BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, Februari 14, 2009

Raja Lawak Astro Musim Ketiga - Amir Bangkit, Sepah Menyengat!

Ulasan Raja Lawak Astro Musim Ketiga Minggu Ketujuh
Ulasan dan Tulisan oleh Amiene Rev (C) 2009

Malam tadi, Raja Lawak Astro Musim Ke-3 Minggu Ke-7 telah pun selamat dilangsungkan. Seperti yang dijangka, apabila para pengkritik kelihatan berkelakuan agak pelik pada malam tadi, maka sudah pasti sesuatu akan berlaku. Ya, seperti yang dijangka, tidak akan ada penyingkiran pada minggu ketujuh. Walau bagaimanapun ada satu perkara yang tidak memuaskan hati saya sepanjang rancangan realiti Raja Lawak Astro musim ketiga minggu ketujuh berlangsung.

Tugasan komedi muzikal tidak dilaksanakan sepenuhnya. Pada mulanya, saya menjangka bahawa para peserta akan tampil membuat persembahan seperti filem Sweeney Todd, The Demon Barber of The Fleet Street. yang dilakonkan oleh Johnny Depp dan Helena Bornham Carter. Apabila melihat semua peserta melakukan sketsa sebelum mengadakan komedi muzikal, saya mula menduga, tentu ada kesilapan dari segi taklimat tugasan. Ya, benar, Salleh Yaacob mengakuinya menerusi salah satu komen yang diberikan beliau kepada peserta, iaitu Am. Patutlah. Di dalam entri ini saya ada sertakan salah satu babak komedi muzikal dari filem Sweeney Todd yang berjudul Pirelli's Miracle Elixir.


Seperti biasa, saya memberikan markah A, B atau C sahaja untuk setiap peserta Raja Lawak Musim Ketiga.

[ A: Baik-Bagus ]--[ B: Biasa ]--[ C: Kurang Memuaskan ]

Skala adalah daripada C hingga A. Ini kerana saya percaya finalist Raja Lawak sudah ditapis daripada beribu-ribu orang peserta, maka sekiranya ada gred D, E, F atau Gagal, maka rancangan realiti Raja Lawak Astro adalah sebuah rancangan tidak ada standard.

Saya semakin sukakan kumpulan Raja Lawak Sepah kerana mereka sudah mula memperbaiki gaya persembahan lawak mereka. Tidak ada lawak lucah dan lawak yang terlalu kasar. Persembahan kumpulan Sepah pada minggu ketujuh barangkali merupakan salah satu persembahan terbaik dalam Raja Lawak Musim Ketiga, selain persembahan Jihan Raja Lawak pada minggu keenam. Sepah barangkali merupakan kumpulan Raja Lawak terbaik pernah wujud di Rancangan Realiti Raja Lawak Astro.

Mereka boleh berlakon, mereka boleh menyanyi, mereka boleh melawak, dan mereka mampu mewujudkan kerjasama antara ahli kumpulan dengan cukup baik. Paling penting, Kumpulan Raja Lawak Sepah sentiasa kelihatan segar dengan lawak-lawak yang mencuit hati pada setiap kali kamera ditujukan ke wajah-wajah mereka. Kumpulan Raja Lawak Sepah merupakan sebuah kumpulan Raja Lawak yang selamba.

Lakonan: A, Skrip: A, Dialog: A, Mesej: A, Tema: B, Lawak: A, Minat: A, Kreativiti: A, Nyanyian: A

Komen Amiene Rev: Kumpulan Raja Lawak Sepah sudah bersedia untuk mewujudkan rancangan komedi sendiri. Mereka juga sesuai untuk berlakon dan mengadakan persembahan konsert atau duta produk-produk tempatan. Selamat mara ke pusingan final, walau apa pun keputusannya, Kumpulan Sepah sudah layak diikiraf sebagai kumpulan lawak dalam arena seni tempatan.


Pada minggu ketujuh rancangan realiti Raja Lawak Astro Musim Ke-3 ini, saya menyaksikan keajaiban telah berlaku kepada peserta berbadan kecil, Amir Raja Lawak Musim Ke-3. Amir Raja Lawak telah bangkit semula ke standard asalnya. Dengan adanya kebangkitan semula Amir Raja Lawak, maka semakin sukarlah untuk saya menjangkakan siapakah peserta-peserta yang layak ke pusingan final.

Pada pandangan saya, peserta yang paling banyak memberi alasan itulah yang akan tersingkir dan tidak akan dapat masuk ke final. Ini kerana setiap alasan yang diberikan, akan menambahkan rasa kurang suka para penonton dan penyokong kepada satu-satu peserta.

Namun, Amir Raja Lawak sudah mengumpul kembali tenaga lawak yang hilang sejak beberapa minggu yang lepas untuk diledakkan dalam persembahan Raja Lawak musim ketujuh. Amir banyak mengambil tema penjual kaki lima seperti yang pernah dilakukan oleh Shamsul Ghau Ghau semasa menjuarai Sinaran Passport Kegemilangan sekitar tahun 1994 dahulu. Persembahan Amir Raja Lawak pada malam itu barangkali menimbulkan sedikit kenangan dan nostalgia buat Shamsul Ghau Ghau, Juara Sinaran Passport Kegemilangan 1994 apabila menyaksikan perkataan keramat 'ghau ghau' dijadikan modal untuk Amir Raja Lawak menghidupkan sketsanya malam tadi.

Barangkali, Amir Raja Lawak cuba membuktikan kepada Shamsul Ghau Ghau bahawa dia boleh melakukan persembahan lawak tanpa perlu bergantung kepada saiz tubuh badannya yang kecil. Saya rasa senang hati melihat pemuda yang berasal dari Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan ini kembali bersemangat. Mungkin Salleh Yaacob mempunyai aura atau teknik tertentu yang membolehkan Amir pulih semula, atau sokongan daripada rakan-rakan seperjuangan Amir di Raja Lawak Astro membantu Amir untuk bangkit semula malam tadi?

Salleh Yaacob ternyata mempunyai ciri-ciri seorang penyokong dan pendorong yang baik. Kehadiran beliau malam tadi sedikit sebanyak membantu memberi semangat kepada para peserta. Tidak ada tekanan tetapi pujukan dan kata-kata semangat terhadap para peserta. Mujur juga pengkritik jemputan diletakkan pada giliran terakhir, dan semoga Amir Raja Lawak akan dapat terus meningkatkan prestasinya. Kebangkitan Amir malam tadi sudah pasti memberi tanda kepada Rancangan Realiti Raja Lawak Astro bahawa bukan mudah untuk menentukan siapa peserta yang bakal menjadi juara pada RJL3.

Lakonan: B, Skrip: A, Dialog: B, Mesej: A, Tema: B, Lawak: B, Minat: A, Kreativiti: B, Nyanyian: B

Komen Amiene Rev: Amir Raja Lawak sudah bangkit. Adakah beliau akan dapat mengekalkan status sebagai salah satu daripada 3 peserta pusingan akhir Raja Lawak Musim Ketiga? Kebangkitan semula Amir Raja Lawak menjadikan penentuan Juara Raja Lawak Musim Ke-3 semakin sulit untuk diduga.


Persembahan Jihan Raja Lawak malam tadi kurang menyengat tetapi persembahannya malam tadi boleh dikategorikan sebagai baik. Sebagai satu-satunya wakil peserta perempuan dalam Rancangan Realiti Raja Lawak Astro Musim Ketiga, saya mengharapkan beliau untuk kekal sebagai peserta hingga ke final.

Ketiadaan Yann Raja Lawak, mungkin sedikit sebanyak mempengaruhi pandangan saya terhadap persembahan Jihan, apabila saya menyaksikan seolah-olah ada aura Yann Raja Lawak dalam persembahan Jihan. Malah aura Yann Raja Lawak masih berada dalam rancangan realiti Raja Lawak Astro Musim Ketiga Minggu Ketujuh, apabila Zaibo sering tersasul menyebut nama Jihan sebagai Yann.

Daripada personaliti Jihan Raja Lawak, saya mendapati bahawa Jihan Raja Lawak memiliki jiwa seniman. Tidak boleh diganggu semasa dalam proses mencari ilham. Sensitif dan fokus terhadap satu-satu kerja yang dilaksanakan. Oleh itu tidak hairanlah apabila Jihan mampu menghasilkan skrip persembahan yang baik.

Persembahan Jihan Raja Lawak minggu ini seolah-olah terpendam rasa kecewa Jihan Raja Lawak terhadap undian SMS penonton terhadap beliau. Pada minggu keenam, Jihan Raja Lawak menjadi peserta terbaik dengan lawak yang cemerlang, skrip yang bagus dan penyampaian yang jelas, tetapi masih tidak diadili sewajarnya. Saya melihat seolah-olah ada kekecewaan dalam persembahan Jihan. Mungkinkah kerana Jihan Raja Lawak menyangka bahawa walau betapa baik pun persembahan yang beliau lakukam, akhirnya dia tetap tenggelam dalam undian penonton.

Tetapi, nampaknya penonton berlaku adil kepada Jihan Raja Lawak. Kemungkinan bahawa penyokong Yann Raja Lawak telah bergabung dengan penyokong Jihan Raja Lawak tetap ada. Namun, itu bukan perkara yang ingin disentuh dengan lebih dalam. Saya berharap Jihan Raja Lawak sudah nampak menerusi pengumuman kedudukan peserta yang mendapat undian tertinggi, Jihan merupakan salah satu daripada 3 peserta paling popular dan pada malam tadi, Jihan Raja Lawak tidak tersenarai dalam kedudukan tiga peserta tercorot.

Semoga Jihan Raja Lawak akan terus membuat pesembahan yang terbaik. Para penyokong sudah nampak kebolehan Jihan Raja Lawak. Jihan Raja Lawak perlu sedar supaya dia tidak akan menjadi salah seorang daripada dua peserta yang akan disingkirkan pada minggu hadapan. Jangan patah semangat dan jangan merajuk. Penyokong Jihan Raja Lawak semakin ramai. Teruskan dengan persembahan yang terbaik.


Lakonan: B, Skrip: A, Dialog: A, Mesej: C, Tema: B, Lawak: B, Minat: A, Kreativiti: B, Nyanyian: C

Komen Amiene Rev: Jihan Raja Lawak mungkin kurang berminat dalam persembahan komedi muzikal atau kurang pendedahan terhadap kehebatan sebenar komedi muzikal.


Kumpulan Raja Lawak LNJ kurang menyerlah malam tadi dan berada di tahap berbahaya. dari segi undian penonton Peserta yang berkepala botak yang saya suka melihat lakonannya itu juga tidak menyerlah. Rupa-rupanya demam berjangkit sedang melanda di Akademi Raja Lawak Astro. Jon pula dilanda demam. Saya tidak pasti sama ada Jon boleh menyanyi dengan baik atau pun tidak, namun nyanyian Jon malam tadi agak kurang menarik. Namun teman persejuangan Jon yang memiliki rambut itu kelihatan bersemangat pada malam tadi.

Memang mengejutkan apabila Kumpulan Raja Lawak LNJ diumumkan sebagai salah satu peserta yang akan tersingkir. Saya sudah menduga Kumpulan Raja Lawak Chot dan Am Raja Lawak akan dipanggil ke pentas penyingkiran pada malam tadi, tetapi tidak LNJ. Nampaknya penentuan siapa peserta yang layak ke final semakin sukar. Oleh itu saya berharap para peserta Raja Lawak Astro Musim Ketiga yang masih tinggal jangan cepat senang duduk atau terlalu selesa kerana sesiapa sahaja mungkin boleh tersingkir.

Oleh kerana LNJ malam tadi memaparkan persembahan kurang memuaskan (kerana demam), maka saya pun agak kasihan untuk memanjangkan komen rasa tidak puas hati saya. Saya yakin dengan kebolehan LNJ. Malam tadi mereka tidak menyerlah.


Lakonan: A, Skrip: B, Dialog: B, Mesej: B, Tema: B, Lawak: A, Minat: A, Kreativiti: B, Nyanyian: B

Komen Amiene Rev: Kumpulan Raja Lawak LNJ perlu berhati-hati kerana Raja Lawak Astro Musim Ketiga penuh dengan keajaiban. Sesiapa pun tidak mustahil akan tersingkir. Oleh itu jika ada peserta yang rasa mereka sudah ramai penyokong, berhati-hati sebab anda mungkin mangsa penyingkiran yang seterusnya.


Kumpulan Raja Lawak Chot mempersembahkan lawak yang agak baik pada minggu ini jika hendak dibandingkan dengan minggu lepas. Namun saya dapati Hazmeer Raja Lawak sejak dua minggu kebelakangan ini sering memaparkan lawak panas baran. Terdapat unsur-unsur marah dalam dialog-dialognya, dan lawak-lawaknya seolah-0lah kurang mesra penonton. Ini petanda bahaya!

Saya berharap Kumpulan Raja Lawak Chot akan dapat mewujudkan suasana bahagia dan senang hati di kalangan penonton pada masa akan datang. Mereka berdua masih belum dapat lari dari lawak kebudak-budakan dan saya rasa perkara ini akan berubah apabila usia mereka berdua semakin meningkat. Ini bukan satu masalah bagi saya.

Berdasarkan strategi 'pemasaran produk lawak' dan 'promosi personaliti Raja Lawak', kedudukan Chot dalam senarai 3 peserta untuk disingkirkan memang sudah berada dalam jangkaan saya. Ini kerana apa yang dilakukan oleh Kumpulan Raja Lawak Chot sejak akhir-akhir ini, kurang mesra penonton dan terdapat dialog-dialog yang diluahkan dengan nada geram dan marah. Chot harus cuba mencontohi Kumpulan Raja Lawak Sepah dari segi melontarkan nada dialog.

Mungkin perlu ada bengkel khas untuk para peserta belajar teknik-teknik melontarkan dialog dalam pelbagai situasi emosi sebagai seorang pelawak dengan lebih berkesan pada masa terdekat. Sekiranya Hazmeer masih terus dengan dialog bernada marahnya itu, saya rasa Kumpulan Raja Lawak Chot tidak akan dapat mara ke pusingan final.

Lakonan: B, Skrip: A, Dialog: B, Mesej: C, Tema: B, Lawak: A, Minat: B, Kreativiti: B, Nyanyian: C

Komen Amiene Rev: Kumpulan Raja Lawak Chot didapati sering menyampaikan nada dialog yang berbahaya; iaitu bernada marah dan kelihatan kurang mesra penonton. Sekiranya Kumpulan Raja Lawak Chot terus dengan aksi-aksi kurang mesra penonton, populariti undian mereka akan terus merosot.


Am Raja Lawak kelihatan agak lemah dalam persembahannya kali ini walaupun isi kandungan lawaknya kali ini ada sedikit pembaharuan walaupun kurang asli. Ada pembaharuan kerana Am Raja Lawak sudah lari daripada elemen Mat Rempit, tetapi kurang asli kerana elemen baru yang dimasukkannya iaitu berkaitan dengan tersalah menyangka seorang pondan sebagai seorang gadis cantik sudah biasa didengar.

Kecenderungan Am Raja Lawak untuk mengubah suara memang agak menonjol tetapi Am Raja Lawak kurang bijak menggunakan kelebihan ini dalam penyampaiannya.

Satu perkara yang mungkin menyebabkan undian terhadap Am Raja Lawak semakin merosot berkemungkinan berpunca dengan cara Am Raja Lawak berdepan dengan kamera semasa Ceritera Gelanggang Raja Lawak. Gaya yang agak kasar (kelihatan seperti mahu bergaduh), biarpun kelakar menyebabkan penyokong-penyokong mudah beralih arah untuk mengundi peserta-peserta lain.

Am Raja Lawak masih memiliki bakat sebagai pelawak. Saya doakan Am Raja Lawak agar memiliki rezeki yang murah sekiranya dia tersingkir pada minggu hadapan. Tak semestinya dengan menjadi juara Raja Lawak, maka masa depan akan cemerlang. Cuba lihat Yus Juara Raja Lawak Astro Musim Pertama, tidak menyerlah sebaik Naib Juara Raja Lawak dan pemenang tempat ketiga Juara Raja Lawak.

Asalkan minat untuk menjadi pelawak kekal dalam diri Am Raja Lawak, maka tidak mustahil rezeki Am Raja Lawak boleh datang mencurah-curah.

Saya mendapati masih ada gaya seakan-akan Nabil dalam persembahan Am Raja Lawak. Sukar untuk dipastikan sama ada ini memang gaya semula jadi Am Raja Lawak. Cuma Nabil lebih pandai menyusun bahan-bahan lawak, amat kreatif dan bersahaja dalam penyampaian lawak. Am Raja Lawak kekurangan dari segi bahan dan kesegaran lawak yang dibuat.

Lakonan: B, Skrip: B, Dialog: B, Mesej: C, Tema: B, Lawak: B, Minat: C, Kreativiti: C, Nyanyian: B

Komen Amiene Rev: Am Raja Lawak perlu mencari sesuatu yang segar dalam mencipta lawak-lawak untuk persembahan akan datang. Cuba cari satu elemen baru yang disukai ramai. Elemen seperti Mat Rempit kurang disukai orang ramai. Am Raja Lawak juga perlu lebih banyak tersenyum dan kurangkan mimik muka seperti hendak bergaduh. Kalau boleh jangan mengangkat dagu atau hidung ke atas semasa bercakap biarpun Am Raja Lawak memang tinggi orangnya, kerana gaya bercakap sambil mengangkat hidung ke atas kelihatan kurang menyenangkan pada kaca mata seorang penonton.

Sebagai penutup ulasan Raja Lawak Astro Musim Ke-3 Minggu Ke-7 kali ini, saya mempersembahkan beberapa klip komedi muzikal dan filem muzikal dari filem Sweeney Todd - The Demon Barber of The Fleet Street.


Sweeney Todd Song 8 - Pirelli's Miracle Elixir


Sweeney Todd Song 3 - Worst Pies in London