BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Jun 29, 2009

Mencari Kerja Dengan Senang

Saya membaca banyak berita mengenai ramai orang yang belum mendapat pekerjaan. Realitinya, terdapat banyak cara untuk mendapatkan pekerjaan. Asas utama untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan kita ialah, keazaman dan kesungguhan dalam berusaha.

Sekembalinya saya ke Malaysia, apabila melihat betapa ramainya penganggur di negara ini, saya mula tertanya-tanya apakah punca ramai di kalangan mereka yang sudah bergelar graduan masih belum mendapat pekerjaan.

Adakah benar-benar susah mencari kerja? Ini, bergantung kepada kekuatan mental seseorang untuk menerima hakikat mencari pekerjaan. Jika dalam kepala mereka sudah ditetapkan bahawa graduan di Malaysia adalah sama seperti kisah di negara China, di mana orang masuk ke universiti dan keluar sebagai penganggur, maka jadilah mereka seperti itu.

Di Malaysia terdapat banyak lubuk pekerjaan. Akal memain peranan penting. Jika minda seseorang itu sudah terbiasa dengan aktiviti makan suap, minta diberi pandangan, minta diberi nasihat, minta dicarikan iklan-iklan atau peluang-peluang pekerjaan, maka menganggurlah dia selama beberapa hari, bulan atau tahun lagi.

Peluang pekerjaan di Malaysia boleh dicipta, asalkan ada keazaman dan usaha yang gigih. Saya tidak faham dan ingin bertanya kenapa orang-orang di Malaysia masih ada yang menganggur? Mungkin soalan ini agak sensitif bagi sesetengah orang, tetapi saya berharap semua pembaca dapat berfikir secara terbuka. Peluang pekerjaan boleh dicipta. Apabila seseorang itu hendak bekerja, maka buatlah sesuatu pekerjaan berdasarkan kebolehan, ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki, bukan menurut pendapat atau tingkah laku orang lain.

Asas untuk bekerja atau melakukan sesuatu pekerjaan yang memberi manfaat kepada kehidupan seseorang itu, ialah ilmu. Pelbagaikan ilmu dan kemahiran, nescaya tidaklah anda bergelar penganggur.

Kesimpulannya, terdapat beberapa perkara asas yang perlu disoal dan dijawab sendiri oleh para penganggur iaitu:
  • Apakah ilmu pengetahuan, kemahiran dan kelebihan yang anda miliki?
  • Apakah anda sudah memiliki perancangan atau kertas kerja mengenai pekerjaan yang ingin anda lakukan untuk membantu kehidupan anda?
  • Sejauh mana ilmu yang anda miliki membantu anda membuat perancangan untuk bidang pekerjaan yang ingin anda sertai?
  • Adakah anda seorang yang pemalas dan sering berfikiran negatif atau tidak menggalakkan diri anda untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti atau bidang?
  • Adakah anda seorang yang pandai berdikari dan mencari sendiri maklumat bagi perkara-perkara yang ingin anda selesaikan?
  • Pernahkah anda menyenaraikan jenis-jenis pekerjaan yang boleh anda lakukan dan kemudian anda sendiri berusaha mencari dan melakukan pekerjaan tersebut?
  • Adakah anda sentiasa berusaha meningkatkan ilmu yang serasi atau boleh membantu anda melakukan satu-satu bidang pekerjaan?
Jawablah soalan-soalan di atas. Nescaya, pengangguran sifar boleh berlaku. Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis pekerjaan yang boleh anda ceburi di negara Malaysia. Orang yang fikirannya cenderung ke arah tidak menggalakkan atau kurang usaha untuk berdikari selalunya akan bergelar penganggur. Ini kerana mereka tidak pandai mencipta peluang. Mencipta peluang adalah lebih baik daripada merebut atau mencari-cari peluang. Ciptalah peluang pekerjaan anda sendiri, dan yakinlah pada diri anda.