BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Mei 01, 2008

Ini Tinta Dari Tangisan Mata Hati - Sempena Bulan Mei



Ini Tinta Dari Tangisan Mata Hati
Penulis: Amiene Rev (C) 2008
Sempena Bulan Mei

Ketika ini aku menangis lagi. Kali ini aku menangis kerana pasrah. Pasrah dengan kejadian masa. Masa, yang setiap saatnya berisi kenangan, kemanisan dan kepahitan dalam mengenal makna kehidupan. Kutulis kata-kata ini dengan tinta daripada air mata. Malam ini suram. Suram bukan kerana gelapnya langit dan awan. Suram, kerana tidak ada masa depan yang terukir pada cebis-cebis kapas gebu, pada kalbu angkasa. Hatiku rimas, tidas selesa, terseksa.

Bayangkan betapa lamanya aku menanti saat ini, untuk melihat anakku yang seorang ini, membesar dan menjadi orang yang bertanggungjawab. Dahulu semasa dia masih anak-anak, aku berulangkali membilang betul atau salah jawapan-jawapan objektifnya, dan menilai dengan bergemuruh, bersabar dengan setiap jawapan nakal subjektifnya. Ini membuatkan aku tersenyum pahit, tetapi tidak dengan niat yang sehitam secawan kopi pekat. Bagiku, aku mengharap sesuatu daripada anakku ini, kejayaan dan kehormatan seorang insan.

Bila dia sudah besar, bercambah menjadi benih yang subur, dengan mutu ilmu pengetahuan serta kualiti kemahiran yang cukup tinggi, aku bersyukur.

Ini bulan Mei. Bulan Mei membuatkan aku menangis. Ini tinta dari tangisan mata hati. Dengan tinta ini aku cuba sedaya upaya mewakili perasaan setiap manusia yang dihargai pada hari ini. 1 Mei, hari untuk pekerja. 16 Mei, hari untuk pendidik. Ada lagi hari untuk bapa, untuk bonda, untuk pelbagai golongan.

Bulan Mei, bulan penuh dengan tangisan. Penuh dengan nostalgia untuk kukenang dan kubalas budi mereka yang sekian banyak berjasa. Beras yang kita makan hari ini adalah dari tinta keringat petani. Petani-petani menulis dengan dakwat keringat, dan kadangkala darah merah yang mengalir dari luka-luka kemalangan kecil. Bagaimana pula buruh-buruh binaan yang membina jalan dan bangunan-bangunan, yang kemudiannya diisi oleh eksekutif-eksekutif lulusan sarjana? Bulan Mei, segalanya yang kita lihat, baca dan dengar dapat kita rasai perkaitannya.

Bulan Mei, selamat datang. Aku mengalu-alukan kehadiranmu dalam kalam kalendar dan jurnal kehidupan. Sekian catatan daripada Amiene Rev untuk hari ini, malam ini dan detik ini.