BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Oktober 03, 2009

Ulasan Filem G-Force - Bicara Tentang Minda, Tentang Diri Sendiri - Filem Berunsur Motivasi dan Patriotik

Ulasan Filem G-Force - Ringkasan Ulasan
Gadgets, Gizmos, Guinea Pigs. In 3-D
The world needs bigger heroes
Pengulas Filem: Amiene Rev (C) 2009

Ringkasan: G-Force mungkin adalah singkatan kepada Guinea Pig Force yang merujuk kepada pasukan perisik tikus belanda atau (Guinea Pig) dan seekor mole. Watak-watak lain dalam cerita ini ialah seekor lalat bernama Mooch, lipas, hamster dan lain-lain jenis binatang peliharaan yang comel dengan sifat tingkahlaku, percakapan dan pemikiran menghampiri manusia.

Elemen Motivasi Dalam Filem G-Force:
Darwin, Juarez dan Blaster selama ini percaya bahawa mereka adalah tikus belanda yang lahir daripada teknologi kejuruteraan genetik. Justeru, mereka bertiga adalah tikus belanda paling unik, luarbiasa dan hebat di muka bumi.

Namun hakikatnya tidak. Mereka bertiga adalah tikus belanda yang dikutip dan diselamatkan dari menjadi mangsa makanan, bahan eksperimen dan buangan.

Hal ini telah melunturkan semangat mereka. Namun, Hurley, seekor tikus belanda dari kedai binatang peliharaan telah membantu mengembalikan semangat mereka. Darwin, Juarez dan Blaster mungkin sama dengan tikus belanda yang lain, tetapi mereka bertiga telah melalui pelbagai jenis latihan, lulusan daripada universiti, dan dengan itu mempunyai pelbagai jenis kemahiran dan pengetahuan yang tidak dimiliki oleh tikus-tikus belanda yang lain. Justeru, mereka bukan tikus belanda yang biasa, mereka adalah juara.

Elemen Teladan Dalam Filem G-Force:
Speckles mempunyai dendam terhadap umat manusia yang sekian lama memerangi mole. Mole dianggap sebagai perosak dan dibunuh. Speckles teringatkan kata-kata ayahnya mengenai dendam bangsa mole terhadap bangsa manusia. Justeru, Speckles telah berusaha mengatur strategi untuk memusnahkan manusia.

Namun Speckles akhirnya sedar akan kesilapannya. Selama ini dia menganggap semua manusia jahat. Tetapi Speckles terlupa bagaimana Ben telah menyelamatkan Speckles daripada terbunuh, dan melatih Speckles sehingga menjadi begitu genius dalam bidang sains komputer dan teknologi maklumat. Sekiranya Speckles bertindak menghancurkan manusia, maka sikap Speckles itu adalah serupa seperti manusia-manusia yang memusnahkan kaum mole. Lalu Speckles berubah menjadi baik dan menebus kesalahannya dengan menyelesaikan masalah Clusterstorm.

Unsur patriotik dalam filem ini jelas ditunjukkan menerusi semangat tikus-tikus belanda untuk berjasa terhadap negara mereka.

Kesimpulannya, G-Force merupakan filem aksi 3-D yang menarik dan sesuai ditonton seisi keluarga. Sebuah filem yang comel, kelakar dan bermoral.