BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Februari 12, 2009

E-mel Pembaca: Remaja Bosan Ingin Berhenti Sekolah

Pelajar Keliru Sama Ada Mahu Berhenti Sekolah Atau Sambung Belajar Di Pusat Pengajian Vokasional
Salam sejahtera!

saya nak tanya adakah patut saya berhenti sekolah selepas PMR atau sambung belajar di Pusat Pengajian Vokasional? Jika saya sambung belajar di pusat vokasional apa yang patut saya beritahu kepada emak dan ayah saya? Ini kerana mereka begitu mengharap supaya saya belajar di sekolah sekarang ini.

A.T.G
Maklum balas Amiene Rev:

Salam sejahtera buat Adik juga. Cikgu berharap Adik tidak membuat keputusan terburu-buru untuk berhenti sekolah. Berdasarkan e-mel ringkas daripada Adik, Cikgu kurang jelas dengan sebab-sebab kenapa Adik ingin berhenti sekolah.

Namun, berdasarkan tajuk asal e-mel Adik kepada Cikgu, iaitu "Bingung dan Boring", Cikgu menduga yang Adik sedang menghadapi kebosanan dalam mengharungi alam persekolahan.

Biarlah Cikgu berterus terang dengan Adik. Pada masa kini, sebarang pekerjaan yang dapat menjamin masa depan memerlukan status akademik yang baik. Hasrat Adik untuk masuk ke Pusat Pengajian Vokasional juga boleh jadi akan terjejas.

Cuba rujuk di: http://www.kym.edu.my/www/cetak/pltvcetak.html

Syarat kemasukan ke Pusat Pengajian Vokasional ialah tamat tingkatan 5 atau SPM di sekolah bantuan penuh kerajaan. Sekiranya adik berhenti belajar selepas PMR, bagaimana Adik hendak masuk ke Pusat Pengajian Vokasional?

Ibu bapa Adik tentu sudah sedar betapa pentingnya status akademik untuk masa depan Adik. Jika Adik memberitahu ibu bapa Adik mengenai hasrat Adik sekarang ini, tentu mereka akan rasa sangat kecewa.

Cikgu cadangkan supaya Adik terus berusaha untuk belajar sekurang-kurangnya sehingga tamat SPM. Cikgu juga berharap agar Adik cuba mendekati pelajar-pelajar yang rajin berusaha dalam pelajaran. Cuba tanya pelajar-pelajar tersebut, apa yang menyebabkan mereka rasa berminat untuk belajar?

Sekolah bukan suatu tempat yang membosankan jika Adik memiliki perancangan untuk masa depan. Cikgu mencadangkan Adik supaya meneliti satu persatu subjek-subjek yang telah atau sedang Adik pelajari di sekolah. Cuba perhatikan subjek-subjek apakah yang menarik minat Adik. Apakah sebab Adik berminat dengan subjek tersebut?

Kemudian cuba perhatikan apakah subjek yang Adik rasa Adik boleh ikut dan terus belajar. Cuba Adik ulangkaji subjek-subjek tersebut. Lama-kelamaan minat Adik untuk terus belajar akan muncul. Kemudian cuba dapatkan kawan-kawan yang berminat dengan subjek tersebut.

Jika Adik sudah menemui beberapa subjek yang Adik rasa Adik boleh ikuti dengan baik atau agak baik di sekolah, cuba Adik bincangkan dengan kaunselor di sekolah Adik. Cuba Adik tanya kaunselor sekolah, apakah kerjaya yang boleh Adik capai dengan menggunakan subjek-subjek tersebut.

Setelah mengetahui jenis-jenis pekerjaan yang boleh Adik capai dengan subjek-subjek tersebut, tanamkan minat Adik untuk terus mencapai keputusan yang cemerlang dalam subjek-subjek tersebut Tanamkan cita-cita, apakah pekerjaan masa depan yang ingin Adik capai? Jurutera? Doktor? Usahawan? Arkitek?

Setiap manusia memiliki potensi yang berbeza. Adik juga tentu memiliki potensi yang belum diterokai. Jadikan usaha untuk mencari potensi dalam diri Adik sebagai satu cabaran. Apabila ada cabaran, barulah ada keseronokan. Potensi dan bakat ini cuma boleh diketahui apabila Adik bersungguh-sungguh mempelajari semua mata pelajaran yang diajar di sekolah.

Apabila Adik menemui subjek-subjek yang Adik rasa Adik mampu menguasainya, maka di situlah bermulanya perjuangan Adik untuk mengembangkan potensi Adik. Percayalah, rasa bosan Adik terhadap sekolah akan hilang apabila Adik menemui potensi Adik, cita-cita yang sesuai yang dicapai dengan potensi tersebut dan usaha Adik untuk meningkatkan lagi potensi Adik dalam satu-satu bidang.

Cikgu doakan agar Adik dapat membuat keputusan yang bijak dalam kehidupan, dan berjaya dalam mencapai cita-cita yang terbaik untuk diri Adik. Semoga Adik akan dapat menggunakan cita-cita tersebut untuk membalas jasa ibu bapa Adik. Semoga berjaya.

Yang benar,
Amiene Rev

E-mel Pembaca: Ruangan Pos Masalah Anda
Sekiranya anda ada masalah untuk dikongsi dan mahukan pandangan daripada Amiene Rev, bolehlah menggunakan pautan di bawah untuk mengisi borang Pos Masalah Anda (Surat Pembaca). Anda diminta tidak menggunakan Bahasa SMS dan seangkatan dengannya. Setiap surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu.