BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Mac 02, 2008

Kisah Amiene Rev dan Lingkaran Penghalau Nyamuk


Kisah Amiene Rev
dan Lingkaran Penghalau Nyamuk

Nota: Kisah ini ditulis dengan menggantikan
perkataan 'aku' dengan perkataan 'dia'
berdasarkan saranan Teori Surah Yusuf.

Nyamuk! Nyamuk! Nyamuk lagi. Bilangan nyamuk semakin banyak. Malam itu, Amiene Rev ternampak beberapa ekor tentera nyamuk sedang mendarat secara vertical di dinding bilik air, yang terletak di dalam biliknya.

Ketika ini, seorang jejaka tampan sedang cuba nyenyak untuk tidur. Malam ini, pertama kali dia membakar lingkaran penghalau nyamuk yang dibelinya tiga jam yang lalu. Oleh kerana tidak ada pinggan kaca atau apa-apa bahan penebat api yang boleh dijadikan penapak bagi lingkaran penghalau nyamuk itu, dia lantas mengambil satu bekas plastik yang pernah digunakan untuk mengisi kuih donat tempoh hari sebagai alas. Air diisi ke dalam bekas tersebut untuk mengelakkan risiko kebakaran.

Sebatang mancis digoreskan pada kotak penggesek. Dengan cermat, dia menghalakan hujung mancis yang berapi ke ekor lingkaran penghalau nyamuk. Api membakar hujung lingkaran itu buat beberapa ketika. Sebaik sahaja api itu terpadam, asap mula berkepul-kepul keluar dari ekor lingkaran penghalau nyamuk yang sudah membara itu. Bau asap penghalau nyamuk menyengat hidungnya. Dia kurang selesa. Hidungnya terasa sejuk.

Jejaka yang bijak lagi kacak ini lantas bangun dan menaip beberapa patah perkataan. Sedikit demi sedikit, sehingga akhirnya terjadilah beberapa perenggan entri. Nyamuk sering mengganggu tidurnya sejak akhir-akhir ini. Oleh itu Amiene Rev terpaksa membeli ubat nyamuk. Nampaknya ubat nyamuk itu juga 'mengubat' hidungnya. Apa pun, lingkaran penghalau nyamuk ini menimbulkan nostalgia. Terasa sayu hatinya apabila mengenangkan kisah lama.

Amiene Rev tersenyum sendirian. Nostalgia itu cukup bermakna. Tiba-tiba, seekor kupu-kupu gugur dari langit bilik. Rupa-rupanya kupu-kupu itu juga pasti sudah sejuk hidungnya.


Nota: Penggunaan 'dia' dalam karangan ini adalah didasarkan daripada entri yang boleh ditemui di sini.