BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, April 01, 2009

Pelajar Akademi Fantasia - Masalah Hafiz AF7

Rakan Seperjuangan & Tanggungjawab
Diari AF7 Minggu Keempat Paling Menarik
Penulis: Amiene Rev (C) 2009

Hafiz AF7 merupakan pelajar yang sentiasa menonjokan persembahan terbaik di setiap konsert tetapi belum pernah mencetuskan sebarang kontroversi di Akademi AF7. Namun, tiba-tiba hari ini dia meluahkan perasaan kecewa sehingga menitiskan airmata. Apakah sebenarnya perkara yang selama ini dipendamkan? Semuanya akan dapat anda tonton dalam Diari Akademi Fantasia 7 jam 9 malam ini. - www.astro.com.my/akademifantasia

Jika ditanya siapakah pelajar Akademi Fantasia pilihan Amiene Rev? Maka saya akan menjawab, Isma AF7, Hafiz AF7, Claudia AF7, Zizi AF7 dan Aril AF7 merupakan 5 pelajar Akademi Fantasia pilihan saya. Namun ini bukan bermaksud pelajar-pelajar lain tidak bagus, sebab apa yang saya tertarik dengan Akademi Fantasia 7 ialah semangat dan keyakinan yang ada pada para pesertanya.

Minggu ini ada beberapa perkara yang menyebabkan saya rasa mahu mengulas mengenai Diari Akademi Fantasia 7. Pertama, kesungguhan para pelajar untuk memahami dan menghayati tugasan yang diberikan. Inilah baru namanya pelajar!

Saya seronok melihat Isma AF7 dan Zizi AF7 membimbing pelajar-pelajar lain untuk menghayati lagu tugasan mereka. Isma AF7 memang mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin. Zizi AF7 memang seorang rocker!

Sementara itu saya melihat Hafiz AF7 dilanda konflik peribadi. Ya, apa yang dialami oleh Hafiz AF7 adalah masalah yang selalunya dialami oleh kebanyakan pelajar yang selalu menerima pujian daripada guru atau pengkritik. Melihat Diari Akademi Fantasia Ke-7 di Saluran @15 Astro tadi membuatkan saya mengimbas semula kenangan lama semasa masih di bangku sekolah.

Semasa di sekolah, saya selalu menjadi pelajar cemerlang, sering dipuji oleh guru-guru, dan diberikan jawatan penting yang sepatutnya dipegang oleh senior sekolah. Dari situ saya lihat wujudnya dua kelompok pelajar. Pertama kumpulan besar pelajar (senior dan junior) yang menyokong saya. Kedua, seorang dua orang pelajar senior yang tidak berpuas hati. Ini kerana kedudukan tersebut dirasakan penting bagi mereka untuk mendapatkan sijil ko-kurikulum tetapi mereka tidak terpilih untuk memegang jawatan penting tersebut.

Begitu juga dengan isu pujian. Apabila guru dan orang lain melabelkan kita sebagai serba sempurna, maka sukar untuk orang lain memberikan komen kepada kita. Saya rasa saya memahami situasi Hafiz AF7. Mungkin komen juri terhadap Hafiz AF7 boleh dianggap sebagai 'minyak yang dilontarkan ke bara api' secara tidak langsung. Peserta-peserta lain didapati ada menyuarakan rasa rendah diri terhadap kewujudan Hafiz AF7.

Saya masih ingat bagaimana saya menghadapi situasi ini dahulu. Apa yang saya lakukan adalah seperti yang dilakukan oleh Isma AF7. Saya mengajar pelajar-pelajar ini apa yang mereka tidak faham, berkongsi masalah dengan mereka. Tujuannya ialah untuk menamatkan konflik tersebut.

Isma AF7 juga menerima pujian, tetapi beliau lebih matang berbanding Hafiz AF7 untuk menangani masalah konflik di Akademi Fantasia ke-7. Mungkin setakat ini semua peserta beranggapan Hafiz AF7 mendapat undian tertinggi, memandangkan kebanyakan pujian dilontarkan kepada Hafiz AF7 maka tidak ada peserta yang berani atau yakin mampu mencari kesilapan Hafiz AF7 dari aspek pertandingan. Mungkin ada di kalangan mereka berkata di dalam hati, "Siapa aku nak kritik, nak beri tunjuk ajar, nak tegur Hafiz AF7. Dia tu kan perfect. Tiap-tiap minggu juri asyik puji dia sahaja. Aku pula teruk dikritik."

Ya. Saya rasa Hafiz AF7 perlu mendapatkan pandangan daripada Isma AF7. Isma AF7 seorang yang matang, dan boleh mengendalikan konflik. Ini kelebihan yang ada dalam diri seorang ibu beranak lima. Isma AF7 tentu sudah biasa menangani konflik kelima-lima orang anaknya, dan pengalamannya itu digunakan semasa di Akademi Fantasia 7. Saya juga suka melihat Zizi AF7 membantu rakan-rakannya. Memang tidak salah saya meletakkan Isma AF7 dan Zizi AF7 dalam senarai pelajar Akademi Fantasia 7 pilihan saya.

Walaupun Isma AF7 seorang wanita, tetapi saya rasa pemikiran Isma AF7 dan saya mungkin serupa dari segi menangani konflik seperti itu. Chewah! Ha! Ha! Ha!

Kepada Hafiz AF7, anda mungkin antara peserta yang mendapat pujian paling hebat di Akademi Fantasia 7, anda seorang pendiam tetapi mesra, dan mudah terasa. Sebab itu saya anggap pujian itu sebagai racun.

Saya bersetuju dengan pandangan Hafiz AF7, pujian itu ada bahagian positif dan negatif. Bahagian positifnya ialah pujian itu dapat membantu kita melihat apa kelebihan dalam diri kita dan seterusnya menolong kita untuk memajukan kebolehan tersebut ke tahap yang lebih tinggi. Keburukannya pula, jika kita sering dibuai pujian itu, kita boleh terkena racun 'riak'.

Hafiz AF7 cuma dilanda masalah yang biasa dialami oleh pelajar cemerlang. Perasaan sunyi seperti ini biasa dirasai oleh pelajar cemerlang atau dominan dan hidup dalam satu-satu bidang. Apabila mengingati masalah Hafiz AF7 ini, membuat saya dibuai nostalgia silam. Sehingga kini, saya masih berusaha mencari jalan penyelesaian yang lebih tepat, tetapi hakikatnya, kita tidak akan dapat memuaskan hati semua orang. Ini kerana syaitan sebagai makhluk pengantara akan sentiasa mewujudkan permusuhan dalam hati pesaing-pesaing kita. Kepada Allah, kita berlindung.