BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, September 29, 2009

Ulasan Filem Jin-Notti - Filem Kelakar Teladan Yang Wajar Dipuji

Ulasan Filem Jin-Notti 2009
"Filem ini menegur sikap biadab yang makin berleluasa di kalangan masyarakat kini, tepat pada masanya. Masyarakat Malaysia memang patut menonton filem ini."
Ulasan Filem Oleh Amiene Rev (C) 2009

Ketika adab dan kesopanan semakin dilupai pada masa ini, masyarakat kita memerlukan sebuah karya teguran dan teladan. Jin-Notti tampil sebagai sebuah filem wira yang sarat dengan teguran, sesuai untuk ditonton oleh masyarakat pada masa kini yang makin bertambah bilangan golongan biadab, tidak tahu adab dan suka mencarut. Terima kasih buat KRU, yang suatu ketika dahulu merupakan kumpulan rap remaja yang popular dan amat saya minati, kerana menerbitkan filem seperti ini. Filem ini menegur sikap biadab yang makin berleluasa di kalangan masyarakat kini, tepat pada masanya. Masyarakat Malaysia memang patut menonton filem seperti ini.


Sinopsis Ringkas Filem Jin-Notti:
Berbeza dengan manusia, jin (di dalam filem ini, jin digambarkan sebagai syaitan) yang baik dianggap sebagai melanggar undang-undang jin. Berbuat baik merupakan satu kesalahan, manakala berbuat jahat merupakan satu kemuliaan bagi jin.

Filem Jin-Notti mengisahkan Notti, lakonan Fara Fauzana yang merupakan seekor jin yang baik hati, dan memiliki kebolehan untuk mengetahui niat atau nawaitu seseorang secara ghaib. Disebabkan Notti tidak pernah melakukan kejahatan, dia telah dihukum penjara selama tujuh tahun. Pada usia 132 tahun, Notti dibebaskan dan dibicarakan. Jinbara, peguam bela yang juga merupakan mentor kepada Notti, telah meminta Ketua Hakim Jin untuk memberi tiga peluang kepada Notti untuk melakukan kejahatan di dunia manusia. Hakim bersetuju, lalu menghantar Notti ke dunia manusia supaya Notti dapat membuktikan kepada kaum jin bahawa dia juga boleh melakukan kejahatan. Seutas jam tangan yang akan berbunyi setiap kali Notti berjaya melakukan kesalahan telah dipakaikan ke tangan Notti.

Notti turun ke dunia manusia secara rasukan. Dalam erti kata lain, Notti menumpang ke dalam tubuh manusia, dan berupaya mengawal tubuh manusia tersebut, selain memiliki segala kemahiran, pengetahuan, pengalaman, bahasa percakapan dan lain-lain sifat fizikal manusia yang ditumpangnya.

Dalam filem Jin-Notti ini, Notti menumpang ke dalam tubuh tiga orang wanita, iaitu Ruby, (seorang gadis Punk), Yvonne (kekasih seorang ketua kongsi gelap) dan Sharifah (seorang peguam bela). Menerusi watak-watak inilah, Notti bertemu dengan Mawi dan jatuh hati dengan Mawi. Siapakah Mawi yang sebenarnya dalam filem ini? Adakah Mawi seorang lelaki yang jahat atau seorang lelaki yang baik? Untuk tidak mengecewakan pembaca yang anti-spoiler, saya menyimpan dahulu kesemua jalan cerita yang menarik dalam filem ini. Begitu juga dengan watak seorang ayah yang sekian lama dicari oleh Jin-Notti di dalam filem ini. Untuk mengetahui apakah sebenarnya kisah silam Notti, dan bagaimana ayah Jin-Notti boleh terlontar ke dunia manusia, tontonlah filem Jin-Notti ini.

Ulasan Filem Jin-Notti:
Filem Jin-Notti sarat dengan teguran dan sindiran. Sikap biadab manusia dibidas dengan baik. Contohnya, sesiapa yang tidak pernah mengambil kisah untuk mematikan bunyi telefon bimbitnya semasa di dalam panggung wayang, maka individu tersebut pasti akan berasa malu atau diketawakan sekiranya individu tersebut masih terus dengan sikap sambil lewanya untuk tidak segan silu menggunakan telefon bimbit di dalam panggung wayang.

Filem Jin-Notti juga membidas sikap tidak tahu malu dan biadab di kalangan manusia pada masa kini. Sikap mementingkan diri sendiri, tidak ada kesedaran sivik, tidak menghormati orang lain, suka memaki hamun, mencarut, berkelakuan buruk dan seumpamanya dibidas menerusi dialog-dialog yang dituturkan oleh watak-watak jin di dalam filem ini.

Babak pertarungan berdarah di dalam filem Jin-Notti, boleh dianggap agak ganas. Mawi kelihatan bersungguh-sungguh melakonkan wataknya. Walaupun ini boleh dikatakan lakonan pertama Mawi, selain iklan-iklan yang sering kita lihat di kaca televisyen, saya berpendapat aura Mawi masih ada di dalam filem ini.

Mawi di dalam filem ini merupakan seorang pemuda yang dingin dan mempunyai rahsia dan misi yang tersendiri. Babak paling menarik di dalam filem ini adalah babak ketika Mawi membaca Al-Quran di sebuah pondok di tepi sungai berbatu yang damai. Pemilihan ayat Al-Quran memang kena dengan mesej yang mahu disampaikan menerusi filem ini.

Tahniah kepada pihak penerbitan filem Jin-Notti. Watak Jinbara yang dilakonkan oleh Cat Farish boleh dianggap sebagai penguat jalan cerita ini. Tanpa watak Jinbara, filem ini boleh dianggap tidak lengkap.

Kesimpulannya, filem Jin-Notti mempunyai mesej yang baik. Kemunculan filem seperti ini memang dinanti-nantikan. Filem kelakar yang mengandungi unsur teguran seperti filem Jin-Notti ini wajar disambung lagi. Siapa lagi penerbit filem di Malaysia yang bakal menerbitkan filem bertemakan komedi teladan seperti filem Jin-Notti. Tahniah sekali lagi buat pihak penerbitan filem Jin-Notti kerana idea bernas anda menghasilkan filem seperti ini. Cara penyampaian mesej seperti filem Jin-Notti ini memang amat saya nanti-nantikan.