BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, November 11, 2008

Prosedur Memohon Anak Angkat

Entri berkaitan prosedur atau langkah-langkah pengambilan anak angkat ini saya sertakan di sini bagi membantu Puan Suria. Semoga artikel yang disisipkan di sini dapat membantu beliau.

Prosedur Memohon Anak Angkat
SUMBER: KOSMO

PENGAMBILAN anak angkat bukan lagi isu baru, tetapi sudah menjadi trend. Lebih-lebih lagi bagi pasangan suami isteri yang sukar mendapat cahaya mata.

Golongan wanita dan lelaki yang belum berkahwin juga kebelakangan ini semakin berminat mengambil anak angkat dengan alasan dapat menghiburkan diri di kala sunyi.

"Anak angkat dan anak pelihara adalah berbeza. JKM hanya mengendalikan urusan anak pelihara manakala urusan anak angkat adalah bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Namun, sebelum disahkan taraf menjadi anak angkat, pemohon perlu memelihara anak tersebut selama dua tahun bagi keluarga Islam dan tiga bulan keluarga bukan Islam.

"Setelah tamat tempoh peliharaan, keluarga tersebut boleh menjadikan kanak-kanak itu sebagai anak angkat mereka mengikut Akta Pengangkatan 1952 atau Akta Pendaftaran 1952," jelas Timbalan Ketua Pengarah (operasi), Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM), Halijah Yahaya.

Bagaimana proses pengambilan anak angkat bagi individu yang belum berkahwin? "Kumpulan ini boleh memohon anak angkat. Tetapi pemohon lelaki hanya dibenarkan mengambil anak lelaki sahaja. Lelaki tidak digalakkan mengambil anak angkat kerana bimbang naluri keibuan mereka tidak sebaik kaum wanita," jelas beliau.


HALIJAH YAHAYA

Bagaimanapun beliau mempunyai pandangan tersendiri. Daripada anak-anak ini dibiarkan tanpa curahan kasih sayang, lebih baik diberikan kepada keluarga angkat dengan syarat, ia mengikut prosedur yang betul.

Berdasarkan statistik pengambilan anak angkat JKM antara tahun 2006 hingga 2008, hanya 107 kanak-kanak yang menetap di bawah penjagaan JKM diambil sebagai anak angkat oleh pasangan suami isteri.

Walaupun begitu, mereka juga menerima permohonan daripada ibu tunggal dan wanita yang belum berkahwin, namun jumlahnya tidak ramai.


NOMI ABDUL MALEK

"Terdapat pelbagai alasan yang biasanya diberikan oleh pemohon. Antaranya belum dikurniakan anak walaupun sudah lama berkahwin, tidak mampu hamil atau melahirkan anak atas faktor kesihatan atau bersimpati dengan nasib kanak-kanak yang tidak mempunyai keluarga serta ingin berbakti memelihara anak yang tidak bernasib baik.

"Tidak kurang juga, pemohon yang sudah mempunyai anak sendiri, tetapi ingin menambah ahli keluarga. Contohnya, pasangan yang mempunyai anak perempuan, memohon untuk mengambil anak angkat lelaki atau sebaliknya," terang Halijah ketika ditemui Kosmo! di Ibu pejabat JKM di Menara Tun Ismail Mohamed Ali, Kuala Lumpur

Bagaimana dengan mereka yang mengambil anak angkat secara persendirian? "Maklumkan kepada pihak JKM, selewat-lewatnya dua minggu selepas pengambilan kanak-kanak tersebut. Sekiranya gagal berbuat demikian maka boleh disabitkan kesalahan denda maksimum sebanyak RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu, pensyarah Kulliyah Perundangan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Nomi Abdul Malek menyatakan, pengambilan anak angkat bukan sahaja perlu mengikut prosedur yang betul tetapi individu juga wajib mengikut syariat Islam.

"Dalam sistem pengangkatan Islam, implikasinya anak angkat tidak sama seperti anak kandung. Dari segi pergaulan perlu dijaga dan mempunyai batasan yang tertentu seperti wuduk dan aurat.

"Ini kerana anak angkat bukan darah daging sendiri dan si bapa boleh mengahwini anak angkat perempuan mereka kecuali jika si anak sudah kenyang meminum susu badan ibu angkat selama lima kali," ujar beliau.

Anak angkat juga tidak boleh dibin atau bintikan dengan nama ayah angkat, kerana ini melanggar undang-undang Islam. - IZYAN LIYANA MOHD DARIF