BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Mac 19, 2009

Minat Menulis Novel Sudah Balik

Setelah beberapa bulan bergelumang dengan perjuangan dan kepakaran dalam bidang lain, akhirnya fokus saya kembali ke dunia penulisan. Memang susah hendak mencipta perasaan seperti ini. Sebab kini, saya sudah dapat membiasakan diri dengan keadaan di sini, maka saya temui beberapa tempat yang baik untuk bersendirian dan menulis novel.

Dahulu memang saya cukup tidak selesa dengan keadaaan panas dan hingar-bingar. Bilik tempat saya menjalankan aktiviti penulisan selama ini memang mudah berwap seperti sauna. Saya tidak pernah pergi ke sauna untuk mandi wap tetapi berdasarkan pengamatan saya mengenai keadaan bilik sauna di sebuah negara Arab, maka saya dapati bilik saya ini memang sesuai dijadikan bilik sauna.

Wap-wap akan terperap di dalam bilik. Di luar bilik saya terdapat tumbuhan-tumbuhan keladi gergasi yang menghalang peredaran angin. Jika hendak mengeluarkan wap-wap air yang terperap dalam bilik ini, maka saya perlu menggunakan kipas besar untuk memudahkan pengaliran udara keluar dan masuk.

Sejak beberapa hari ini saya suka menghabiskan masa terluang di tempat tertentu. Dari situ, perlahan-lahan saya dapati kesediaan saya untuk menulis sudah kembali. Saya memang tidak boleh tahan dengan suhu panas di dalam bilik saya. Mata seolah-olah kering dan kelopak mata hampir melekat pada biji mata. Rambut dan kepala panas sehingga menyebabkan darah-darah di kepala seakan-akan sudah kering. Penglihatan menjadi lemah dan salur-salur darah di dalam mata menjadi sangat panas. Biji mata seolah-olah baru lepas direndam di dalam air panas. Air mata tidak mampu mengalir biarpun mata terasa pedih.

Pada malam hari pula musang-musang akan menari-nari di atas bumbung. Musang bersaiz besar yang datang dari hutan bersebelahan. Tidak boleh dikatakan baik kerana salah seekor daripada musang ini telah membaham seekor ayam di rumah saya.

Saya akan kembali menulis. Yakin pada diri. Tidak ada sesiapa pun yang sempurna. Walaupun karya saya ini bukan sesuatu yang sempurna atau yang terbaik, tetapi saya yakin dengan hasil penulisan saya. Jika di dunia perfileman ada filem yang dihasilkan sebagai filem popular dan ada juga filem 'cult'. Dunia penulisan juga begitu.

Saya menulis untuk kelompok tertentu, jadi saya tidak peduli sangat sama ada karya saya ini laris atau pun tidak. Laris atau tidak bukan lagi faktor saya. Sebab kalau pemasaran yang dibuat serba tak kena, karya yang bagus juga akan terperap di stor dan tidak dapat diulangcetak. Saya adalah seorang penulis novel yang percaya kepada karya saya kerana ada mesej dan ada jalan cerita yang saya yakini sudah memiliki tempat dalam pasaran. Segala-galanya bergantung kepada bagaimana strategi jualan.

Tugas saya sebagai penulis, ialah menyuarakan apa yang saya perjuangkan dan apa yang saya percaya dan dokong sebagai prinsip saya sebagai seorang karyawan. Perjuangkan ini dulu. Selepas siap menulis baru fikirkan soal rekabentuk dan lain-lain. Fokus pada matlamat. Alam pekerjaan mengajar saya erti keutamaan dalam tugasan.

Ya! Menulis sekarang!