BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Februari 28, 2009

Raja Lawak Ke-3 Minggu Ke-9 - LNJ Tersingkir Sebagai Pelakon Terbaik

Ulasan Raja Lawak Astro Musim Ketiga Minggu Ke-9 - Separuh Akhir
Ulasan dan Tulisan oleh Amiene Rev (C) 2009
NOTA: Entri ini akan dikemaskini sekiranya perlu.

Raja Lawak Astro Musim Ke-3 Minggu Ke-9 merupakan minggu semi final yang menyaksikan kebenaran kata-kata orang dahulu kala, "Tuah Ayam Nampak Di Kaki, Tuah Manusia Siapa Yang Tahu."

Berdasarkan keputusan Raja Lawak Astro Musim Ke-3 Minggu Ke-9 ini, maka satu catatan sejarah sudah bermula apabila terdapat peserta wanita pertama berjaya ke peringkat akhir Raja Lawak Astro dan kombinasi pelbagai variasi peserta Raja Lawak iaitu berkumpulan, solo lelaki dan solo wanita.

Siapakah pemenang pada Raja Lawak Musim Ke-3 itu nanti? Adakah Kumpulan Raja Lawak Sepah yang selamba? Adakah Jihan Ratu Lawak yang bersemangat tinggi? Atau Amir Raja Lawak yang juga boleh dianggap Putera SMS yang masih berusaha menyembuhkan dirinya daripada kecederaan emosi akibat kritikan-kritikan saiz badan kerdil pada minggu-minggu lalu? Saya percaya terdapat ilmu-ilmu baru telah ditonjolkan pada malam tadi.

Seperti biasa saya memberikan sama ada gred A+, A, B dan C untuk setiap peserta yang bertanding pada malam tadi.

[A+ : Terbaik Minggu Ini]--[A: Baik-Bagus ]--[ B: Biasa ]--[ C: Kurang Memuaskan ]

Skala adalah daripada C hingga A+. Ini kerana saya percaya finalis Raja Lawak sudah ditapis daripada beribu-ribu orang peserta, maka sekiranya ada gred D, E, F atau Gagal, maka rancangan realiti Raja Lawak Astro adalah sebuah rancangan tidak ada standard.

Peserta Pilihan Pertama Amiene Rev untuk RJL3 Minggu Ke-9:
Jihan Raja Lawak - Serikandi Lawak

TUGASAN 1 : Lakonan: A, Skrip: A+, Dialog: A, Mesej: A+,
Tema: A, Lawak: A, Minat: A+, Kreativiti: A
TUGASAN 2 : Kreativiti: A, Minat: A+ Cerita: A, Lakonan: A, Lawak: A

Malam ini Jihan bangkit sebagai stand up comedian yang sangat kreatif. Seperti biasa, Jihan Raja Lawak menunjukkan kebolehan menggarap skrip yang cukup baik. Jihan Raja Lawak kelihatan penat malam tadi. Barangkali konsentrasinya agak terganggu dengan tugasan kedua.

Jihan Raja Lawak adalah kebanggaan kaum wanita. Pada rancangan Raja Lawak Musim Ketiga Minggu Ke-9 malam tadi, Jihan Raja Lawak membuat persembahan yang selayaknya untuk beliau muncul sebagai peserta final Raja Lawak Astro Musim Ke-3.

Walaupun Jihan Raja Lawak berseorangan, tetapi beliau mampu memberi idea yang sangat baik untuk tugasan satu dan tugasan dua. Logiknya ada. Idea-idea Jihan Raja Lawak adalah bersifat global. Potensi Jihan Raja Lawak belum dapat diduga kerana Jihan Raja Lawak sentiasa berusaha untuk memperbaiki dirinya. Bandingkan minggu pertama Jihan Raja Lawak berada di pentas dan terkini. Idea-idea Jihan Raja Lawak semakin hari semakin bercambah. Pheonix (burung api) yang bangkit dari abu yang semakin menyerlah kini.

Baiklah, cukuplah pujian saya terhadap Jihan Raja Lawak. Masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki oleh Jihan Raja Lawak. Pertama dari aspek lakonan dan pergerakan. Jihan Raja Lawak belum mampu melakukan pergerakan sebaik Jun Raja Lawak dari Kumpulan Raja Lawak LNJ, atau ManBelon Raja Lawak atau Am Raja Lawak. Sekiranya Jihan Raja Lawak mampu meningkatkan lagi persembahan gerak badan dan penghayatan watak, Jihan Raja Lawak pasti menjadi peserta yang paling mengagumkan.

Skrip Jihan Raja Lawak selalunya bagus, idea-idea Jihan Raja Lawak semakin global dan kritis. Teruskan menggali idea-idea baru. Perbaiki lakonan dan juga stamina.

Saya cadangkan Jihan Raja Lawak supaya merakamkan sketsa lawak yang hendak dibuat dan mengkaji semula kelemahan lawak. Sambil menyaksikan rakaman lakonan, sambil menanda merah atau membuat catatan pada skrip yang dirancang untuk memperbaiki dialog, petikan ucapan, tingkah laku, runut bunyi dan sebagainya. Semoga berjaya, Jihan Raja Lawak. Anda sudah mempunyai pasaran, jangan kecewakan penyokong-penyokong anda.


Peserta Pilihan Kedua Amiene Rev untuk RJL3 Minggu Ke-9:
Kumpulan Sepah Raja Lawak Buat Pembaharuan

TUGASAN 1 : Lakonan: A, Skrip: A, Dialog: A, Mesej: B,
Tema: A, Lawak: A, Minat: A, Kreativiti: A
TUGASAN 2 : Kreativiti: A, Minat: A+, Cerita: A, Lakonan: A, Lawak: A

Seperti yang dijangka Kumpulan Sepah Raja Lawak pasti berjaya menggeletek hati para penonton. Namun, lawak dua maksud yang dibuat oleh Kumpulan Raja Lawak Sepah pada malam tadi menggusarkan hati saya. Nampaknya Kumpulan Raja Lawak Sepah kembali melakukan lawak-lawak secara kasar dan agak lucah. Tentu ada pengkritik yang marah malam tadi (jika diperhatikan).

Namun, populariti Kumpulan Raja Lawak Sepah yang telah dibina setingkat demi setingkat pada setiap minggu telah berjaya mendokong perasaan setia di kalangan penyokong. Inilah kepentingannya melakukan aksi lawak yang terbaik setiap minggu. Kumpulan Raja Lawak Sepah telah berjaya membina menara yang berdiri tegak di takhta undian Raja Lawak Astro Musim Ke-3.

Tugasan ke-2 dilaksanakan dengan baik. Memandangkan masa yang diberikan adalah singkat, maka Kumpulan Raja Lawak Sepah perlu bergantung kepada dialog spontan. Di sini sekali lagi terpapar dialog-dialog dan perkataan-perkataan yang agak kasar.

Saya berharap kumpulan Raja Lawak Sepah akan meneliti semula persembahan mereka dan tidak mengulangi lawak-lawak kasar lagi. Ini boleh menjejaskan populariti Kumpulan Raja Lawak Sepah pada masa akan datang.

Namun, ada satu perkara menarik pada malam tadi. Bimbingan Radhi Khalid menunjukkan satu peningkatan dalam persembahan Kumpulan Raja Lawak Sepah. Kerjasama. Semangat berpasukan. Tahniah, Radhi Khalid. Malam tadi, Kumpulan Raja Lawak Sepah tidak lagi melakukan format 2+1. Kumpulan Raja Lawak Sepah telah melaksanakan format persembahan 3 orang secara terus. Namun pembahagian dialog dan selit-menyelit antara satu watak ke satu watak yang lain berjaya dilaksanakan dengan baik. Tidak ada yang syok sendiri. Tidak ada yang terpinggir. Tahniah Kumpulan Raja Lawak Sepah! Barangkali ini potensi rahsia yang anda perkenalkan menjelang final Raja Lawak Musim Ke-3.


Peserta Pilihan Ketiga Amiene Rev untuk RJL3 Minggu Ke-9:
Kumpulan Raja Lawak LNJ Pelakon Terbaik RJL3

TUGASAN 1 : Lakonan: A+, Skrip: A, Dialog: A, Mesej: B,
Tema: A, Lawak: A, Minat: A, Kreativiti: A
TUGASAN 2 : Kreativiti: A+, Minat: A+, Cerita: A+, Lakonan: A+, Lawak: A

Dari sudut pandangan peribadi saya, Kumpulan Raja Lawak LNJ sudah lulus uji bakat untuk menjadi pelakon mana-mana drama atau filem. Jika saya seorang pengarah drama atau filem, peserta Raja Lawak Musim Ke-3 yang telah tersingkir yang bakal menjadi pilihan UTAMA saya ialah Kumpulan Raja Lawak LNJ, diikuti dengan Yann Raja Lawak, Chot Raja Lawak dan ManBelon Raja Lawak.

Malam tadi, Kumpulan Raja Lawak LNJ turut membuktikan kebolehan mereka untuk menyusun cerita dengan cukup baik berserta dengan idea-idea yang sesuai dan fleksibel.

Jun, anggota Kumpulan Raja Lawak LNJ menunjukkan prestasi lakonan yang paling cemerlang antara individu-individu yang berada dalam senarai finalis Raja Lawak Musim Ke-3. Jun umpama jelmaan Rosyam Nor. Namun begitu, Lan, seorang lagi anggota Kumpulan Raja Lawak LNJ juga turut memberikan prestasi lakonan yang cukup baik.

Kumpulan Raja Lawak LNJ telah tersingkir, tetapi mereka keluar dari gelanggang Raja Lawak Astro Musim Ke-3, sebagai pemegang takhta Pelakon Terbaik.


Peserta Pilihan Keempat Amiene Rev untuk RJL3 Minggu Ke-9:
Amir Raja Lawak dan Cerita Kebesaran Tuhan

TUGASAN 1 : Lakonan: B, Skrip: B, Dialog: B, Mesej: A+,
Tema: A, Lawak: B, Minat: A, Kreativiti: B
TUGASAN 2 : Kreativiti: A, Minat: B, Cerita: A, Lakonan: B, Lawak: B

Doa orang teraniaya selalunya makbul. Setiap minggu saya menyaksikan Amir Raja Lawak seolah-olah dibuli, dan didera secara mental apabila ada sahaja kritikan yang fokus terhadap tubuh badan kerdil yang dimiliki oleh Amir Raja Lawak.

Setiap orang mengimpikan tubuh badan yang normal. Tidak ada lelaki normal yang tidak mahu dianugerahkan dengan tubuh badan yang tinggi dan gagah. Amir Raja Lawak kekurangan dari segi ini, tetapi pada minggu pertama, beliau cuba melawan kelemahannya dengan mempamerkan persembahan yang disifatkan terbaik oleh beberapa pengkritik pada minggu pertama.

Namun, kesilapan besar yang dilakukan oleh sesetengah pengkritik pada minggu pertama ialah, mengkritik dan seolah-olah mengusik saiz tubuh badan Amir Raja Lawak. Tidak cukup dengan itu, lontaran bahawa Amir Raja Lawak tidak patut membuat yang terbaik pada minggu pertama kerana dibimbangi sekiranya beliau gagal melakukan yang lebih baik pada minggu seterusnya akan membuatkan peserta tidak suka kepada Amir Raja Lawak. Ini adalah satu kesilapan besar dalam dunia kritikan.

Amir Raja Lawak berpotensi, namun tekanan mental yang terus dilontarkan kepada Amir Raja Lawak menjadikan Amir Raja Lawak kurang keyakinan diri, lantaran itu dia menjadi gagap dan sering tersasul setiap kali mahu membuka mulut dan membuat persembahan. Daripada seorang pemuda yang petah berbahasa Kelantan, Amir Raja Lawak kini turut tergagap. Mana-mana doktor atau pakar psikologi tentu mengakui hal ini.

Saya tidak pasti apakah perasaan saya apabila melihat Amir Raja Lawak mara ke final. Bagi saya Amir Raja Lawak adalah bakat yang telah dicederakan secara emosi. Jika aneroksia nervosa menjadi pembunuh bagi mereka yang bersedih kerana berbadan besar, maka Amir Raja Lawak pula adalah insan yang bersedih kerana ada pengkritk yang tidak menghargai usahanya pada minggu pertama, dan menjadikan saiz tubuh badan kerdilnya sebagai unsur-unsur diskusi dalam kritikan. Susah. Sebab Amir Raja Lawak kini dibelenggu dengan perasaan antara mahu menang, geram dan bersalah. Mahu menang, sebab itu Amir Raja Lawak memberikan yang terbaik pada minggu pertama. Geram, kerana ada orang yang mempertikaikan kebolehannya dan mengatakan dia cuma bersandar kepada saiz tubuh badan kerdilnya yang tampak comel dan kelakar. Bersalah, kerana Amir Raja Lawak mula kehilangan keyakinan diri setelah setiap minggu dipersalahkan kerana memiliki tubuh badan yang kerdil, yang dikatakan menjadi punca utama dia mendapat undian tertinggi daripada para penonton. Ah, memang dalam dilema jika saya menjadi Amir Raja Lawak.

Namun, sujud yang Amir Raja Lawak lakukan pada malam tadi, mempunyai makna tersendiri. Saya tidak pasti jika Amir Raja Lawak mempunyai kenangan manis dalam percintaan. Saya tidak pasti jika Amir Raja Lawak pernah dikecewakan sebelum ini kerana gagal memikat wanita yang disukai lantaran saiz badan yang kerdil. Mungkin tajuk cinta agak sensitif buat Amir Raja Lawak.

Namun Amir Raja Lawak boleh dikatakan bijak kerana meletakkan elemen ketuhanan dalam persembahannya malam tadi biarpun persembahannya kurang menyerlah. Cinta kepada Tuhan adalah satu-satunya cara terbaik untuk melupakan seseorang yang tidak dapat kita miliki. Amir sujud pada malam tadi sebagai tanda bersyukurnya dia kepada Tuhan kerana memberinya peluang untuk mara ke separuh akhir. Amir Raja Lawak berserah kepada Tuhan, pasrah, lantaran dia kini dalam dilema. Mungkin kerana perasaan bersalah, kerana gagal menunjukkan persembahan terbaik, lantaran penderaan mental yang dialaminya. Mungkin sebelum dia masuk ke rancangan Raja Lawak lagi. Mungkin, dia selalu dibuli, dianggap akan tersingkir pada minggu pertama kerana orang perempuan tidak suka memilih lelaki bersaiz kerdil sebagai pasangan hidup, atau mungkin kerana majikan di syarikat-syarikat tidak suka mengambil orang berbadan kerdil untuk bekerja, mendorong Amir Raja Lawak untuk membuat yang terbaik pada minggu pertama lagi. Tidak ada orang yang memahami isi hati Amir Raja Lawak? Saya sendiri pun tidak tahu, sama ada saya memahaminya.

Apa pun Amir Raja Lawak telah mara ke final. Doa orang teraniaya telah dimakbulkan. Sujud yang dibuat oleh Amir Raja Lawak di pentas Gelanggang Raja Lawak Astro barangkali merupakan sujud syukur pertama pernah dibuat oleh peserta Raja Lawak Astro. Saya terharu menyaksikannya.

Baiklah, ada beberapa kelemahan yang perlu Amir Raja Lawak perbaiki. Saya tidak pasti sama ada kata-kata saya akan sampai kepada Amir Raja Lawak atau pun tidak. Tapi alangkah bagusnya jika tulisan ini dapat dibaca oleh beliau. Anggaplah tulisan ini juga sebagai surat terbuka untuk mana-mana peserta Raja Lawak (khususnya Sepah, Jihan dan Amir yang bakal beraksi di final Raja Lawak Musim Ke-3 nanti).

Pertama, berusaha berlatih bercakap dalam Bahasa Baku untuk melentur lidah. Berlatih menyebut dialog secara perlahan, sebutir perkataan demi sebutir perkataan. Berlatih menyebut dialog secara perlahan, sebutir perkataan demi sebutir perkataan dengan memasang bunyi audio letupan, guruh, sorakan penonton, maki hamun penonton, tepukan dan sebagainya.

Rakamkan lakonan sketsa latihan anda. Pastikan skrip sudah siap ditulis untuk memudahkan semakan. Lihat kembali rakaman video lakonan anda dan teliti mana-mana bahagian yang kelihatan terputus-putus, tidak menarik atau kurang lucu atau tidak lucu langsung. Jika sukar mendapatkan kamera video digital, maka cuba gunakan web cam atau kamera video yang terpasang pada laptop. Atau jika tidak ada langsung, praktis pada cermin sajalah.

Kaji idea-idea baru yang boleh ditambah. Tontonlah YouTube dan cari kata kunci seperti Parody, Stand Up Comedian, Spoof dan sebagainya.

Semak dan sunting kembali skrip yang dibuat. Bayangkan di dalam minda apa yang akan ada lakonkan dan ucapkan.

Cuba berlakon dalam situasi radio terpasang. Pasang bunyi tepukan, maki hamun (boo), bunyi guruh dan sebagainya.

Saya berharap peserta-peserta Raja Lawak nanti akan dapat melibatkan diri dalam program-program yang dapat membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat sama ada dari segi rohani, emosi, jasmani atau intelektual.

Semoga berjaya kepada semua peserta Raja Lawak, tidak kira yang masih berjuang di Gelanggang Raja Lawak Astro atau yang telah tersingkir. Masa depan milik anda.

Ulasan-ulasan terdahulu berkaitan dengan Peserta Raja Lawak Astro Musim Ke-3: