BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Februari 15, 2009

E-mel Pembaca: Sudah Dua Tahun Bertunang Tetapi Belum Diizinkan Berkahwin

Pasangan Kekasih Bercinta Tujuh Tahun Tidak Tertahan Gelora Cinta
Dua Tahun Pertunangan Belum Berakhir Dengan Perkahwinan
Assalamualaikum.

Umur saya 30 tahun dan saya sudah pun bertunang. Pertunangan saya telah pun menjangkau 2 tahun. Masalah saya sekarang ialah selepas majlis pertunangan saya 2 tahun yang lepas, satu insiden telah berlaku antara keluarga di sebelah ibu saya dengan keluarga tunang saya. Akibat daripada insiden itu keluarga saya tidak lagi merestui hubungan kami. Kedua ibu bapa saya meminta saya memikirkan semula tentang hubungan kami. Daripada apa yang mereka katakan kepada saya, mereka tidak lagi merestui hubungan kami tetapi mereka tidak pula meminta saya untuk memulangkan barang pertunangan saya dan cincin pertunangan. Manakala keluarga tunang saya masih lagi melayan saya dengan baik dan ibu tunang saya kadang-kadang melayan saya seperi anaknya sendiri.

Hubungan saya dengan tunang saya sudah pun menjangkau tujuh tahun dan kami berharap sangat hubungan kami berakhir dengan ikatan perkahwinan. Tunang saya merupakan seorang yang bertanggungjawab. Sepanjang perhubungan kami, kami telah pun terlanjur. Walaupun sekarang famili saya tidak memberi layanan yang baik kepada tunang saya tetapi tunang saya tetap bersabar dan sedikit pun dia tidak mencari alasan untuk meninggalkan saya. Malah dia ingin kami cepat-cepat berkahwin. Keluarga tunang saya tahu sejauh mana hubungan kami. Malah ibu tunang saya menasihati kami untuk tidak mengulangi perbuatan yang salah dan meminta kami untuk cepat berkahwin bagi mengelakkan daripada kami melakukan dosa lagi. Ibu bapa saya tidak tahu langsung yang kami telah pun terlanjur. Saya buntu, saya tidak tahu bagaimana hendak beritahu keluarga saya yang saya memang memilih tunang saya sebab saya memang sayangkan dia dan bukan sebab terpaksa.

Laila Majnun
Maklum balas Amiene Rev:
Waalaikumussalam Kak Laila. Saya berasa sangat sedih dengan apa yang telah berlaku ke atas Kak Laila dan tunang Kak Laila. Pada pandangan saya, perkahwinan merupakan satu langkah terbaik untuk menghindari zina, namun kerana kepentingan pihak-pihak tertentu, Kak Laila terpaksa menanggung derita.

Namun, tidak ada manusia pun yang benar-benar sempurna. Apa yang berlaku biarlah berlalu, dan jangan diungkit lagi. Semoga Allah memberi pengampunan terhadap dosa-dosa yang lalu. Sedangkan Allah sentiasa menunggu Iblis kembali kepadanya, dan kasih sayang Allah terhadap Iblis masih jelas terlihat apabila Allah bersedia untuk mengampunkan Iblis asalkan Iblis sanggup sujud kepada Nabi Adam A.S. Oleh itu, saya berharap agar Kak Laila jangan bersedih lagi dan berjanji untuk berjuang demi mendapatkan perkahwinan yang sah. Berikut adalah pautan rujukan untuk Kak Laila.


Apa yang saya lihat di sini, yang ingin berkahwin adalah Kak Laila dan tunang Kak Laila, dan perasaan cinta masih utuh antara Kak Laila dan tunang Kak Laila. Kenapa pula harus mereka menghalang perkahwinan ini?

Saya pernah mendengar cerita daripada seorang ustaz (pensyarah di universiti), yang mengajar saya semasa di universiti. Ceritanya barangkali dapat memberi panduan buat Kak Laila. Ceritanya begini:

Pada suatu hari datang seorang mahasiswa yang ingin berkahwin dengan pasangannya kepada ustaz ini. Mahasiswa itu sudah tidak dapat menahan nafsunya, lalu dia berkata kepada ustaz tersebut:

"Ustaz, saya mahu kahwin dengan dia sekarang. Jika esok pagi saya belum dapat berkahwin dengan dia, maka saya akan berzina dengan dia, ustaz!"

Ustaz itu berasa sangat terkejut kerana belum pernah ada mana-mana lelaki yang membuat pengakuan sedemikian rupa di hadapannya.

"Sabar, sabar. Bawa bertenang. Fikir baik-baik dahulu. Berzina itu berdosa besar. Jangan gelapkan masa depanmu, wahai anak muda," pujuk ustaz itu.

"Tak boleh ustaz. Ibu bapa saya tak izinkan saya kahwin dengan dia. Kalau ustaz tidak mahu lihat saya terjerumus ke lembah neraka, ustaz tolonglah saya. Tolong nikahkan saya dengan gadis pilihan saya ini."

Sambil memberi kaunseling, ustaz itu bertanya lagi masalah kedua-dua orang pasangan muda itu secara lebih mendalam. Oleh sebab perkara ini datang secara mengejut, maka ustaz itu pun perlu berfikir semasak-masaknya. Ustaz itu meminta mahasiswa itu pulang dan bertenang dulu sementara dia mencari jalan penyelesaian. Masalahnya di sini ialah dua orang muda yang sudah tidak dapat menahan nafsu dan ingin berkahwin untuk mengelakkan zina.

Setelah berbincang dengan beberapa orang ustaz (rakan sekerja yang lain), pada malam itu ustaz membawa sekumpulan orang yang lain itu pun mencari pemuda itu dan pasangannya.

Maka pemuda itu dinikahkan dengan gadis pilihannya. Saya tidak dapat menjelaskan cerita ini dengan lebih lanjut sebab saya kurang ingat jalan ceritanya yang sangat panjang lebar. Cerita ini telah diceritakan kepada saya sekitar 8 tahun yang lepas.

Semoga cerita saya di atas dapat memberi panduan kepada Kak Laila dan tunang Kak Laila. Perkahwinan adalah untuk mengelakkan zina. Kak Laila dan tunang Kak Laila sangat beruntung kerana sudah dapat bertemu pasangan hidup, cuma kurang bernasib baik kerana belum dapat berkahwin.

Di dunia ini, masih ada manusia yang sangat-sangat mahu berkahwin, tetapi masih tidak dapat berkahwin kerana terdapat beberapa batasan seperti belum bertemu pasangan hidup, belum cukup duit untuk berkahwin dan sebagainya. Akhirnya mereka terjerumus ke lembah hina.

Kepada Kak Laila dan tunang Kak Laila, saya anggap apa yang telah berlaku kepada Kak Laila dan tunang Kak Laila sebagai satu perkara yang serius. Saya berharap Kak Laila dapat pergi ke pejabat kadi untuk membincangkan tentang perkahwinan. Jangan ditangguh lagi jika kedua-dua yang empunya badan sudah suka sama suka. Masih ada caranya untuk melangsungkan perkahwinan dan cara tersebut boleh dibuat menerusi Tok Kadi.

Cinta yang mulia akan berakhir dengan perkahwinan, bukan sekadar pertunangan. Demi keredhaan Tuhan, saya mencadangkan kepada Kak Laila dan tunang Kak Laila supaya dapat melangsungkan perkahwinan secepat mungkin.

Di dunia ini tidak ada manusia yang benar-benar sempurna. Tuhan itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Saya mendoakan agar Kak Laila dan tunang Kak Laila dapat berkahwin dan bahagia hingga ke alam akhirat.

Yang benar,
Amiene Rev

E-mel Pembaca: Ruangan Pos Masalah Anda
Sekiranya anda ada masalah untuk dikongsi dan mahukan pandangan daripada Amiene Rev, bolehlah menggunakan pautan di bawah untuk mengisi borang Pos Masalah Anda (Surat Pembaca). Anda diminta tidak menggunakan Bahasa SMS dan seangkatan dengannya. Setiap surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu.