BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Disember 03, 2008

Jurnal Pengembaraan: Amiene Rev di Cheshire

CHESHIRE: Petang itu salji dingin turun dari langit. Aku berjalan-jalan seketika menikmati kedinginan waktu petang. Pagi tadi aku mengunjungi seorang kenalan di Hospital Wellington dan esok pagi aku harus ke Benenden School. Puteri Anne dalam ingatan.

"Di negara kamu ada salji?" Sam bertanya kepadaku.

"Tidak ada, negara saya panas. Hujan lebat pada November dan Disember."

"Bagaimana kamu menyambut Krismas?"

"Tidak, saya tidak sambut Krismas. Saya Muslim."

"Muhammadenisme?"

Aku terdiam. Agama Islam dikenali sebagai Agama Muhammad.

"Tidak, ia Islam," aku menjawab pendek-pendek sahaja. Cuaca dingin, otak terasa beku.

"Kita menuju ke Plymouth esok?" Aku terus bertanya. Mengelak persoalan agama. Status aku sebagai seorang pendatang sahaja. Aku mahu cepat-cepat ke Plymouth untuk bertemu dengan Ann.

"Kita akan pergi dengan keretapi."

"Salji tidak menghalang?"

"Jangan risau tentang itu. Saya tidak selesa dengan perjalanan kereta. Jalan lebih licin pada musim-musim sebegini. Tangan juga tidak selesa memandu."

Aku datang ke Cheshire dengan keretapi, aku meninggalkan Cheshire juga dengan keretapi.