BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Februari 22, 2009

Ulasan Raja Lawak 3 Minggu Ke-8: Am - Bakat Yang Tersingkir

Ulasan Raja Lawak Astro Musim Ketiga Minggu Ke-8
Ulasan dan Tulisan oleh Amiene Rev (C) 2009

Tirai Raja Lawak Musim Ketiga Minggu Kelapan telah berakhir. Memang agak menyedihkan kerana peserta-peserta yang tersingkir adalah peserta-peserta berbakat dari aspek-aspek tertentu. Namun saya yakin dengan persembahan dan potensi yang telah mereka tunjukkan dalam persembahan terakhir malam itu, akan membolehkan mereka mendapat saham untuk maju dalam bidang seni pada masa akan datang. Seperti biasa, saya memberikan markah A, B dan C untuk setiap peserta. Walau bagaimana pun, terdapat satu gred khas iaitu A+ yang akan saya berikan kepada peserta tertentu pada minggu ini, sebagai tanda penghormatan saya terhadap usaha peserta yang tertentu.

[A+ : Terbaik Minggu Ini]--[A: Baik-Bagus ]--[ B: Biasa ]--[ C: Kurang Memuaskan ]

Skala adalah daripada C hingga A+. Ini kerana saya percaya finalist Raja Lawak sudah ditapis daripada beribu-ribu orang peserta, maka sekiranya ada gred D, E, F atau Gagal, maka rancangan realiti Raja Lawak Astro adalah sebuah rancangan tidak ada standard.

Kumpulan Raja Lawak Sepah memiliki ciri-ciri kumpulan lawak yang profesional. Kelebihan kumpulan ini adalah boleh bekerjasama dan pandai mengatur strategi. Dua watak keluar awal, dan satu watak sokongan akan keluar kemudian bagi membolehkan penonton lebih fokus. Format bijak ini digunakan oleh Kumpulan Raja Lawak Sepah dari minggu terawal hingga kini. Saya yakin, Sepah akan masuk ke final dan sememangnya layak ke final. Tidak ada sebarang komen lanjutan yang dapat saya berikan pada minggu ini kerana Kumpulan Raja Lawak Sepah sememangnya sebuah kumpulan yang stabil dan tidak mengecewakan pada setiap minggu.

Kumpulan Sepah nyaris-nyaris terperangkap dalam tugasan ke-2, apabila tidak dapat menahan nafsu kecerdasan verbal mereka. Kumpulan Raja Lawak Sepah ternyata adalah sebuah Kumpulan Raja Lawak yang selamba dan spontan. Idea-idea dan dialog-dialog lawak mereka boleh muncul pada bila-bila masa. Menyelitkan peribahasa dalam lawak merupakan satu lagi identiti Kumpulan Raja Lawak Sepah yang boleh dilihat sejak akhir-akhir ini. Satu usaha yang baik.

TUGASAN 1 (Aku sebagai ...) : Lakonan: A, Skrip: A, Dialog: A, Mesej: B,
Tema: A, Lawak: A, Minat: A, Kreativiti: A

TUGASAN 2 : Lakonan: A, Keselarasan: B, Kreativiti: A

Komen Amiene Rev: Kumpulan Raja Lawak Sepah adalah Pelapis
Kumpulan Lawak Negara



Dari aspek lakonan, Kumpulan Raja Lawak LNJ merupakan bintang yang paling menyerlah. Saya amat yakin kedua-dua anggota Kumpulan Raja Lawak LNJ ini mempunyai bakat dalam bidang lakonan. Pun begitu, saya kecewa kerana Kumpulan Raja Lawak LNJ belum dapat menyingkirkan perkataan-perkataan kasar dan kesat dalam dialog mereka. Masih ada perkataan "Bongok!" yang disebutkan oleh salah seorang anggota Kumpulan Raja Lawak LNJ. Untuk tugasan 1, markah tertinggi dalam aspek lakonan wajar diberikan kepada Kumpulan Raja Lawak LNJ.

Saya berharap kedua-dua anggota Kumpulan Raja Lawak LNJ mengambil berat akan isu ini, sebab ia mungkin akan menjadi punca Kumpulan Raja Lawak LNJ yang berpotensi ini untuk tersingkir pada minggu akan datang.


TUGASAN 1 (Aku sebagai ...) : Lakonan: A+, Skrip: A, Dialog: A, Mesej: A,
Tema: A, Lawak: A, Minat: A, Kreativiti: A
TUGASAN 2 : Lakonan: A, Keselarasan: B, Kreativiti: A

Komen Amiene Rev: Kumpulan Raja Lawak LNJ berbakat besar
dalam bidang lakonan.



Jihan Raja Lawak mempamerkan lawak yang berkualiti malam tadi. Elemen hujan diterokai dengan cukup baik namun persembahan Jihan Raja Lawak agak kekurangan dari segi penghayatan. Dari segi pemakaian, Jihan berjaya menyesuaikan dirinya dengan watak hujan, tetapi Jihan tidak menjadi sedingin hujan, seringan titisan hujan dan sebagainya. Ada sesetengah lawak yang boleh disampaikan oleh watak yang kelihatan dingin. Namun mungkin subjek penghayatan yang terlalu abstrak dan berseni ini sukar untuk dibentuk dalam masa persediaan yang singkat. Apa pun, Jihan Raja Lawak terus bangkit sebagai Stand Up Comedian. Apa kata kita saksikan video YouTube di bawah ini:

Jihan Raja Lawak juga mampu melaksanakan Tugasan 2 dengan baik walaupun agak kurang kreatif. Saya rasa Johan dan Zizan menokok tambah skrip yang ada di tangan mereka, sebab kadangkala arahan yang disampaikan agak keterlaluan. Namun Jihan Raja Lawak menghadapi pembulian yang dilakukan oleh kedua-dua orang pengacara yang nakal itu dengan hati yang tabah. Teruskan usaha, Jihan Raja Lawak. Saya berharap Jihan Raja Lawak akan dapat masuk ke pusingan final.

TUGASAN 1 (Aku sebagai ...) : Lakonan: B, Skrip: A, Dialog: A, Mesej: A,
Tema: A, Lawak: A, Minat: A, Kreativiti: A
TUGASAN 2 : Lakonan: A, Keselarasan: A, Kreativiti: C

Komen Amiene Rev: Jihan Pelapis Pelawak Wanita Negara. Saya teringin melihat Jihan Raja Lawak berganding dengan Yann Raja Lawak sebagai adik-beradik dalam drama atau filem tempatan.


Kesilapan terbesar Am Raja Lawak ialah babak sedih yang disampaikannya pada awal persembahannya. Apabila kita dikejutkan dengan babak sedih dan tangisan, sudah tentu sukar untuk kita mengambil mood ketawa. Contohnya apabila kita melihat seseorang yang sedang bersedih kerana kematian seseorang, kemudian kita pergi pula menonton rancangan cerita lucu. Perasaan kelakar sudah tawar.

Namun Am Raja Lawak mempersembahkan lakonan yang sangat baik. Saya berharap untuk menyaksikan Am berlakon di layar perak, memegang watak-watak yang luar biasa seperti harimau jadian, hantu dan sebagainya. Saya rasa Am Raja Lawak berkebolehan untuk berlakon dalam filem aksi. Malam tadi, Am Raja Lawak keluar dengan penuh bermaruah.

Kebolehan Am untuk membuat pelbagai nada suara menarik perhatian saya. Am memiliki potensi untuk menjadi pelakon suara atau voice actor. Khusus untu Am Raja Lawak, sila rujuk entri di bawah ini:


Saya juga berharap Am Raja Lawak untuk mengembangkan bakat dan kecenderungannya untuk meniru suara watak-watak tertentu seperti Pablo Francisco di bawah:

Jika Am dapat dapat melakukan perkara seperti ini, tidak mustahil untuk Am Raja Lawak bangkit semula sebagai seorang Stand Up Comedian yang diminati ramai. Sebenarnya, potensi Am Raja Lawak untuk meniru suara merupakan identiti Am Raja Lawak yang unik. Sayang sekali, kebolehan ini tidak digunakan sepenuhnya oleh Am Raja Lawak. Ini adalah salah satu keistimewaan Am Raja Lawak yang tidak boleh dipandang sipi.

TUGASAN 1 (Aku sebagai ...) : Lakonan: A, Skrip: C, Dialog: B, Mesej: B,
Tema: A, Lawak: C, Minat: A, Kreativiti: B
TUGASAN 2 : Lakonan: A+, Keselarasan: A, Kreativiti: A+

Komen Amiene Rev: Am Raja Lawak memiliki kebolehan yang cemerlang dari segi lakonan gerak badan. Kita memerlukan orang seperti Am Raja Lawak untuk filem-filem aksi. Mungkin Am Raja Lawak patut muncul dalam filem Remp-It.


Saya agak sedih kerana Kumpulan Raja Lawak Chot terkeluar malam tadi. Mereka memberikan persembahan yang agak baik malam tadi. Kegagalan Kumpulan Raja Lawak Chot untuk menyampaikan dialog mereka pada malam tadi menjejaskan lawak mereka. Bunyi suara itik kadangkala menganggu kejelasan dialog. Namun kumpulan Chot sudah bersedia untuk muncul dalam mana-mana drama. Bakat mereka masih boleh dikembangkan. Drama-drama genre remaja sesuai untuk Kumpulan Raja Lawak Chot.

TUGASAN 1 (Aku sebagai ...) : Lakonan: B, Skrip: B, Dialog: B, Mesej: C,
Tema: A, Lawak: B, Minat: A, Kreativiti: B

TUGASAN 2 : Lakonan: B, Keselarasan: A, Kreativiti: B

Komen Amiene Rev: Semoga Kumpulan Raja Lawak Chot dapat muncul dalam drama-drama atau filem genre remaja.


Amir Raja Lawak kelihatan agak ketinggalan berbanding peserta-peserta Raja Lawak yang lain. Kelemahan utama Amir dalam persembahannya ialah loghat Kelantan yang agak pekat dalam percakapannya. Ini menyebabkan para penonton yang tidak faham bahasa Kelantan tidak faham, dan oleh itu tidak dapat hendak ketawa.

Saya berharap Amir Raja Lawak akan cuba berlatih melentur lidah Kelantannya supaya boleh bahasa pengucapannya lebih mesra Malaysia. Latihan seperti membaca dengan kuat dalam Bahasa Baku mungkin boleh membantu Amir Raja Lawak untuk bercakap dalam bahasa yang lebih dapat difahami.

Sekiranya Amir Raja Lawak gagal memperbaiki bahasa pengucapannya, dan loghat Kelantannya masih pekat, saya khuatir Amir Raja Lawak akan tersingkir pada minggu hadapan. Hati-hati Amir.

Satu lagi masalah yang ketara, ialah sikap merendah Amir. Isu badan kecil memang sensitif buat Amir. Tuhan telah jadikan Amir berbadan kecil, namun sayangnya ada pengkritik yang suka membuat komen berkaitan saiz badan Amir. Cuba lihat situasi contoh ini, seorang peserta yang menyertai Akademi Fantasia, berwajah kacak tetapi tidak pandai menyanyi.. Biarpun begitu, dia seorang yang bersungguh-sungguh belajar untuk memperbaiki vokalnya. Orang yang mengkritik mengatakan, "Awak kacak, orang suka awak sebab awak kacak. Yang undi ramai perempuan. Sebab tu awak kekal."

Apa perasaan orang yang kacak apabila dikritik begitu? Cuba kita lihat contoh berikut:

"Awak memang dah semula jadi cantik, tak hairanlah kalau awak menang pertandingan Ratu Cantik?"

"Awak dapat jadi bos sebab ayah awak bos."

"Awak memang murid kesayangan Cikgu Romlah. Tak hairanlah awak selalu dapat A dalam kelas."

"Awak anak orang kaya. Tak hairanlah kalau awak mampu memulakan perniagaan sendiri."

Cuba kita bandingkan kata-kata seperti di atas terhadap kritikan yang pernah dilontarkan kepada Amir Raja Lawak.

"Awak buat apa pun, walau tak kelakar pun orang akan tetap gelakkan awak sebab tengok muka awak pun dah lawak."

"Badan awak tu memang kecil dan cute. Orang tetap suka awak biarpun percakapan awak,orang tak faham satu apa pun."

Cuba kita bandingkan prestasi Amir Raja Lawak semasa minggu satu dengan minggu-minggu seterusnya. Saya dapati komen-komen yang diberikan oleh pengkritik amat sensitif apabila mereka menjadikan tubuh badan Amir Raja Lawak sebagai objek kritikan atau komen mereka.

Pada minggu pertama, Amir Raja Lawak sangat menyerlah, namun sudah ada komen-komen negatif seperti:

"Awak ni Amir Raja Lawak, minggu pertama dah buat persembahan yang terbaik, nanti minggu seterusnya awak buat tak elok, orang akan bandingkan prestasi awak dengan minggu sebelumnya."

"Awak kalau lawak tak jadi pun, orang tetap ketawa sebab badan dan gelagat awak tu dah boleh buat orang yang tengok rasa nak ketawa."

Keceriaan Amir Raja Lawak pada minggu pertama merosot. Kita boleh perhatikan komen-komen yang dilontarkan oleh sesetengah pengkritik pada setiap minggu, mesti merujuk kepada saiz tubuh badan Amir Raja Lawak. Hal ni pasti menyakiti hati Amir Raja Lawak.

Tidak ada lelaki yang suka dijadikan berbadan kerdil dan cute. Ramai lelaki mengimpikan tubuh badan yang normal. Saya rasa tidak adil dan agak keterlaluan apabila masih ada pengkritik-pengkritik yang menggunakan kata-kata seperti tubuh badan Amir Raja Lawak sememangnya kecil, badan Amir Raja Lawak cute yang menjadikan orang suka mengundi Amir Raja Lawak.

Hal ini seolah menafikan kebolehan Amir Raja Lawak. Amir Raja Lawak tentu mahu orang mengiktiraf bakat dan kebolehannya, tetapi setiap minggu, apa yang saya dengar ialah kritikan-kritikan yang lebih menjadikan tubuh badan Amir Raja Lawak sebagai alasan. Bagaimana dengan prestasi cemerlang Amir pada minggu pertama yang telah dipertikaikan oleh salah seorang pengkritik tetap?

Kritikan yang tajam seperti pisau telah membunuh bakat Amir Raja Lawak. Saya menganggap ini sebagai satu pembulian terhadap Amir Raja Lawak. Hentikan. Esok sudah masuk pusingan separuh akhir Raja Lawak Musim Ke-3.

Tanda-tanda tekanan mental yang dihadapi oleh Amir Raja Lawak jelas kelihatan pada tingkah laku Amir Raja Lawak. Saya percaya mana-mana doktor pakar dalam bidang psikologi tentu dapat mengagak apa yang telah berlaku ke atas Amir. Saiz tubuh badan Amir Raja Lawak dijadikan modal pengkritik untuk menghentam Amir.

Ada orang sanggup bunuh diri kerana saiz badan yang gemuk. Ada orang mati kerana aneroksia nervosa kerana mahu menguruskan badan. Mengkritik saiz tubuh badan orang bukanlah satu perkara yang menyeronokkan untuk didengar. Hentikan.

Amir Raja Lawak adalah seorang yang sangat berbakat besar. Keceriaan Amir Raja Lawak berhadapan dengan para penonton pada minggu pertama menjadi satu mimpi. Sebelum ini saya tidak berpeluang menonton Raja Lawak Musim Pertama dan Kedua kerana terlalu banyak urusan akademik. Namun sekarang saya berpeluang menyaksikan rancangan-rancangan realiti. Besar harapan saya agar pemenang-pemenang rancangan Raja Lawak akan dibentuk sebagai ikon yang dapat mendorong muda-mudi untuk memiliki pemikiran yang lebih positif dan cemerlang.

Saya bukan pun suka rancangan seperti Akademi Fantasia, namun sebab orang sudah buat, maka saya sentiasa berfikir bagaimana caranya untuk menarik pemenang-pemenang rancangan realiti ini untuk berbakti kepada masyarakat. Jika orang suka Akademi Fantasia, jika orang suka Raja Lawak Astro, maka pasti ada kebaikan yang boleh kita selitkan. Ini kaedah perang saraf, kita ubah apa yang orang suka kepada sesuatu yang dapat membentuk haluan yang lebih baik. Mungkin belum ke taraf keagamaan tetapi, mendekatkan lagi ke arah kemanusiaan.

Para pemenang rancangan realiti ini merupakan prospek untuk membantu membentuk masyarakat. Amir Raja Lawak tentu mempunyai kesan yang besar terhadap ramai insan yang dilahirkan bertubuh kecil.

Sebelum ini saya pernah membaca mengenai Muhammad Fadhly Mustaffa, berusia 27 tahun yang memiliki Ijazah Pengurusan Perniagaan dari UDM, tetapi sukar mendapat kerja biarpun telah menghadiri banyak temuduga. Ini kerana saiz tubuh badan Muhammad Fadhly yang kecil menyebabkan dia tidak mendapat kepercayaan penuh daripada pihak penemuduga bahawa Muhammad Fadhly mampu memikul tugas yang bakal diberikan kepadanya.

Kemenangan Amir Raja Lawak akan memberi pengaruh yang besar kepada masyarakat. Apabila pengkritik mengkritik tubuh badan Amir Raja Lawak, maka seolah-olah mengkritik ciptaan Tuhan kepada Amir Raja Lawak. Amir Raja Lawak sudah memberikan yang terbaik pada minggu pertama tetapi dipersoalkan pula kenapa memberikan yang terbaik. Kenapa pengkritik tidak memberi dorongan kata-kata seperti:

"Amir Raja Lawak, minggu pertama ni saya rasa persembahan awak amat bagus. Saya percaya awak boleh buat lebih cemerlang daripada ini pada minggu depan. Saya menunggu persembahan awak yang berikutnya."

Dan bukannya kata-kata seperti:

"Amir Raja Lawak, kenapa buat yang terbaik pada minggu pertama. Nanti minggu kedua, ketiga dan seterusnya, kalau awak tak dapat buat sebaik ini, orang akan rasa tak suka dengan awak."

Saya menyaksikan minggu kedua dan seterusnya, Amir Raja Lawak dikritik dan kritikan itu melibatkan saiz tubuh badannya yang kerdil. Ini penghinaan yang cukup besar. Saya tidak berasa hairan apabila melihat Amir Raja Lawak meluah atau membalas kata-kata salah seorang pengkritik tetap kerana saya rasa komen yang diberikan itu sememangnya tidak adil.

Tidak ada orang yang suka dikatakan dapat menjadi Ratu Cantik kerana dia sememangnya cantik. Tidak ada orang yang suka dikatakan dapat jadi juara lumba lari kerana dia seekor arnab dan lawannya seekor kura-kura. Dan tidak ada orang yang suka dijadikan berbadan kerdil. Hentikan kritikan terhadap tubuh badan kerdil Amir Raja Lawak.

Pengkritik patut menjadi lebih kreatif dalam melontarkan kritikan. Saya tidak tahu kalau-kalau Amir Raja Lawak membaca tulisan saya ini. Apa pun Amir Raja Lawak, selain Jihan, saya rasa Amir Raja Lawak antara insan yang paling tertekan dalam rancangan realiti Raja Lawak Astro Musim Ke-3. Saya berharap Amir Raja Lawak dapat membuktikan bahawa kekurangan yang dimiliki atau X-Factor yang ada pada diri Amir tidak bersandar kepada tubuh badan kerdil semat-mata. Saya yakin kebolehan Amir Raja Lawak sebagaimana yang pernah ditonjolkan pada minggu pertama, keceriaan Amir Raja Lawak yang menyerikan suasana pada malam minggu pertama Raja Lawak Astro Musim Ke-3 akan hidup semula, asalkan Amir Raja Lawak mempunyai keazaman untuk berjaya.

Kisah Amir Raja Lawak mengingatkan saya kepada seorang gadis berbadan kerdil yang menderita penyakit tulang belakang, yang pernah meluahkan perasaan duka dan deritanya kepada saya menerusi e-mel sekitar lima tahun yang lalu.

Orang berbadan kerdil menderita kerana sering diejek, dipandang pelik dan sukar mendapat cinta daripada orang lain. Cinta mungkin sukar, namun jodoh di tangan Tuhan. Saya ingin tengok persembahan Amir Raja Lawak dalam minggu seterusnya.

TUGASAN 1 (Aku sebagai ...) : Lakonan: B, Skrip: B, Dialog: B, Mesej: B,
Tema: A, Lawak: C, Minat: A, Kreativiti: C
TUGASAN 2: Lakonan: C, Keselarasan: C, Kreativiti: C

Komen Amiene Rev: Amir Raja Lawak perlu memperbaiki bahasa pengucapannya.
Orang Kelantan tentu faham apa yang Amir Raja Lawak ucapkan, tetapi orang luar tidak faham dan tidak berasa seronok kerana tidak faham apa yang Amir Raja Lawak ucapkan.

Lagi Ulasan Raja Lawak Musim Ketiga:
Sketsa Saya Seorang Pelakon Filem Hindi: