BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Julai 26, 2009

Yasmin Ahmad Meninggal Dunia 25 Julai 2009

Terdapat beberapa media yang telah melaporkan kematian Yasmin Ahmad. Ini menjadikan khabar angin mengenai kematian Yasmin Ahmad telah menjadi kenyataan. Al-Fatihah. Berikut adalah beberapa laporan mengenai kematian Yasmin Ahmad.

Yasmin Ahmad Meninggal Dunia
KUALA LUMPUR 25 Julai — Pengarah filem dan iklan terkenal Yasmin Ahmad meninggal dunia kira-kira 11.25 malam ini. Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan yang berada di Hospital Pakar Damansara ketika dihubungi Bernama. Yasmin, 51, rebah ketika membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, ibu pejabat stesen televisyen TV3, pada Khamis dan dikejarkan ke hospital berkenaan. Beliau dilaporkan mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak. — Bernama


Pengarah Yasmin Ahmad meninggal dunia
Sumber: http://www.mstar.com.my
Oleh AU YEONG HOW, WAHIDA ASRANI dan SHAHRIL ADZRIN
Yasmin Ahmad dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 11.25 malam ini.

KUALA LUMPUR: Pengarah filem terkenal Yasmin Ahmad dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 11.25 malam ini di Hospital Pakar Damansara. Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan yang berada di Hospital Pakar Damansara. Yasmin disahkan meninggal dunia akibat pendarahan teruk di otak. Suaminya, Tan Yew Leong, Dr.Zakaria Zahri (adik ipar) dan Datin Orked (adik), Dr. Zurin turut berada di sisi Allahyarhamah ketika beliau menghembuskan nafas terakhir. Jenazah pengarah tersohor ini akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid SS19, Subang Jaya sebelum solat Zohor, esok (26 Julai), manakala tempat pengebumian masih belum ditetapkan. Perkara itu dimaklumkan oleh rakan baik Allahyarhamah, iaitu pelakon Fatimah Abu Bakar yang mewakili keluarga pengarah itu, pada sidang media yang dibuat di hospital tersebut, sebentar tadi.

Fatimah juga meminta kepada semua peminat Yasmin untuk turut menyertai solat jenazah serta mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan di sisi orang beriman. Pihak media juga diminta untuk tidak mengganggu ahli keluarga Yasmin buat masa ini yang masih bersedih dengan kematian pengarah itu.

Turut hadir di sidang media tersebut ialah Datuk Seri Farid Ridzuan dan adik iparnya, Dr. Zakaria Zahri. Yasmin, 51, rebah ketika membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, ibu pejabat stesen televisyen TV3, pada Khamis dan dikejarkan ke hospital berkenaan. Beliau dilaporkan mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak.


Yasmin dikebumi sebelum Zuhur
Sumber: Berita Harian
Oleh Suhana Roslan
Meninggal jam 11.25 malam tadi

PETALING JAYA: Pengarah filem dan iklan terkenal, Yasmin Ahmad, 51, meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara di sini, kira-kira jam 11.25 malam tadi, dua hari selepas koma ketika membentangkan kertas kerja di Sri Pentas.

Kematiannya itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan.

"Jenazahnya akan dimandikan di Masjid Seksyen 19, Subang dan dikebumikan sebelum Zuhur hari ini," kata Ahmad Farid kepada wartawan di hospital itu, lewat malam tadi

Allahyarham yang ditempatkan di unit rawatan rapi hospital berkenaan, sebelum itu menjalani pembedahan membuang pendarahan dalam otak akibat serangan angin ahmar dan koma. Keadaannya dilaporkan merosot dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Yasmin yang mencipta nama menerusi beberapa iklan Petronas dan filem Sepet, dikatakan mengadu tidak sihat ketika melakukan pembentangan kertas kerja yang turut membabitkan penyanyi terkemuka, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa.

Beliau rebah dan diberikan rawatan kecemasan termasuk bantuan pernafasan (CPR) oleh doktor residen TV3 sebelum dikejarkan ke hospital.

Dilahirkan di Bukit Treh, Muar, Johor pada 1 Julai 1958, Yasmin, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Newcastle, United Kingdom, memenangi pelbagai anugerah di dalam negara dan antarabangsa bagi karya kreatifnya.

Laporan Bernama menyatakan, isteri kepada Abdullah Tan Yew Leong itu memulakan kerjaya dalam industri pengiklanan sebagai penulis iklan di Ogilvy & Mather, sebelum menyertai firma Leo Burnett sebagai pengarah kreatif bersama pada tahun 1993 sehingga memegang jawatan sebagai pengarah kreatif eksekutif di Leo Burnett.

Kehebatan Yasmin dapat dilihat dalam banyak iklan komersial Petronas kerana mampu mencuit dan meruntun hati penonton dengan sentuhan karyanya.