BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Disember 02, 2008

Ulasan Drama Bersiri Awan Dania - Semangat dan Aura dari Jepun?

Ulasan Drama Bersiri Awan Dania
Ditulis oleh Amiene Rev
Hakcipta Terpelihara (C) 2008

Setiap kali saya menonton Awan Dania setiap Isnin, jam 9.00 malam, di Astro Ria, saya sering terbayangkan aura Jepun. Saya seolah-olah menonton drama Jepun! Saya mencari-cari apa sebabnya saya rasa drama ini seolah-olah drama Jepun.


Pakaian? Ya, cara pemakaian watak-wataknya seperti orang Jepun. Eh, itukan stail atau fesyen seorang pramugari? Skirt pendek dan kasut tinggi.

Make up? Mungkin juga, sebab seingat saya pelakon-pelakon drama Korea sentiasa hadir dengan make up tebal. Bukankah penjagaan penampilan merupakan salah satu aspek utama dalam tugasan seorang pramugari?

Cara berjalan dan cara bercakap? Saya tidak pasti. Kadangkala saya rasa watak-wataknya seperti orang Jepun. Irma Hasmie, yang membawakan watak kegemaran saya dalam Awan Dania, selain Scha Al-Yahya dan Nasha Aziz, betul-betul kelihatan seperti orang Jepun.

Setelah membuat kajian, saya dapati ada dua drama dari Jepun yang juga berkaitan dengan pramugari iaitu Stewardess Monogatari (A Stewardess' Story - 1983) dan Attention Please (2006). Pelakon utama dalam drama Attention Please pula ialah Chiemi Hori (sebagai Matsumoto Chiaki). Pelakon yang memegang watak utama dalam drama Stewardess Monogatari ialah Ueto Aya (sebagai Misaki Yoko).

Apakah persamaan antara Awan Dania dengan Stewardess Monogatari dan Attention Please? Ketiga-tiga drama ini mengisahkan seorang gadis yang bercita-cita untuk menjadi seorang pramugari atau flight attendant. Drama-drama ini memang menarik. Kita lupakan dulu soal persamaan dalam ketiga-tiga filem ini, dan kita kembali ke Awan Dania.

Nasha Aziz selaku pramugari dan juga jurulatih pramugari memegang tanggungjawab yang sangat penting dalam drama Awan Dania kerana beliau memikul imej pramugari Air Asia. Saya percaya Nasha Aziz telah cuba sedaya untuk memberikan imej yang terbaik terhadap Air Asia. Komitmen, kesabaran dan tunjuk ajar yang diberikan menerusi watak yang dipegangnya mampu menimbulkan pesona dalam diri para penonton terhadap kerjaya sebagai pramugari atau pramugara.

Format karya Jepun masih terpapar dalam filem Awan Dania. Watak utama yang serba kekurangan, agak jahil, selamba tetapi bersemangat tinggi, dan watak pembantu yang mungkin juga watak penyelamat yang mempunyai bakat tetapi bernasib agak malang. Sebagai contoh, watak Guru Onizuka yang kurang pandai tetapi disokong oleh anak-anak muridnya yang bijak pandai. Watak Uzumaki Naruto yang lemah tetapi bersemangat, disokong oleh watak-watak lain seperti Uchiha Sasuke yang merupakan pelajar terhandal di Akademi Ninja dan Haruno Sakura yang merupakan pelajar terbaik dari segi teori ninja. Begitu juga watak Sakuragi Hanamichi yang bersemangat dan mentah dalam arena bola keranjang, tetapi disokong oleh beberapa watak yang handal dalam arena bola keranjang seperti Rokawa Kaede, Akagi, Mitsui dan Miyagi.

Dalam drama Awan Dania, saya paling suka dengan watak yang dibawa oleh Irma Hasmie. Dialah penyelamat dalam kebanyakan masalah yang dicetuskan oleh Dania. Dania, lakonan Scha Al-Yahya memang mencuit hati. Saya terhibur dengan lakonan Scha Al-Yahya. Memang sesuai watak Dania dengan Scha Al-Yahya. Tahniah buat penerbit dan pengarah kerana berjaya membentuk watak-watak dalam drama ini dengan jayanya. Saya tidak ingin melemahkan semangat para pelakon dan krew penerbitan drama Awan Dania dengan mengatakan panduan tersedia daripada filem Attention Please dan Stewardess Monogatari membantu memudahkan para pelakon menghayati lakonan masing-masing. Apa yang ingin saya katakan, para pelakon Malaysia berjaya membuktikan lakonan mereka juga menarik dan mampu mencuit hati para penonton. Juga, drama Awan Dania ini membantu mempromosikan Air Asia dan juga membuka peluang kepada para penonton untuk melihat bagaimana bakal-bakal pramugari dilatih untuk menjadi flight attendant. Sekali lagi saya memuji lakonan Nasha Aziz.

Nasha Aziz pelakon yang hebat. Lakonannya dalam Cinta Luar Biasa jauh berbeza dengan lakonannya dalam Awan Dania. Saya tidak menonton episod permulaan Awan Dania, dan semasa menonton drama Awan Dania saya berkata di dalam hati, "Pelakon ini macam Nasha Aziz."

Rupa-rupanya betul, itu memang Nasha Aziz. Saya hampir tidak mengecamnya kerana watak yang dibawa oleh Nasha Aziz kali ini sungguh berbeza daripada watak-watak yang sering dibawanya sebelum ini.

Hans Isaac juga berjaya memaparkan disiplin, kharisma dan ketegasan seorang juruterbang. Ini penting untuk menjaga imej Air Asia.

Apakah mesej yang tersirat dalam drama Awan Dania? Awan Dania adalah simbolik terhadap insan-insan yang mempunyai cita-cita tetapi menghadapi masalah untuk mencapai cita-citanya. Kadangkala seseorang itu memiliki impian yang menggunung tinggi hingga ke awan, tetapi sering disaluti oleh cabaran dan masalah yang menghalang mereka daripada mencapai cita-cita tersebut.

Setiap watak-watak dalam drama Awan Dania, masing-masing mempunyai cita-cita dan harapan. Remy Ishak memegang watak seorang lelaki yang mempunyai cita-cita tetapi kurang keyakinan kerana trauma masa silam dan tembok penghalang yang dicipta oleh ibunya. Ini kerana ayahnya seorang juruterbang, terkorban dalam nahas kapal terbang. Sebenarnya Remy Ishak memberontak dalam diam, hal ini menyebabkan dia sering berkonflik dengan watak yang dipegang oleh Zizan Nin (satu lagi lakonan mantap) berkaitan dengan kerjaya mereka. Remy Ishak menerusi wataknya, berbakat tetapi kurang keyakinan diri.

Ummi Nazeera pula tertekan kerana dibayangi kejayaan ibunya, juga merupakan seorang pramugari. Ummi Nazeera tidak memiliki bakat seperti ibunya, dan ini menimbulkan rasa rendah diri dan sering beremosi kerana diselubungi perasaan bimbang.

Irma Hasmie, watak yang saya paling suka, memegang watak yang sangat berbakat dan paling sesuai sebagai pramugari, tetapi cita-citanya untuk menjadi flight attendant mendapat bantahan daripada bapanya sendiri.

Nasha Aziz, sebagai seorang jurulatih pramugari yang sentiasa berharap anak-anak didiknya akan berjaya menjadi pramugari, tetapi pada masa yang sama harapannya itu mencetus tekanan apabila didapatinya ada antara anak-anak didiknya yang bermasalah.

Watak Dania, seorang gadis yang bercita-cita untuk menjadi pramugari, cuma bersandarkan pada semangat dan langsung tidak ada bakat sebagai seorang pramugari mencetuskan kebimbangan di hati Nasha Aziz. Nasha Aziz berada dalam dilema, kerana dia dapat merasai semangat Dania, tetapi pada masa yang sama dia kesal dengan hati kebal Dania.

Dania memiliki semangat dan minat, tetapi kerana dilahirkan dalam keluarga yang hanya terdiri daripada ayah dan adik-beradik lelaki, beliau mempunyai tingkah laku yang kasar seperti seorang lelaki. Usaha untuk menghayati sifat lemah lembut dan bersopan seorang pramugari merupakan cabaran buat Dania.

Berdasarkan watak-watak di atas, boleh disimpulkan bahawa Awan Dania, adakah kisah mengenai insan-insan yang masing-masing berusaha untuk mencapai cita-cita di langit tinggi, tetapi adakah mereka akan dapat terbang bebas dan menggapai impian masing-masing? Objek-objek seperti kapal terbang, awan kapas putih dan langit biru adalah simbolik terhadap impian yang ingin dicapai. Barangkali, inilah asal usul cerita Stewardess Monogatari, Attention Please dan Awan Dania, semuanya berkaitan dengan impian.

Rujukan:
http://www1.mstar.com.my
http://wiki.d-addicts.com/Attention_Please
http://wiki.d-addicts.com/Stewardess_Monogatari