BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, April 03, 2009

Berakhirnya Teori R.A.H.M.A.N

Najib angkat sumpah PM - Berakhirnya Teori RAHMAN - Perlantikan Datuk Seri Najib menggantikan Tun Abdullah Badawi

Teori R.A.H.M.A.N yang merujuk kepada Rahman, Abdul Razak, Hussein Onn, Mahathir, Abdullah dan Najib telah pun terlaksana kini.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun. Najib, 55, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara. Berbaju Melayu hitam, Najib tiba di Istana Negara pada 9.42 pagi diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Mereka berdua kemudian memasuki Balairong Seri pada 10 pagi diikuti Abdullah dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah. Kenamaan lain yang turut hadir termasuklah anggota Kabinet, Menteri Besar dan Yang Dipertua Dewan Negara serta Speaker Dewan Rakyat. Seramai 319 tetamu kehormat hadir pada majlis bersejarah itu termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. - WWW.HMETRO.COM.MY

Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj lahir pada 8 Februari 1903 di Alor Star, Kedah. Ayahanda beliau, Sultan Abdul Hamid Halim Shah adalah Sultan Kedah yang ke-24 dan bonda beliau, Cik Menyalara, adalah anak kepada Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai daerah dalam kerajaan Thai ketika pemerintahan Raja Rama V.Semasa kecilnya, putera raja ini suka mencuri keluar daripada kawasan istana. Beliau suka bergaul dengan orang kebanyakan dari semua peringkat masyarakat. Beliau telah mulakan persekolahan di Sekolah Rendah Melayu, kemudian ke English Medium School di Alor Star, dan mengaji Quran di sebelah petang, sebelum dihantar bersama tiga orang kekandanya ke Debsirindir School di Bangkok pada 1913. Pada 1916, beliau pulang ke Kedah dan memasuki Penang Free School .

Kemudian, Tunku Abdul Rahman menerima biasiswa kerajaan negeri untuk belajar di Universiti Cambridge , England . Tunku menerima Ijazah Bachelor of Arts pada 1925 dan kemudian meneruskan pendidikan di sekolah undang-undang di Inner Temple . Enam tahun kemudian Tunku pulang tanpa menamatkan pelajarannya.

Tunku pernah bekerja di dalam perkhidmatan awam Kedah dan pernah dilantik sebagai Pegawai Daerah Kulim dan Sungai Petani. Pada 1947, Tunku berangkat semula ke England untuk menyambung pengajian undang-undang dan akhirnya dipanggil ke bar di Inner Temple ketika usianya 45 pada tahun 1948.

Di London pada "zaman sekolah kali kedua" inilah Tunku bertemu dengan Abdul Razak Hussein (kemudiannya Datuk dan Tun). Pada masa itu Tunku adalah Presiden Persatuan Melayu Great Britain and Abdul Razak yang berumur 26 pada masa itu, merupakan setiausahanya. Pada 1949, beliau pulang ke Tanah Melayu. Kepulangan itu ternyata bukan merupakan akhiran sebuah perjalanan tetapi permulaan satu kehidupan yang baru. Pada mulanya, beliau dihantar ke pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Kemudian beliau memohon untuk bertukar ke Kuala Lumpur . Di Kuala Lumpur, Tunku menjadi Timbalan Pendakwa Raya, walaupun menerima gaji yang sama seperti di Alor Star, tetapi mendapat elaun bulanan sebanyak RM150. Kemudian, beliau dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesi.

Pada masa itu, semangat kebangsaan sedang marak di kalangan orang-orang Melayu, dengan Datuk Onn Jaafar mengetuai Umno dalam perjuangan menentang Malayan Union tajaan Britain . Pada Ogos 1951, kemelut mula terserlah dalam kepimpinan Umno. Krisis dalaman ini akhirnya telah menyebabkan Datuk Onn meletak jawatan sebagai presiden parti pada Oktober pada tahun itu. Ketika itu, rata-rata orang Melayu mengharapkan kepimpinan Tunku Abdul Rahman untuk menggantikan Datuk Onn. Tunku yang bersetuju mengambil alih tampuk pimpinan Umno akhirnya memegang jawatan itu selama 20 tahun. Pada tahun-tahun pertama Tunku memimpin Umno, salah satu tugas utama beliau adalah untuk menyatukan semua kaum utama di Tanah Melayu dan mencapai satu persetujuan dalam isu-isu bersangkutan perjuangan untuk menuntut kemerdekaan.

Pada awal 1952, satu pilihanraya kecil telah diadakan di majlis perbandaran Kuala Lumpur, di mana Umno dan Persatuan Cina (MCA) yang baru ditubuhkan bersetuju untuk tidak bertanding menentang satu sama lain. Hasil daripada persefahaman ini, lahirlah perikatan Umno-MCA, dan kedua-dua pihak telah muncul sebagai pemenang. Seterusnya pada 1955, Parti Perikatan ini telah disertai oleh Kongres India Se-Tanah Melayu (MIC) yang mewakili komuniti India . Hasilnya, merupakan satu perkongsian kuasa yang sangat kukuh dan mewakili majoriti besar rakyat Tanah Melayu. Banyak isu yang sebelum ini sukar untuk diselesaikan telah menjadi jelas dan hanya memerlukan perbincangan biasa untuk mencapai kata sepakat.

Pada 1954, Tunku telah mengetuai satu rombongan ke England untuk berbincang bagi menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu, tetapi kunjungan itu tidak berhasil. Pada tahun berikutnya, pilihanraya persekutuan umum yang pertama telah diadakan, dan Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Dengan majoriti ini, Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama. Satu lagi rombongan ke London telah diadakan pada tahun 1955, dan akhirnya England telah bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu, dan 31 Ogos 1957 telah diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu. Sebaik pulang dari England selepas berjaya menuntut kemerdekaan Tanah Melayu, Tunku telah mengisytiharkan berita gembira ini buat kali pertamanya pada 20 Februari 1956 di Bandar Hilir, Melaka. Perkhabaran ini telah disambut dengan penuh kesyukuran daripada penduduk Tanah Melayu.

Bila England dengan rasminya menurunkan bendera mereka di Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957, Tunku telah mengetuai orang ramai bersorak 'MERDEKA!' Gambar hitam-putih Tunku yang menjulang tangannya, dan suara beliau yang penuh emosi tetapi lantang dan tegas dalam mengetuai sorakan Merdeka itu kini merupakan gambar kenangan Kemerdekaan yang paling bermakna sehingga kini, dan menjadi peringatan paling nostalgik, sinonim kepada saat bersejarah itu. Sumbangan besar Tunku kepada negara tidak berhenti setakat itu sahaja. Selepas kemerdekaan, beliau meneruskan usaha-usaha pembinaan negara yang telah beliau bina; memupuk persefahaman antara kaum dan memajukan ekonomi untuk memperkukuhkan pentadbiran beliau. Rancangan Tanah Melayu yang pertama, yang telah dimulakan sejak 1956, telah teruskan dalam usaha mengisi Kemerdekaan yang baru dimiliki.

Tunku telah membawa Tanah Melayu ke arena antarabangsa; menyertai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Komanwel, mengambil dasar anti-apartheid dan menyokong perjuangan rakyat Palestin serta Congo . Pada September 1963, Tunku telah menjadi bapa kepada sebuah lagi negara baru, Malaysia , apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (sekarang Sabah ).

Tunku telah memulakan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) pada 1961; menggabungkan Tanah Melayu , Thailand dan Filipina. Gabungan ini kemudian telah dibubarkan untuk memberi laluan kepada persatuan yang lebih besar iaitu Association of Southeast Asian Nations (Asean) pada 1967. Era pentadbiran Tunku merupakan zaman penuh pancaroba dan pancawarna, dan tentunya tidak semua berjalan lancar seperti yang diharapkan. Krisis-krisis seperti Konfrontasi Indonesia, perpisahan Singapura, peristiwa 13 Mei dan Darurat 1948-1960 menggegarkan seluruh negara, namun Tunku berjaya melaluinya dengan kebijaksanaan, kesabaran, toleransi yang tinggi serta peri kemanusiaan.

Tunku Abdul Rahman tidak pernah kelihatan sebagai seorang yang warak, namun idea-idea dan penglibatannya dalam aktiviti-aktiviti keagamaan telah mencetuskan pemikiran dan penubuhan institusi-institusi besar yang kekal hingga ke hari ini. Selepas menjadikan Islam sebagai agama rasmi setelah Merdeka, pada 1960 Tunku telah menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu golongan mualaf dalam menyesuaikan hidup baru sebagai Muslim. Tunku memegang jawatan Presiden PERKIM sehingga setahun sebelum beliau mangkat. Pada 1961, Malaysia menjadi tuan rumah Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang pertama. Acara ini merupakan hasil cambahan ilham Tunku, yang menganjurkan pertandingan peringkat negeri yang pertama di Kedah pada 1951.

Tunku bukan saja berusaha keras untuk meninggikan imej Islam di Malaysia dan di rantau Asia tetapi juga di peringkat antarabangsa. Pada 1969, beliau membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), di mana beliau dilantik sebagai Setiausaha Agungnya yang pertama. Seiringan itu, beliau telah mengusulkan penubuhan Bank Pembangunan Islam (IDB) sebagai satu institusi khusus dalam kerangka OIC. Tunku juga merupakan presiden Majlis Dakwah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) dari tahun 1982 hingga 1988. Sebagai seorang pencinta sukan, Tunku telah memperkenalkan kejohanan Pestabola Merdeka, yang merupakan pertandingan bolasepak antarabangsa. pada 1957. Pada tahun berikutnya, beliau telah dilantik sebagai president pertama Asian Football Confederation (AFC), jawatan yang disandangnya sehingga 1976.

Walaupun Tunku Abdul Rahman dilahirkan di istana, beliau tidak direncanakan menjadi Sultan di negerinya, tetapi menjadi pemimpin kepada seluruh negara. Keperibadian beliau yang selalu merendah diri dan cepat mesra telah menarik ribuan pengikut dan sahabat, dan telah menghadiahkan Kemerdekaan kepada negara tanpa pertumpahan darah. Semangat kebangsaannya yang tidak pernah luntur telah membawa Tanah Melayu daripada sebuah jajahan Britain yang tidak dikenali hingga menjadi anggota baru dunia yang bermaruah. Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno pada 1971, dan tempatnya diambil oleh timbalannya yang merupakan sahabatnya sejak belajar di London , Datuk Abdul Razak Hussein.

Tunku, Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia yang dicintai mangkat pada 6 Disember, 1990 ketika berusia 87 tahun dan telah disemadikan di Makam Diraja Langgar di Alor Star. - WWW.CTL.UTM.MY

Sumber-sumber rujukan:
http://www.hmetro.com.my
http://www.ctl.utm.my/merdeka/calon/merdeka18/