri melihat sikap biadabnya itu. Hatiku cukup tersinggung. Dia seolah-olah menayangkan dirinya di depanku, dan pada masa yang sama menunjukkan sikap bahawa dia tidak mempedulikan aku.

Hari ini, ketika acara sukan berlangsung, pelajar itu yang pernah memenangi pelbagai pingat emas dalam acara kesukaannya gagal meraih pingat dalam acara yang disertainya. Dia mengalami kecederaan pada kakinya.

Mukanya merah padam, marah kerana gagal dalam acara tersebut. Ketika aku mengetahui kecederaannya, rasa sakit hatiku tiba-tiba digantikan dengan perasaan bimbang akan kecederaan yang dialaminya. Aku bimbang jika kecederaan yang dialaminya itu serius dan mungkin boleh menyebabkannya menjadi tempang. Aku menggesa pelajar yang tidak mengenang budi itu pergi membuat pemeriksaan doktor. Namun, aku dapati pelajar tersebut masih berlagak, besar diri dan lupa bahawa kegagalan yang dialaminya itu mungkin berpunca daripada soal keberkatan.

Pelajar itu lupa, Tuhan itu Maha Berkuasa, mampu menarik apa-apa keistimewaan atau kelebihan daripada mana-mana ciptaan-Nya. Dan hari ini aku menyaksikan kekuasaan Tuhan. Hukuman dunia sedang berlangsung ke atas pelajar tersebut. Mungkin ini cuma satu permulaan, mungkin selepas ini semakin banyak kegagalan dan hukuman Tuhan akan dijatuhkan ke atas pelajar ini kerana dosanya menyakiti hati seorang guru. Namun pelajar ini masih belum sedar, egonya masih menebal. Masih ada hitam dalam hatinya. Hipokrasi dan parasitisme masih menjadi amalannya. Sesungguhnya dia adalah orang yang rugi.

Tuhanku, aku mohon kepada-Mu, agar aku sentiasa dalam perlindungan-Mu. Tetapkan hatiku dalam perjuangan yang suci. Semoga kehidupanku sebagai seorang guru sentiasa mendapat rahmat dan keredhaan-Mu. Jauhkan aku daripada sifat hipokrasi dan parasitisme. Jadikan aku seorang yang sentiasa tahu mengenang budi, dan menghormati orang tua, dan mampu membalas jasa. Amin.