BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Ogos 01, 2008

Parodi Cerita Seram - Siri 7


Misteri Kotak Barang Kemas

Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com

Cerita seram di blog ini ditulis oleh Amiene Rev. Amiene Rev adalah seorang penulis cerita-cerita seram pendek di blog Duke Amiene Rev. Anda juga boleh memuat turun Majalah Digital Percuma Amiene Rev menerusi blog ini. Pun begitu, janganlah anda mencetak rompak cerita ini kerana sesungguhnya perbuatan itu tidak akan menjamin keselamatan anda di akhirat kelak.

Ketika Long Mak Mah hendak meninggalkan kami dua beradik pada sebulan yang lalu, Long Mak Mah ada meninggalkan sekotak barang kemas kepada kami. Pesan Long Mak Mah kepada kami masih lagi kami ingati.

"Jangan sekali-kali kalian membuka kotak barang kemas ini." Pesan Long Mak Mah sambil jari telunjuknya dipukul-pukul ke atas angin seperti bermain dram lagaknya.

"Jangan sekali-kali kalian beritahu hal kotak barang kemas ini kepada ibumu, iaitu adikku!" Bibir tebal bergincu milik Long Mak Mah dijuih ke dapur. Padahal, ibu kami tidak ada di dapur.

Kami dua beradik melihat pada kotak barang kemas pemberian Long Mak Mah. Ternyata kotak ini tidak berisi banyak barang kemas. Sungguh ringan.

Suatu hari, adik memberitahu saya, dia melihat kotak emas itu bercahaya terang pada waktu malam.

"Sangat terang, Abang Long! Sangat terang! Adik nampak cahaya keluar dari kotak itu macam ada harta karun dalam kotak emas itu," cerita adik perempuanku sambil mendepakan kedua-dua belah tangannya seperti hendak terbang. Dan terjinjit-jinjit jugalah kedua-dua kakinya menceritakan betapa terangnya cahaya yang terpancar dari kotak barang kemas itu.

"Barangkali ada lampu di dalam kotak ini, apa kata kita buka?" Aku pun mula mahu menyiasat kotak barang kemas itu. Adik perempuanku ternganga.

Di dalam bilik, aku mencapai kotak barang kemas yang disembunyikan di atas almari. Ah, aku rasa tidak ada sesiapa pun berani mengusik kotak ini kerana aku letakkan bangkai beberapa ekor cicak di sekeliling kotak ini. Sudah kering bangkai cicak-cicak ini.

"Membunuh cicak pada waktu malam-malam tertentu, adalah sunat hukumnya," kata Che Adam, anak Che Pudin.

"Mana kau tahu semua ini?" Aku bertanya.

"Entah, aku macam pernah baca di mana-mana."

Kotak itu aku bawa turun. Aku memandang ke luar tingkap. Bimbang kalau-kalau Long Mak Mah tiba-tiba menjelma di luar tingkap dan berkata,"Jangan sekali-kali kalian membuka kotak barang kemas ini," sambil jari telunjuknya dipukul-pukul ke atas angin seperti bermain dram lagaknya.

Mustahil. Mustahil Long Mak Mah akan berada di sini. Aku pun berusaha untuk membuka kotak itu.

"Bang Long, jangan! Jangan buka! Jangan!" Jerit adik perempuanku. Dia pantas merebut kotak barang kemas itu daripada peganganku tetapi aku tidak melepaskan kotak itu.

Lalu kotak itu pun terlepas dan terjatuh ke bawah. Penutup kotak itu sedikit terbuka.


"Hah, kau buat apa tu!" Tiba-tiba aku dan adikku terkejut, kedengarannya seperti suara Long Mak Mah, tetapi mustahil suara Long Mak Mah sesengau itu. Suara itu datang dari luar tingkap, lalu aku pun menjenguk ke luar tingkap.

"Ceh! Adam, apa kau buat di luar tu!" Hampir terjojol keluar biji mata aku dan adikku apabila melihat Adam berada di luar rumah dengan rupa yang agak kelam kerana membelakangi cahaya matahari.

"Kenapa manusia penuh rasa cemburu, pantang lihat orang senang pasti mengutuk, dan senyum bila lihat orang tersungkur?" Che Adam Che Pudin mula melafazkan lirik lagu Robot, dendangan Adam AF2.

"Apa kau nak ni, Adam?"

"Bangkai cicak. Mahu? Stok baru." Adam memegang hujung ekor dua ekor cicak yang telah menghembuskan nafas yang terakhir itu kepada kami.

"Eeeuuwww!" Adik perempuanku mula berasa geli. Dia berlari sambil membawa lari kotak barang kemas itu keluar dari bilik.

"Aku gundu semua cicak ini semasa cicak-cicak ini sedang berkejar-kejaran di dinding rumah malam tadi," selamba, tanpa mempedulikan rasa jijik yang ditimbulkan oleh adik perempuanku, Che Adam menceritakan pengalaman pemburuannya.

"Aku rasa semua cicak yang ada ni dah cukup dah," ujarku.

"Tolong!!! Aaaa!!! Tolong!!! Geli!!!" Tiba-tiba aku terdengar bunyi adik perempuanku terjerit-jerit di ruang tamu.

Aku dan Adam pun bergegas ke ruang tamu. Kami semua sangat terkejut apabila melihat suatu perkara yang aneh telah berlaku!

"Chi.. chi... chi.. chi..." Kedengaran cicak-cicak berbunyi.

Beratus-ratus ekor cicak tidak putus-putus keluar dari kotak itu. Kesemua cicak-cicak itu berdarah pada matanya. Darah merah! Cicak-cicak ini berebut-rebut mencari tempat persembunyian. Masakan kotak barang kemas itu boleh mengandungi beratus-ratus ekor cicak seperti itu? Ini sungguh aneh!

"Chi... chi... chi..." Tiba-tiba beberapa ekor cicak mula menyedari terdapatnya bangkai cicak di tangan Che Adam.

Cicak-cicak itu kemudiannya berkelakuan garang, lalu berlari laju ke arah Che Adam dan masuk ke dalam baju dan seluarnya. Che Adam kegelian lalu berlari meminta tolong. Beratus-ratus ekor cicak bermata merah darah terus mengejar Che Adam seolah-olah berdendam dengan Adam.

Kami terpinga-pinga. Kotak barang kemas itu sudah kosong. Che Adam entah hilang ke mana. Masakan aku dapat mengekorinya dengan bilangan ratusan ekor cicak yang sedang mengganas itu tadi? Apa lagi adik perempuanku yang seorang itu.

Kami mula tidak berani menyentuh kotak barang kemas itu lagi. Kami cuma memerhatikan kotak barang kemas itu di atas lantai dengan penutup yang sudah terbuka.

Ibu pulang. Ibu terkejut apabila melihat kotak barang kemas itu masih ada di situ.

"Mana kamu dapat kotak barang kemas ini? Cepat cakap!" tanya ibuku separuh melaung. Dia nampaknya sangat marah dan berasa terkejut.

"Mak.. Long.. Long Mak Mah..." jawabku tergagap-gagap.

"Kotak barang kemas ni peninggalan moyang kamu, gunanya untuk memuja duit. Ibu mahu musnahkan kotak ini dahulu, tetapi kotak ini hilang," jelas ibu dengan perasaan agak sedih dan kesal. "Tak sangka Mak Long kamu yang sorokkan."

Patutlah selama ini Long Mak Mah kelihatan berduit. Rupanya sesiapa yang meletakkan duit di sekeliling kotak barang kemas itu, akan dapat memuja dan memanggil duit. Jika diletakkan barang kemas, maka akan bertimbunlah barang kemas keluar dari kotak itu.

Jadi, aku yakin, cicak-cicak yang keluar dari kotak itu kerana aku meletakkan bangkai-bangkai cicak supaya orang lain atau pencuri geli untuk mengacau kotak itu. Tidak sangka, perbuatanku itu telah menyebabkan Che Adam ditimpa malang.

"Tapi kenapa Mak tak musnahkan kotak ini cepat-cepat dahulu?" tanya Adik.

"Sebab, kotak ini tidak dapat dimusnahkan. Mak pun tak tahu apa yang boleh dibuat lagi," jelas ibuku.

Malam itu, aku tidak lena tidur. Aku berbaring-baring di katil. Kotak barang kemas itu telah disimpan yang ditempat yang selamat. Oleh sebab kotak barang kemas itu tidak dapat dimusnahkan, ibu tidak berani membuangnya. Takut ditemui dan disalahgunakan oleh orang lain.

"Ku tahu.. oh, no..(oh, no) oh, no.. (oh, no) oh, no.."

Tiba-tiba aku terdengar suara sengau dari luar rumah menyanyikan satu petikan korus dari lagu Robot, Adam AF2. Adamkah itu, yang berada di luar tingkap bilikku?

"Adam? Adam! Kaukah itu?" Aku melihat satu lembaga hitam di luar tingkap. Kerana kegelapan malam, aku tidak dapat melihat dengan jelas rupa Adam.

Aku mendekatkan diriku ke tingkap. Aku melihat Adam merenungku seperti sedang keliru, diam tidak berkata sepatah apa pun. Matanya seperti mata orang buta yang tidak dapat melihat apa-apa.

"Adam?" Aku mula berasa seram melihat keadaan Adam. "Kau marah dengan aku?"

Tiba-tiba mata hitam Adam kelihatan terangkat ke atas, hilang dalam tabir kelopak mata atasnya yang sedikit berkelip-kelip. Bibirnya bergetar dan sedikit terbuka seperti mahu mengatakan sesuatu. Tingkah laku Adam ini cukup membuatkan bulu romaku meremang.

"Adam, dah malam ni! Jangan nak buat benda-benda pelik dekat sini! Nanti datang betul..."

Aku tidak dapat menghabiskan ayat terakhirku apabila melihat mulut Adam yang sedikit terbuka, mengeluarkan seekor cicak bermata merah yang terjelir-jelir lidahnya seperti biawak atau ular.

"Ku... bukannya... sempurna..." kata Adam lagi dalam suara separa garau!

Dan, semakin banyak cicak, berpuluh-puluh ekor cicak bermata merah mula merayap-rayap, menguasai setiap inci kulit di badan dan di muka Adam.

Aku bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.


SEKIAN.

NOTA: Gundu adalah sejenis permainan menggunakan gelang getah yang biasa digunakan untuk mengikat nasi bungkus. Jika saya tersilap penerangan, harap diberikan pembetulan dan contoh yang sewajarnya.

Sumber asal: http://dukeamienerev.blogspot.com


Cerita pendek seram ini akan disiarkan di blog Duke Amiene Rev setiap minggu sekiranya ada upaya untuk menyiarkannya. Semoga terhibur. Kalau anda suka janganlah cetak rompak cerita ini, kalau anda tak suka janganlah cetak rompak juga. Apalah salahnya kalau kalian buatkan satu jaringan blog ini ke tempat yang anda nak sampaikan cerita ni. Saya tak tahu cerita ini seram atau tidak. Apa pun, terima kasihlah sebab sudi membacanya, ya. Jumpa lagi, minggu depan.