BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Disember 16, 2008

Kelajuan Internet 1 Mbps Ketinggalan Zaman

Di ruangan forum laman web Utusan Malaysia Online, terdapat surat pembaca yang menarik perhatian saya. Memang sudah bertahun-tahun saya dengar mengenai kemunduran penggunaan internet di Malaysia, dan saya menyokong isi kandungan e-mel pembaca disertakan di bahagian akhir entri ini.

Malaysia yang terkenal dengan Koridor Raya Multimedia dan Cyberjaya memiliki kelajuan internet hanya 1 hingga 4 Mbps sahaja? Tiba-tiba saya rasa muka saya merah padam menahan malu. Sebagai rakyat Malaysia, saya berpendapat ini memang suatu perkara yang memalukan! Perkhidmatan internet di Malaysia seolah-olah katak di bawah tempurung.

Saya rasa perkara ini berlaku kerana perkhidmatan internet di Malaysia tidak ada pesaing. Apabila perkhidmatan wujud dalam bentuk tunggal, maka daya saing sukar untuk dibentuk.

Kita ambil contoh persaingan dalam dunia telekomunikasi telefon mudah alih. Maxis, Digi dan Celcom bersaing hebat untuk memberikan kualiti dan kuantiti perkhidmatan yang memuaskan pelanggan. Persaingan, perkara ini mungkin tidak dirasai oleh TM dalam dunia perkhidmatan internet.

Mungkin tanpa kita sedar terdapat pelabur atau pengusaha perkhidmatan internet yang melihat lubuk perniagaan berasaskan perkhidmatan internet di Malaysia. Mereka menunggu masa untuk memecahkan monopoli TM dalam perniagaan berasaskan perkhidmatan internet. Ketika itu, kejutan pasti berlaku dan penurunan kebergantungan pengguna dan pelanggan terhadap TM pasti akan berlaku. Lihat sahaja kejatuhan perkhidmatan telekomunikasi mudah alih pada awal era Millenium dahulu. Mereka yang gagal memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat akan jatuh tersembam apabila muncul pengusaha-pengusaha baru yang memberikan perkhidmatan yang jauh lebih baik.

Jika pihak TM mahu memperkenalkan pakej yang lebih laju pada ketika pesaing-pesaing baru dalam perkhidmatan internet muncul, maka pada pandangan saya itu akan menimbulkan pandangan negatif rakyat Malaysia yang bijak terhadap TM. Kenapa bila ada pesaing baru TM mahu perkenalkan yang lebih laju? Kenapa dulu tidak ada? Sedangkan dulu sudah ada perkhidmatan internet yang menawarkan kelajuan yang lebih laju, pada kadar harga yang jauh lebih rendah. Kenapa Malaysia tidak boleh? Apa gahnya Koridor Raya Multimedia dan Cyberjaya kalau untuk meningkatkan kelajuan sambungan internet pun banyak masalah dan alasan? Maka, berhati-hatilah. Ini sekadar luahan hati seorang rakyat Malaysia yang tidak puas hati melihat pencapaian Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan internet di negara ini. Sayangnya tidak ada pesaing di negara ini dalam bidang ini.

Sekiranya itu yang berlaku, zaman TM mungkin akan berakhir. Rakyat Malaysia sudah bertahun-tahun makan hati dengan kelajuan internet yang ditawarkan setakat ini. Cuma kita belum tahu bila ianya akan menjadi kenyataan. Saya mendapat maklumat yang mengatakan kelajuan internet di Perancis ialah 28 Mbps, 27 Mbps jauh lebih pantas berbanding di Malaysia.

Malah, turut dilaporkan kelajuan internet terpantas di dunia dimiliki oleh seorang wanita tua berusia 75 tahun dari Sweden. Wanita itu bernama Sigbritt Löthberg's, dilaporkan memiliki kelajuan internet sekitar 40 Gigabit per saat! Kelajuan internet di Malaysia umpama cahaya kunang-kunang yang mahu bersaing dengan cahaya rembulan. Nasib baik itu cuma satu demonstrasi. Kalau tidak memang jatuhlah imej Malaysia sebagai pemilik Koridor Raya Multimedia dan Cyberjaya. Namun Jepun masih boleh berbangga sebagai pembekal perkhidmatan internet terpantas dunia pada tahun 2007.

Malaysia pula bagaimana? Malaysia Boleh?

Pada Oktober 2007, kedudukan terbaik kelajuan internet broadband bagi negara-negara di seluruh dunia ialah seperti berikut:
  1. Japan = 93,693 Megabits per second
  2. France = 44,157 Mbps
  3. Korea = 43,301 Mbps
  4. Sweden = 21,423 Mbps
  5. New Zealand at - 13,595 Mbps
  6. Italy = 13,056 Mbps
  7. Finland = 12,969 Mbps
  8. Portugal = 12,955 Mbps
  9. Australia = 12,130 Mbps
  10. Norway = 11,847 Mbps
  11. Luxembourg = 10, 674 Mbps
  12. United Kingdom = 10,674 Mbps
  13. Germany = 9,188 Mbps
  14. United States = 8,860Mbps
  15. Canada = 7,797 Mbps
  16. Spain = 6,575 Mbps
Maklumat lanjut boleh ditemui di: www.websiteoptimization.com


LAMPIRAN SURAT PEMBACA DI FORUM UTUSAN:
Sokong TM kaji kadar perkhidmatan Internet

SAYA amat bersetuju dengan pandangan Anak Penoreh, Kuala Berang, Terengganu yang tersiar di ruangan ini semalam. Memang tepat seperti yang disarankan iaitu bukan sekadar bantu penduduk miskin malah TM patut menurunkan kadar harga perkhidmatannya dan menaik taraf kemampuan jalur lebar yang dipromosinya.

Di Amerika pada kadar RM88 sebulan yang dicaj oleh TM untuk pakej 1 Mbps, saya mampu memperoleh kelajuan Internet 3 Mbps. Yang menghairankan saya ialah mengapa negara maju yang rakyatnya kaya-raya ditawarkan perkhidmatan yang lebih murah tetapi jauh lebih baik.

TM seharusnya mengkaji dan mengubah semula kadar harga perkhidmatannya supaya lebih munasabah dan sesuai dengan kemajuan teknologi masa kini selain membantu penduduk miskin luar bandar dengan pakej istimewa. Kelajuan 1 Mbps yang disogok kepada rakyat selama ini sudah ketinggalan zaman ditambah dengan caj yang langsung tidak berpatutan dan talian yang sering terganggu.

Kelajuan terpantas yang ditawarkan di sini adalah 12 Mbps pada harga RM140 sebulan berbanding pakej TM iaitu RM268 sebulan untuk 4 Mbps. Saya sedih melihat TM yang jauh ketinggalan dan tidak bersifat membantu rakyat dengan kadar harga overcharged.

Sudah tiba masanya TM melihat perkara ini sekiranya ingin memajukan industri teknologi maklumat di Malaysia. Saya mohon kementerian yang berkenaan campur tangan dalam perkara ini. Wujudkan lebih banyak pesaing untuk tawaran harga yang lebih munasabah kerana industri IT bukan lagi suatu perkara yang baru dan eksklusif. Kelemahan dan kelembapan Internet di Malaysia sememangnya tidak boleh dimaafkan.

MUZAMMIL
Nebraska, USA

SUMBER: www.utusan.com.my