BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Disember 16, 2008

Tanah Runtuh - Bumi Yang Berjuang Menentang Kezaliman

Kejadian tanah runtuh di beberapa lokasi perumahan mewah baru-baru ini dianggap sebagai tragedi. Pun begitu (sudah lama saya tidak gunakan perkataan ini), saya tetap menganggap bahawa ini merupakan 'perjuangan alam sekitar' untuk menentang kezaliman. Tuhan telah murka dengan perbuatan manusia yang masih belum insaf-insaf lagi biarpun setelah berpuluh-puluh tahun diberi hukuman dan petunjuk yang sama.

Pertama, kawasan tanah tinggi merupakan kawasan tadahan air hujan yang menghalang banjir di kalangan penduduk di kawasan tanah rendah. Namun, ia telah dijadikan sebagai simbolik kemewahan bagi mereka yang berkuasa terhadap material alam. Justeru alam tidak mahu bersekongkol membiarkan manusia-manusia yang memiliki status kekayaan yang tinggi ini untuk merajai bukit-bukau yang selama ini berjasa kepada kehidupan manusia dengan melaksanakan pemberontakan alam. Maka tercetuslah runtuhan tanah yang mengorbankan jiwa dan anak-anak golongan berharta.

Sejak bertahun-tahun dahulu, di dalam teks buku geografi, dan mungkin juga lain-lain subjek sudah diterangkan mengenai kenapa pembangunan di tanah tinggi tidak wajar disokong atau diberi sambutan. Namun, ramai orang membelakangi hakikat ini.

Saya sedih, sebab saya sayangkan alam sekitar saya. Maka saya menulis entri ini. Saya tidak membuang sampah di merata-rata tempat biarpun sampah itu adalah sampah basah. Saya terkilan sekiranya melihat sesuatu tempat itu tidak ada tong sampah. Suatu ketika, saya menetap sementara di sebuah kawasan perumahan di sebuah bandaraya. Kotor sekali kawasan itu. Saya segera melaporkan kepada pihak akhbar apabila melihat sampah-sampah bertaburan di sesuatu kawasan perumahan, dan syukurlah penerbitan akhbar terbabit mengambil tindakan wajar. Tidak berapa lama selepas laporan dibuat, pihak jawatankuasa di kawasan kediaman terbabit bergegas melancarkan operasi gotong-royong membersihkan kawasan itu.

Dan kita kembali kepada kejadian tanah runtuh. Adakah ahli-ahli keluarga golongan hartawan yang tinggal di lereng-lereng bukit itu tidak pernah bersekolah? Atau pun mereka sudah lupa apa yang mereka pelajari di sekolah? Kawasan tanah tinggi, bukit-bukau yang menjadi sumber tadahan air hujan itu jangan sesekali diterokai. Namun mereka tetap memberi sambutan, membeli rumah-rumah mewah yang berharga mahal, seolah-olah memberi muka kepada pemaju-pemaju rumah-rumah mewah di kawasan tadahan air hujan, untuk terus bersemangat memburu bukit-bukit tinggi untuk dibotakkan, ditarah, dijajah dan dijadikan sebagai kawasan perumahan mewah.

Tidak cukup lagikah contoh dan pengajaran? Tahun ini bukan tahun pertama kejadian tanah runtuh seperti ini berlaku. Ilmu berkaitan alam sekitar yang dipelajari semasa di bangku sekolah dulu langsung tidak dipraktikkan. Inilah akibatnya.

Tidak perlulah saya menyejukkan hati mereka yang dilanda kecelakaan ini. Sebab hati saya sendiri sudah lama terguris melihat bagaimana tanah-tanih di bukit-bukit tinggi yang menjadi kawasan tadahan air hujan itu dinodai sejak bertahun-tahun dulu. Sakit hati ini, sedih dan terkilan, sejak bertahun-tahun lalu melihat kerakusan mereka memusnahkan sumber tadahan air hujan tidak pernah pun cuba diubati? Mereka sebaliknya berbahagia, berpuas hati dengan rumah-rumah mewah yang berdiri megah di atas tanah tinggi tersebut.

Saya juga berharap pembalakan yang dilakukan di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highland dihentikan. Itu merupakan satu lagi perkara yang menyedihkan dan saya yakin, malapetaka akan berlaku sekiranya pembalakan di tempat tersebut dilakukan. Air-air menguning dan keruh. Alam sekitar semakin penuh dengan parut-parut luka, semuanya angkara manusia. Hentikan, sebelum terlambat.

Maafkan saya sekiranya tulisan ini menyinggung perasaan sesiapa yang membacanya. Sesungguhnya apa yang saya tulis di sini sudah sekian lama berbuku di dalam hati. Kebencian saya terhadap mereka yang merosakkan alam sekitar, dan terhadap mereka yang memberi muka kepada pemaju-pemaju perumahan di kawasan tadahan air hujan.

Insaflah. Berubahlah. Sebab sememangnya kita manusia kadangkala terlalai dan terlupa. Tuhan itu Maha Pemaaf. Masih ada peluang untuk berubah menerima kebaikan dan kebenaran.

Berikut adalah beberapa kes tragedi tanah runtuh yang pernah dicatatkan setakat ini di Malaysia:

  1. 10 Disember 1985 - Dua rumah baru dua tingkat yang belum lagi diduduki di Taman Melawati, Hulu Klang runtuh ketika hujan lebat dalam kejadian 8.50 pagi.

  2. 17 September 1988 - Sebuah rumah di Hulu Klang, ranap akibat tanah runtuh berikutan hakisan tanah.

  3. 29 Mac 1990 - Kejadian tanah runtuh berlaku di Taman Setia Wangsa di Hulu Klang melibatkan 80 keluarga yang mendiami dua blok flat.

  4. 11 Disember 1993 - Tragedi Highland Towers telah mengorbankan 48 nyawa apabila satu daripada 3 blok kondominium di Taman Hillview iaitu Blok A runtuh.

  5. 25 Disember 1997 - Tiga orang terbunuh selepas tertimbus di bawah runtuhan tanah dan sampah dalam satu kejadian di Km 17 Lebuh Raya Ampang-Hulu Klang.

  6. 15 Mei 1999 - Ribuan penduduk di kawasan perumahan Bukit Antarabangsa dan Wangsa Ukay di Jalan Hulu Klang terperangkap apabila tanah runtuh sepanjang 100 meter berlaku dalam kejadian 5.20 pagi yang menimbusi satusatunya jalan keluar masuk ke kawasan perumahan itu.

  7. 24 Februari 2000 - Kejadian tanah runtuh berlaku selepas hujan lebat di Kampung Sri Damai dekat Taman Kencana, Ampang yang meragut nyawa seorang budak berumur 4 tahun.

  8. 5 Oktober 2000 - satu kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Antarabangsa berikutan hujan lebat berterusan tetapi tiada yang cedera.

  9. 20 November 2002 - Sebuah banglo di Taman Hillview milik bekas Panglima Angkatan Tentera, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar, yang juga Pengerusi Affin Bank, ranap setelah dirempuh tanah runtuh dari bukit bersebelahan. Isteri Ismail, Puan Sri Azizah Abdul Aziz, anaknya Hijaz, dua menantu, dua cucu serta dua pembantu rumah Indonesia terkorban dalam kejadian 4.35 pagi itu. Banglo itu hanya terletak kira-kira 300 meter dari tapak Highland Towers.

  10. 31 Mei 2006 - Empat sekeluarga terkorban setelah tertimbus dalam runtuhan tanah yang memusnahkan 49 buah rumah di Kampung Pasir, Hulu Klang pada kira-kira pukul 4.45 petang.

  11. 6 Disember 2008 - 14 buah banglo di Bukit Antarabangsa terlibat dalam runtuhan tanah. Empat orang disahkan terkorban.