BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, November 01, 2008

ABAR 2008 – Blog Seram Fazamania - Ulasan


Kategori Blog Seram
Fazamania - Melangkah Ke Alam Misteri
http://www.fazamania.com

Blog ini mempunyai pelbagai kisah menarik mengenai misteri , paranormal dan supernatural. Begitulah pengenalan yang dibuat oleh blogger yang menggelar dirinya sebagai Fazamania. Fazamania atau nama sebenarnya Fazarudin Basir, dilahirkan pada 4 November 1981 dan berasal dari Felda Chiku 03, Gua Musang, Kelantan ini sememangnya gemar mengumpul dan menulis jurnal berkaitan dengan kisah seram.

Gua Musang sememangnya banyak menyimpan kisah-kisah misteri. Saya pernah menjejakkan kaki ke Gua Musang dan peniaga-peniaga di sana pernah menceritakan mengenai pelbagai peristiwa aneh. Misalnya pada waktu malam, terdengar seperti ada orang menumbuk sesuatu dengan lesung batu. Apabila makcik tersebut membuka lampu dan pergi ke dapur, dilihat tidak ada sesiapa pun di dapur melainkan lesung batu dan kulit-kulit telur di dalam bekas lesung batu.

Perbuatan mengetuk lesung batu itu didakwa dilakukan oleh makhluk halus yang tinggal di sekitar kawasan gua. Kebetulan tapak perniagaan tersebut terletak betul-betul di bawah kaki gunung batu kapur di sekitar Gua Musang. Itu kisah saya, dan bagaimana pula dengan Fazamania?

Blog yang diberi nama Melangkah Ke Alam Misteri ini pasti mempunyai perkaitan yang rapat dengan hidup jurnalis yang bergelar Fazamania ini. Fokus blog ini yang konsisten dari segi isi kandungannya menyebabkan saya memilihnya sebagai calon untuk Anugerah Blogger Amiene Rev 2008 – kategori Blog Seram dan Misteri.

Blog ini menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Kebanyakan artikelnya adalah asli, ditulis atau disusun semula dengan struktur ejaan yang betul, kecuali entri-entri yang bersifat peribadi.

Fokus entrinya adalah terhadap cerita-cerita seram, pelik dan misteri dari seluruh dunia. Turut terdapat gambar-gambar foto dan video yang berkaitan yang diambil daripada pelbagai sumber di internet.

Cerita-cerita seram yang dimuatkan di dalam blog ini antaranya adalah karya bersiri Tamar Jalis yang amat popular suatu ketika dahulu iaitu Siri Bercakap Dengan Jin dan beberapa cerita yang pelbagai sumber dan ada yang ditulis sendiri oleh Fazamania.

Saya tertarik dengan artikel Fazamania berkaitan dengan Feral Children atau kisah anak-anak yang berkelakuan seperti haiwan. Mungkin ramai antara kita, khususnya budak pengakap pernah mendengar kisah Budak Serigala – Mowgli. Kisah budak yang membesar dengan binatang ini benar-benar wujud, dan anda boleh saksikan sendiri video mengenai seorang budak yang membesar dengan anjing, dan berkelakuan mirip anjing. Budak itu walau bagaimana pun telah dipelihara oleh manusia, dan sudah boleh bercakap seperti manusia normal.

Kisah-kisah bukti kewujudan makhluk asing dan UFO turut dipaparkan menerusi blog Melangkah Ke Alam Misteri. Antaranya termasuklah kisah-kisah UFO yang ditemui di Malaysia seperti peristiwa objek bercahaya yang berlegar-legar di ruang udara pada Mei 1999 di Seremban dan juga di Tanjung Sepat pada Oktober 1999. Kisah UFO sangat popular di Malaysia sekitar tahun 1999, berikutan dakwaan beberapa orang penduduk di beberapa tempat di negara ini seperti di Ipoh, Seremban dan Baling, bahawa mereka ternampak UFO di ruang udara di tempat masing-masing.

Artikel-artikel dan kisah-kisah pelik, misteri dan seram di blog ini disusun mengikut kategori-kategori yang khusus. Ini memudahkan para pengunjung di blog ini mencari bahan-bahan berkaitan.

Blog yang menggunakan Wordpress.com sebagai hosting ini turut memiliki fungsi Search bagi memudahkan para pengunjung memasukkan kata kunci bagi mencari artikel-artikel yang berkaitan.

Begitulah ulasan saya mengenai Blog Melangkah Ke Alam Misteri, milik blogger yang bergelar Fazamania. Anda rasa ada blog seram dari Malaysia yang menarik? Sila maklumkan kepada saya. Sekian dahulu ulasan blog saya untuk hari ini.