BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, November 14, 2009

Ulasan Filem Jennifer's Body - Gabungan Ganas dan Erotik

Jennifer's Body - Ganas dan Lucah, Benci dan Simpati
Ulasan Filem: Amiene Rev (C) 2009

"Jennifer's Body menguji tahap simpati yang anda miliki. Adakah anda mudah menyalahkan seseorang atas apa yang mereka lakukan atau anda akan berfikir dahulu; punca di sebalik kesalahan yang dilakukan seseorang itu. Benci kemudian simpati." - Amiene Rev

Salah Satu Poster Filem Jennifer's Body

Ketika itu saya mencari tiket wayang untuk filem 2012, tetapi masa yang ada tidak sesuai. Lalu saya berfikir filem apa yang patut saya tonton pada ketika itu untuk diulas di dalam blog saya. Lalu seperti kebiasaannya saya akan melihat filem yang paling dekat dengan waktu ketika itu, untuk ditonton. Dan kali ini saya memilih Jennifer's Body.

Ulasan Filem Jennifer's Body

Filem ini mengisahkan Anita "Needy" Lesnicki, selaku watak utama (dilakonkan oleh Amanda Seyfried) dan Jennifer Check (lakonan Megan Fox) yang bersahabat baik sejak kecil. Kedua-dua rakan ini pada akhirnya akan saling bunuh-membunuh angkara tragedi pemujaan syaitan yang dilakukan oleh sebuah kumpulan muzik yang gilakan populariti dan kemasyhuran.

Tema filem ini adalah berkenaan persahabatan. Dalam cerita ini Needy dan Jennifer adalah dua orang sahabat baik. Apa yang saya lihat di dalam filem ini, Needy lebih setiakawan dan mudah bertolak ansur, manakala Jennifer pula agak gila-gila dan bernafsu terhadap lelaki, dan ini telah mengundang kecelakaan kepada dirinya.

Pada permulaan filem ini, anda pasti membenci Needy, yang ketika itu dimasukkan ke wad terapi mental. Namun, selepas mengikuti cerita ini, anda pasti tidak akan membenci Needy lagi, tetapi rasa belas kasihan dan terharu terhadap kesetiaan Needy sebagai seorang sahabat.

Begitu juga dengan Jennifer, tentu ramai yang akan menyalahkan Jennifer tetapi selepas mengikuti cerita ini, anda mungkin rasa simpati dengan Jennifer yang menjadi mangsa pemujaan syaitan. Pembunuhan tersebut tidak membunuh Jennifer, sebaliknya menjadikan Jennifer sejenis makhluk yang hauskan darah dan daging. Jennifer memerlukan darah dan daging untuk terus kekal cantik dan muda. Hakikatnya, saya menganggap Jennifer telah mati dan badannya digunakan oleh syaitan untuk menggoda manusia-manusia lain dan mematikan manusia dalam keadaan yang tidak bermoral.

Filem ini cenderung menggabungkan aksi seks dan aksi ganas lagi mengerikan dalam satu-satu masa. Contohnya babak lakonan aksi seks antara Needy dan Chip (lakonan Johnny Simmons) dilakonkan dengan agak nyata dan dengan dialog-dialog yang nyata berkaitan dengan seks. Babak-babak seks yang begitu banyak dalam filem ini mungkin telah menyebabkan filem Jennifer's Body ini menduduki carta-carta teratas filem popular di beberapa buah negara, selain jalan cerita yang agak unik. Aksi-aksi lucah di dalam filem ini ternyata menjadi buah mulut para pengulas filem ini. Nama Megan Fox kini seolah-olah sebati dengan filem lucah. Filem ini mematikan perasaan erotik dengan aksi-aksi ganas dan kejam yang berselang seli dengan aksi-aksi seks dan lucah.

Selepas beberapa kali pembunuhan ngeri yang dilakukan oleh Jennifer atau lebih tepat Badan Jennifer atau Jasad Jennifer atau Mayat Jennifer (Jennifer's Body), Needy nekad untuk menghalang Mayat Jennifer. Needy yakin, Jennifer telah mati sejak dari hari pemujaan syaitan tersebut, dan kini syaitanlah yang telah menggunakan badan Jennifer untuk melakukan kejahatan.

Namun, kasih sayang Needy sebagai seorang sahabat yang setiakawan telah mengelirukan Needy untuk menerima Jennifer atau pun membunuhnya. Needy terperangkap antara dendam, benci dengan simpati dan kasih sayang seorang sahabat yang setia terhadap Jennifer. Kemarahan dan dendam Needy memuncak apabila Jennifer membunuh Chip. Jennifer atau Badan Jennifer menghasut Chip supaya meninggalkan Needy, kemudian menggoda Chip dan cuba memangsai Chip sebagaimana mangsa-mangsa yang lain.

Needy yang mempunyai naluri dan intuisi seorang sahabat setiakawan berjaya mengesan Jennifer dan Chip, tetapi sudah terlambat kerana Chip sudah pun dicederakan oleh Jennifer. Chip mati, dan sebelum mati, Chip tidak lagi curiga dengan ketulusan cinta Needy terhadapnya.

Filem ini mengundang diskusi beberapa beberapa saat terakhir kematian Jennifer. Adakah Jennifer masih hidup dan memiliki kuasa syaitan atau Jennifer sudah mati dan badannya digunakan oleh syaitan? Ini kerana reaksi Jennifer apabila Needy menarik kalung persahabatan mereka dari leher Jennifer dan membuangnya. Pada saat itu Jennifer dan Needy terapung-apung di siling bilik Jennifer, dan Needy melihat kalung persahabatan tersebut. Kerana marahkan Jennifer yang telah membunuh Chip, Needy menarik kalung tersebut dan ini membuatkan Jennifer seolah-olah terkilan atau terharu.

Adakah Jennifer benar-benar telah meninggal dunia dan badannya dipinjam oleh syaitan? Atau Jennifer masih hidup dan kerana itu masih wujud rasa sayang terhadap Needy? Atau judul filem Jennifer's Body telah menjelaskan segala-galanya? Terpulanglah kepada penonton yang menonton filem ini.

Hukum karma. Akibat dicederakan oleh Jennifer semasa pergelutan antara Jennifer dan Needy, Needy kini memiliki kuasa syaitan. Dengan kuasa syaitan ini, Needy nekad membunuh semua ahli kumpulan musik Low Shoulder yang mengorbakan Jennifer semasa pemujaan syaitan.

Filem ini tidak disusun mengikut kronologi namun susunan ceritanya ini berjaya mengubah persepsi penonton terhadap watak-watak tertentu. Filem ini menilai tahap simpati penonton sama ada mudah menyalahkan orang lain atau berfikir dahulu kenapa seseorang itu bertindak demikian. Persoalan seperti kenapa dia melakukan sedemikian? Persoalan berkenaan apa yang mengubahnya menjadi sedemikian rupa pasti akan membawa penonton ke jalan jawapan yang sebenarnya.