BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Januari 22, 2009

Couple Itu Sesuatu Yang Istimewa?

Pandangan Amiene Rev Mengenai Budaya Couple

Ada orang bertanya kepada saya mengenai couple. Couple, ia melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita. Dan ia lebih dari itu. Couple, ia soal hati. Soal wanita dan lelaki yang dilamun cinta. Dan ia lebih dari itu. Couple, ya, ia hubungan antara lelaki dan wanita. Dua manusia ini bertemu dan bersehaluan pada tempoh masa tertentu, atas hubungan cinta.

Budaya couple sangat popular di kalangan anak-anak muda. Budaya couple pada pandangan zahir saya adalah satu budaya di mana lelaki dan perempuan berpasang-pasangan dan menonjolkan diri sebagai sepasang kekasih. Oleh itu budaya couple ini boleh ditakrifkan sebagai kehidupan berpasang-pasangan antara lelaki dan perempuan yang dilamun cinta. Lalu, untuk dipendekkan lagi istilah itu, mereka menyebutnya dengan satu perkataan Inggeris yang mudah, iaitu, couple.


Couple, ya sekali lagi saya bertanya. Apa keistimewaan couple?
Saya tidak menemuinya. Saya tidak menemui keistimewaan couple. Saya cuma tahu cinta itu sendiri sesuatu yang istimewa. Dan, cinta itu ialah tanggungjawab. Oleh kerana cinta itu ialah tanggungjawab, maka cinta itu akan bertemu dalam perjuangan.

Apabila seseorang lelaki itu terus berjuang dan berjuang, suatu hari nanti akan ada wanita yang akan turut memberi sokongan kepadanya. Sehidup dan semati dengannya.

Tetapi saya masih tidak nampak apa itu keistimewaan couple. Agaknya couple itu ada definisi atau maksud yang lain? Saya tidak menemui keistimewaan couple. Saya tidak pernah melihat couple sebagai satu hubungan penting dalam hidup.

Saya cuma memahami, mengenali seseorang itu menerusi perjuangannya. Dalam erti kata lain cinta yang wujud apabila seorang wanita memahami perjuangan seorang lelaki, dan seorang lelaki menghormati dan memahami seorang wanita, dan perjuangannya.

Bagi saya, cinta yang hadir semasa seseorang itu sedang berjuang, adalah lebih istimewa berbanding cinta yang hanya wujud pada ketika aman. Saya masih tidak melihat apa-apa keistimewaan pun tentang couple itu.

Saya melihat couple sebagai satu hubungan yang wujud daripada dua orang manusia, lelaki dan perempuan yang berterus terang melafazkan cinta, dan kemudian dengan perasaan cinta itu mereka membuai diri mereka dengan aktiviti seperti berdua-duaan, bertemu janji, saling hubung-menghubungi, bergurau senda dan bercakap soal hati pada masa-masa tertentu.

Saya masih tidak melihat apakah perkara-perkara seperti itu sebagai sesuatu yang istimewa. Saya cuma sedar diri saya seorang pejuang, sepanjang masa berjuang dan terus berjuang sehingga terlupa bahawa cinta sedang berputik di sekitar diri saya. Saya melihat kasih sayang manusia-manusia lain di sekitar saya. Hati saya terusik kerananya. Saya terharu menghirup wangian cinta yang bertebaran sebagai zarah-zarah di dalam udara.

Tetapi saya masih tidak memahami dan terus tertanya-tanya, "Apakah keistimewaan couple?"

Saya tetap dengan pendirian saya. Cinta itu sendiri sudah sedia istimewa, kerana cinta itu adalah satu tanggungjawab. Cinta itu boleh hidup subur tanpa perlu adanya budaya couple yang sering disebut oleh anak-anak muda masa kini.