BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Februari 02, 2009

E-mel Pembaca: Ibu Tunggal Mahu Padamkan Rasa Cinta Terhadap Suami Orang Lain

Ibu Tunggal Menderita Kerana Perasaan Cinta Terhadap Suami Orang
Mahu Padamkan Rasa Cinta Kerana Bimbang Perasaan Itu Mengganggu Kebahagiaan Orang Lain
Saya merupakan seorang ibu tunggal kepada seorang anak lelaki berusia 6 tahun. Saya mempunyai seorang teman lelaki. Anak saya juga menyukai teman lelaki saya itu. Saya amat sayangkan dia. Dia selalu membuatkan saya terhibur dengan lawak jenakanya, tetapi masalahnya teman lelaki saya adalah suami orang.

Dia sudah pun mempunyai 2 orang isteri. Saya terlalu sayang kepadanya tetapi saya tidak sanggup berkongsi kasih dan saya juga tidak mahu mengganggu kebahagiaan rumah tangganya. Saya ingin melupakan dirinya. Saya cuba untuk tidak menghubunginya tetapi saya menjadi tidak tentu arah. Begitu juga dengannya.

Keluarga tahu tentang perhubungan saya dan menasihati saya agar berfikir sematang-matangnya supaya saya tidak terus kecewa lagi.

Tolonglah bantu saya keluar dari masalah yang saya sendiri tak mampu hapuskan. Tolonglah saya.

Kak Zie

Maklum balas Amiene Rev:

Mendengar kisah Kak Zie di atas, saya mula merasakan bahawa lelaki yang berjaya menambat hati Kak Zie adalah seorang lelaki yang mempunyai daya tarikan yang kuat. Ini disokong oleh fakta yang mengatakan lelaki tersebut sudah memiliki dua orang isteri.

Sukar untuk saya campur tangan dalam soal-soal begini apabila melibatkan hubungan antara orang-orang ketiga. Dalam kes ini Kak Zie adalah ibu tunggal dan anak Kak Zie pun suka terhadap lelaki itu.

Saya tidak tahu kisah bagaimana lelaki tersebut dapat berkahwin dua. Adakah kedua-dua isterinya rela dimadukan atau bagaimana? Dalam kes ini, saya pula mendapati keluarga Kak Zie seolah-olah agak berat untuk melihat Kak Zie menjadi isteri ketiga tersebut tetapi tidak pula menghalang. Mungkinkah mereka terfikir akan masa depan anak Kak Zie juga?

Dalam Islam, seorang lelaki boleh berkahwin sehingga empat, tetapi hendaklah dia berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Jika kedua-dua isteri si lelaki dapat menerima kehadiran Kak Zie sebagai isteri ketiga, maka saya rasa tidak salah jika Kak Zie meneruskan hubungan yang sah dengan lelaki tersebut. Sekiranya Kak Zie rasa satu perbincangan hati ke hati dengan isteri-isteri lelaki tersebut boleh diadakan, maka mungkin eloklah diadakan untuk mengetahui situasi sebenar dalam kehidupan mereka.

Namun di sini, Kak Zie ada menyatakan Kak Zie agak keberatan untuk merosakkan kebahagiaan rumah tangga orang lain. Saya terharu dengan pengorbanan Kak Zie, sanggup menderita dengan membuang perasaan cinta Kak Zie terhadap lelaki tersebut demi orang lain. Saya juga memahami perasaan cemburu seorang manusia apabila terpaksa berkongsi cinta dengan manusia lain.

Jika Kak Zie benar-benar mahu melupakan lelaki tersebut, maka cara yang boleh saya sarankan ialah dengan memenuhkan jadual harian Kak Zie dengan aktivti yang dapat membantu mengalihkan tumpuan Kak Zie terhadap kisah cinta. Kesibukan boleh menyebabkan kita lupa pada sesuatu perkara. Apabila kita sibuk dengan sesuatu pekerjaan atau aktiviti yang kita minat atau suka, maka kita akan dapat melupakan kisah cinta.

Kesunyian pula akan mendatangkan rasa ingin berteman, dan mungkin akan menyebabkan kita mahu mencari pasangan atau teman. Dalam kes Kak Zie, saya mengetahui yang Kak Zie merupakan seorang ibu tunggal dan pasti Kak Zie sudah merasai apa yang dikatakan sebagai kesunyian.

Mungkin sudah sampai masanya untuk Kak Zie mencari aktiviti yang Kak Zie minati, dan dapat menghilangkan rasa kesunyian ini. Cinta, bagi saya adalah tanggungjawab. Namun jodoh adalah di tangan Tuhan. Saya ada menulis mengenai cinta dan jodoh menerusi topik ini: Falsafah Kehidupan Amiene Rev (Klik Di Sini)

Hal-hal percintaan merupakan satu perkara yang rumit dan saya percaya tentu ramai lagi insan yang menghadapi masalah seperti Kak Zie. Namun disebabkan jodoh itu di tangan Tuhan, maka janganlah Kak Zie terlalu bersedih jika terpaksa meninggalkan si dia. Saya doakan agar Kak Zie diberikan petunjuk daripada Tuhan supaya menemukan Kak Zie dengan pasangan yang dapat memberikan kebaikan di dunia dan akhirat pada kemudian hari.

Ada sebuah buku yang sangat bagus di pasaran. Nama buku itu ialah Don't Be Sad atau Jangan Bersedih. Saya mencadangkan Kak Zie membeli buku tersebut. Pasti buku itu akan dapat membantu mengurangkan kesedihan Kak Zie. Buku itu boleh ditemui di kedai-kedai buku di Malaysia dan merupakan salah satu buku terlaris di pasaran.

Yang benar,
Amiene Rev

E-mel Pembaca: Ruangan Pos Masalah Anda
Sekiranya anda ada masalah untuk dikongsi dan mahukan pandangan daripada Amiene Rev, bolehlah menggunakan pautan di bawah untuk mengisi borang Pos Masalah Anda (Surat Pembaca). Anda diminta tidak menggunakan Bahasa SMS dan seangkatan dengannya. Setiap surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu.