BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Februari 05, 2009

E-mel Pembaca: Guru Sakit Akibat Kemalangan Tertindas

Susahnya Jadi Orang Sakit
Guru Sekolah Sakit Kronik, Tertindas
Assalamualaikum.

Saya ingin kongsi masalah tetapi masalah saya ini lebih kepada rasa sakit hati sahaja. Mungkin anda ada cara untuk menghilangkan rasa marah yang makin menebal ini.

Alkisahnya, saya guru di Pulau Pinang. Sebelum mendapat penempatan guru pada Julai 2000, saya terlibat dalam satu kemalangan yang teruk di Ipoh. Akibatnya, saya tidak boleh bergerak lasak dan aktif macam dulu. Disebabkan saya jenis yang lasak, sakit tu, saya letak ke tepi dulu. Tapi kesihatan saya semakin terganggu.

Apabila mula mendapat tawaran mengajar, saya memang tak boleh melakukan kerja dengan baik. Tetapi pihak pentadbiran sekolah dan rakan-rakan tidak boleh mempertimbangkan masalah saya sebab mereka kata saya kesihatan saya baik-baik sahaja.

Dari tahun 2000-2007, walaupun dapat rawatan daripada Doktor, saya tetap menderita. Doktor tidak dapat cari masalah saya. Mana nak dapat, bila pergi appointment, Doktor cuma tanya itu, tanya ini, lepas tu bagi preskripsi ubat. Rawatan lanjut langsung tak dibuat. Setakat x-ray sahaja. Tak nampak apa-apa, Doktor kata saya tak ada masalah. CT Scan buat di hospital swasta, tetapi tidak jelas masalahnya. Jadi saya tak ada apa-apa keterangan daripada Doktor untuk diberikan kepada pihak sekolah. Kesihatan saya semakin merosot. Sekolah dan kawan-kawan pula cop saya pemalas dan suruh saya berhenti kerja. Tahun 2006 adalah tahun yang paling menguji kesabaran saya dengan pihak pentadbiran sekolah dan rakan-rakan sejawat.

Akhirnya, ada seorang Doktor muda merawat saya pada Feb 2008. Saya ceritakan masalah saya yang dah berlangsung dekat 8 tahun. Saya merayu kepada Doktor tu supaya buatlah sesuatu yang boleh kesan masalah saya kerana kemalangan yang saya alami pada tahun 2000 agak teruk. Doktor tersebut benarkan saya buat MRI. Dan keputusannya, tulang belakang saya dari cervical-sacral bermasalah dan saraf tunjang saya kena compress dengan tulang.

Doktor lain yang sebelum ni yang pernah merawat saya kata, "Kenapa kamu tak beritahu yang kamu kemalangan? Kamu tahu tak, masalah tulang belakang tak boleh dibuat main-main. Silap haribulan kamu boleh lumpuh."

Masya-Allah, dah nyanyuk ke apa Doktor tu. Berbuih mulut saya ceritakan segala-galanya dari A-Z, bila Doktor lain dah dapat kesan sesuatu pada diri saya, macam tu pula katanya. Saya nampak Doktor tu kecil saja, rasa macam nak pijak-pijak saja.

Jadinya, saya diberi cuti sehingga bulan 11 2008. Hampir 8 tahun, barulah saya dirujuk ke General Hospital Penang dan akan dirujuk ke General Hospital KL dalam bulan Februari ini.

Tahun 2009 rasa seronok sebab permohonan tukar dari Penang sejak 2003 ke Kedah berjaya. Saya tidak boleh memandu jauh, sebab tu saya minta tukar ke sekolah berhampiran rumah.

21/12/2008 saya ke sekolah baru sebab nak bincang dengan Penolong Kanan 1 dan Guru Besar tentang masalah kesihatan saya. Saya cuma minta diberikan kelas aras bawah kerana saya tidak boleh naik turun tangga sebab tulang bahagian lumbar saya belum pulih. Saya juga minta supaya tidak ajar Pendidikan Jasmani. Saya berikan 4 surat Doktor Pakar dan 1 Sijil Tugas Ringan daripada doktor. Mereka kata OK. Bila mesyuarat, terkejut beruk saya sebab dapat kelas atas sekali dan pegang guru kelas. Lepas tu kena turun padang untuk latihan rumah sukan. Umang oi, dia orang ni nak bagi saya mati ke apa?

Saya jumpa Guru Besar dan cakap saya belum boleh naik turun tangga, tapi dia kata, "You naik ke kelas dan duduk di situ sampai balik."

Iskh,iskh.. dia ni tak fahamkah yang saya bukannya ajar 1 kelas saja. Nak kena turun naik ke kelas lain sama. Dah la tingkat bawah tak ada kelas / makmal / bilik kosong. Kalau tidak, boleh juga saya guna, panggil budak-budak turun.

Nak dijadikan cerita, 4 hari aja saya mengajar. Saya dah tak boleh jalan balik sebab separuh badan saya dah kebas, hilang sensation dan kaki saya tak kuat lagi untuk berjalan atau berdiri. Walhal sebelum ni kesihatan saya taklah seteruk ini. Saya dah boleh menulis 4-5 baris tanpa rasa sakit dan boleh berjalan tanpa scrutcher. Tapi, lepas seminggu sekolah, saya ke hospital dengan berkerusi roda semula dan Doktor beri MC sebulan hingga 16/2/2009. Pada 10/02/2009 saya kena masuk wad semula di General Hospital Penang sebab Doktor bimbang dengan keadaan saya sekarang.

Guru Besar ada datang rumah dan minta maaf. Katanya dia tak tahu sebab nampak fizikal saya OK. Saya kata, "Cikgu tak baca ke surat Doktor yang saya bagi?"

Dia kata tak apa, mereka tengah rombak jadual. Lepas Chinese New Year, guna jadual baru. After Chinese New Year saya telefon ke sekolah dan tanya kelas mana saya akan mengajar nanti, jawapannya kelas yang sama macam dulu. Tak tahulah saya nak hantuk kepala saya ke dinding atau nak hantuk kepala Guru Besar dan Penolong Kanan 1 sekolah saya tu. Memang orang lelaki ni benak dan zalim sampai macam tu sekali ke?

Anda ada idea apa yang boleh saya buat? Saya belum sampai tahap nak panjangkan perkara ni hingga ke JPN atau KPM sebab pada saya ia adalah masalah domestik yang boleh diselesaikan di peringkat sekolah.

SOUL
Maklum balas Amiene Rev:
Waalaikumussalam Kak SOUL. Selepas membaca cerita Kak SOUL, saya dapat rasakan kegeraman Kak SOUL apabila pihak-pihak tertentu mengambil ringan masalah kesihatan Kak SOUL.

Pada pandangan saya, Kak SOUL mungkin sudah boleh dianggap hilang keupayaan untuk melakukan kerja-kerja seperti manusia normal. Saya juga tidak dapat memberi cadangan sebagai seorang doktor kerana masalah Kak SOUL sebenarnya berpunca daripada masalah kesihatan Kak SOUL yang tidak mengizinkan.

Pada pandangan saya, sakit tulang belakang memang merupakan satu perkara yang amat serius. Saya cadangkan Kak SOUL tumpukan pada rawatan atau terapi untuk memulihkan tulang belakang Kak SOUL terlebih dahulu.

Mungkin guru-guru lain lihat Kak SOUL kelihatan tabah dan kuat, seperti tidak ada masalah kesihatan, kerana sakit tulang belakang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Dan tidak semua orang boleh mengetahui atau sempat untuk mengambil tahu masalah Kak SOUL.

Saya kurang pasti setakat manakah hubungan baik Kak SOUL dengan rakan-rakan sekerja terjalin. Saya berpendapat, Kak SOUL mungkin perlu merapatkan lagi hubungan dengan mereka semua dan menceritakan perkara sebenarnya. Berdasarkan keterangan Kak SOUL, saya cuma boleh anggap hubungan Kak SOUL dengan rakan-rakan sejawatan agak kurang mesra sehingga mereka tidak mengetahui atau merasai betapa seriusnya sakit tulang belakang yang Kak SOUL alami.

Saya juga berharap Kak SOUL akan cuba mendalami lagi sakit tulang belakang Kak SOUL. Sekiranya Kak SOUL mempunyai pengetahuan yang lebih luas dan dalam mengenai penyakit Kak SOUL, tentu mudah untuk Kak SOUL mencari penyelesaian untuk kebaikan diri Kak SOUL, dan tentu mudah untuk Kak SOUL menjelaskan kepada rakan-rakan sejawatan sehingga mereka faham apa yang Kak SOUL boleh buat dan tidak boleh. Dalam erti kata lain, Kak SOUL harus mempelajari dan mendapatkan maklumat yang lebih jelas tentang penyakit Kak SOUL supaya Kak SOUL dapat 'mengajar' rakan sekerja di tempat Kak SOUL mengenai penyakit kronik Kak SOUL.

Dan saya juga suka kalau Kak SOUL menerangkan secara jelas dan fokus tentang penyakit Kak SOUL. Kalau boleh semasa menerangkan tentang penyakit Kak SOUL, terangkan tentang punca-punca sakit belakang tersebut, iaitu tentang kemalangan, dan masalah-masalah fizikal yang Kak SOUL alami dan bahaya atau risiko yang bakal Kak SOUL hadapi. Sekiranya Kak SOUL mencampur-aduk dengan masalah peribadi atau rakan sekerja, saya rasa ini bukanlah langkah yang bijak sebab ia akan menenggelamkan masalah utama Kak SOUL.

Saya berpendapat masalah di tempat kerja bukan lagi masalah Kak SOUL, tetapi masalah orang-orang di tempat kerja. Masalah Kak SOUL ialah sakit tulang belakang dan cara untuk menjelaskan tentang penyakit tersebut. Selagi Kak SOUL tidak dapat menerangkan tentang penyakit Kak SOUL dengan berkesan, maka selagi itulah orang-orang tidak akan faham (atau mungkin buat-buat tidak faham).

Saya berharap Kak SOUL akan sembuh secepat mungkin dan dapat berbakti semula kepada anak bangsa dengan lebih baik. Doa orang yang teraniaya adalah makbul. Saya doakan agar Kak SOUL akan dapat sembuh daripada penyakit tulang belakang ini, dan dipermudahkan segala urusan kehidupan di dunia dan di akhirat.

Yang benar,
Amiene Rev

E-mel Pembaca: Ruangan Pos Masalah Anda
Sekiranya anda ada masalah untuk dikongsi dan mahukan pandangan daripada Amiene Rev, bolehlah menggunakan pautan di bawah untuk mengisi borang Pos Masalah Anda (Surat Pembaca). Anda diminta tidak menggunakan Bahasa SMS dan seangkatan dengannya. Setiap surat yang tersiar akan disunting terlebih dahulu.