BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Januari 25, 2009

Pesakit Lumpuh Boleh Berjalan Semula Dengan Permainan Kesihatan Wii Fit Nintendo

Orang Lumpuh Boleh Sembuh dan Berjalan Semula Dengan Wii Fit
Permainan Nintendo - Wii Fit mengubati penyakit lumpuh
Penulis: Amiene Rev (C) 2009
"I do not know why I hate to play video game. But, now, if somebody ask me what kind of video game that I would like to get as a birthday gift, it would be Wii Fit from Nintendo." - Amiene Rev
Industri permainan video mungkin dianggap sebagai satu hiburan yang kurang baik kepada golongan muda, tetapi sebenarnya setiap yang buruk itu adakalanya boleh memberi kebaikan. Pada suatu ketika dahulu, ada sekumpulan pembangun permainan video membangunkan sejenis permainan untuk membantu memotivasikan pesakit kanser. Permainan tersebut dikatakan telah membantu meningkatkan imunisasi pesakit kanser. Permainan video tersebut dikata mampu meningkatkan kepercayaan diri pesakit terhadap keupayaan mereka melawan sel-sel kanser yang menyerang sel-sel badan mereka. Dalam erti kata lain, permainan boleh menjadi satu terapi yang berguna bagi penyakit-penyakit kronik yang tertentu juga.

Apakah Wii Fit? Wii Fit adalah satu permainan yang menggabungkan keseronokan dengan kesihatan dalam satu produk permainan. Ia boleh mengubah cara anda bersenam, mengimbangi badan dan bergerak.

Nicole Cahill adalah seorang budak perempuan berusia 10 tahun yang telah lumpuh sejak empat tahun lalu kerana serangan virus. Dia disahkan tidak dapat berjalan lagi. Apabila permainan Nintendo - Wii Fit keluar di pasaran sekitar Mei 2008, Nicole Cahill menggunakan permainan tersebut untuk menghilangkan kebosanannya Kerana asyiknya Nicole Cahill bermain dengan permainan tersebut, tanpa disedari Nicole Cahill didapati sudah mula mampu menggerakkan anggota badannya. Pada akhir 2008, Nicole Cahill dikatakan sudah mula mampu berjalan. Nicole Cahill dijangka akan dapat berjalan semula sepenuhnya pada penghujung tahun 2009.

Permainan Wii Fit keluaran Nintendo ini menggunakan sejenis papan permainan yang dikenali sebagai Wii Fit Balance Board atau Papan Keseimbangan Wii Fit. Pemain perlu menjejakkan kaki mereka di atas papan permainan ini. Wii Fit menyediakan beberapa pilihan seperti permainan Yoga, permainan menyeimbangkan badan, permainan melatih kekuatan fizikal dan permainan senam robik.

Menerusi permainan Wii Fit, anda akan dilatih oleh seorang jurulatih yang berada di dalam permainan video tersebut. Setelah itu, anda bolehlah bermain permainan-permainan Wii Fit yang tertentu. Dalam setiap permainan Wii Fit, apabila anda menggerakkan badan anda, watak permainan utama yang dikawal oleh anda akan turut bergerak. Ini bermaksud, anda tidak lagi menggunakan butang, joystik, tetikus atau papan kekunci untuk mengawal pergerakan watak permainan, sebaliknya anda menggunakan badan anda, saraf-saraf di dalam tubuh anda untuk menggerakkan watak tersebut. Jika anda membongkokkan badan anda, watak permainan tersebut turut akan membongkok. Jika anda menggerakkan tangan, watak tersebut akan turut menggerakkan tangannya, jika anda menumbuk, watak tersebut turut akan menumbuk. Maka, dengan cara inilah pesakit lumpuh itu dapat menggerakkan kembali tubuhnya semula. Saraf-saraf di dalam tubuhnya menjadi semakin kuat.

Menerusi permainan kesihatan Wii Fit ini juga, anda boleh menjadi seorang pemain ski yang meluncur di salji, seorang pemain bola sepak, seorang pendekar Yoga, seorang ahli bina badan dan sebagainya. Pihak Nintendo yang bertanggungjawab mengeluarkan permainan Wii Fit ini dijangka akan mengeluarkan lebih banyak permainan baru yang boleh digunakan dengan Wii Fit pada masa akan datang.

Nampaknya permainan video pada masa akan datang bukan lagi sekadar menggerakkan jari-jari dan pergelangan tangan, tetapi seluruh badan pemain. Apabila keseronokan dan kesihatan digabungkan, pelbagai penyakit mampu disembuhkan. Inilah perkembangan positif dalam industri permainan video.

Jika pada masa dahulu ada orang menganggap permainan video sebagai satu permainan yang kurang baik untuk kesihatan maka pada masa akan datang tidak mustahil akan kedengaran nasihat sebegini, "Kamu ni asyik tidur sahaja. Pergilah main permainan video, baik juga untuk kesihatan kamu."

Untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai anda boleh pergi ke laman web Wii Fit di sini.