BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, Mac 11, 2008

Hujan Setiap Hari - Hujan Rahmat Yang Meruntuhkan Disko

Tamat sudah hari pengundian. Keputusan undian telah menjadikan peristiwa pilihanraya pada tahun ini sebagai satu sejarah yang sangat unik, berbanding keputusan-keputusan pilihanraya sebelumnya. Pembangkang kini berkuasa di lima negeri, manakala Barisan Nasional harus bersyukur kerana masih diberi kepercayaan di lain-lain negeri. Entri ini tidak bertujuan menyokong atau menentang mana-mana parti politik, namun sebagai pemerhati politik, sebagai rakyat yang sayangkan negaranya, maka suara ini perlu disampaikan.
NOTA: Amiene Rev sangat tidak berminat menyertai mana-mana aktiviti politik, apa lagi aktiviti-aktiviti yang memperlihatkan sokongan kepada mana-mana parti politik. Sekiranya politik itu dikaitkan pula dengan kepimpinan, maka ketahuilah, Amiene Rev juga tidak suka memegang jawatan atau memegang amanah sebagai pemimpin masyarakat. Dia lebih suka bertindak dan memberi sumbangan secara bebas untuk masyarakatnya tanpa terikat pada mana-mana organisasi. Biarpun beliau sering dipilih untuk menjadi ketua, dia sebenarnya menjadi ketua kerana telah diberi tanggungjawab untuk menyempurnakan matlamat dan kerana telah diberi kepercayaan dan harapan oleh orang-orang di sekelilingnya. Syukurlah, setakat ini semua matlamat berjaya dicapai.
Amiene Rev tidak dapat pergi ke mana-mana hari ini. Perasaannya dingin, kerana cuaca sangat sejuk sejak beberapa hari ini. Titisan hujan, terus turun menjunam ke tanah-tanih yang melapisi bumi. Dia melayari pelbagai laman web berita. Talian kabel broadband sesekali terganggu kerana masalah yang sukar dipastikan. Amiene Rev tiba-tiba tertarik dengan iklan HONDA dalam laman web Utusan Malaysia Online. Iklan dalam format fail Flash itu mengatakan sesuatu yang lebih kurang demikian bunyinya:
"The true power of dream is built on defeats.
Because it is through defeats,
We advance further challenge and become stronger.

HONDA - Reason to Exist."
Bagi yang kalah, lupakan peristiwa kekalahan dan teruskan berjuang. Bagi yang berjaya, tunaikan janji anda, penuhi keperluan rakyat, utamakan kebajikan rakyat. Anda telah dipilih untuk mewakili rakyat. Anda telah diberi kepercayaan dan harapan oleh sekalian rakyat.

Sebelum-sebelum ini, warganegara Malaysia mengundi untuk peserta Akademi Fantasia, Mentor, Gangstarz, Malaysian Idol, Raja Lawak dan banyak lagi program realiti bercorak hiburan. Sekarang, mereka mengundi untuk masa depan mereka pula dengan memilih calon-calon yang dirasakan berwibawa, berkebolehan, berketrampilan, matang dan bijaksana untuk memimpin mereka dan menjaga kebajikan-kebajikan mereka.

Rakyat sangat mengutamakan kebajikan. Pemimpin dan kerajaan boleh dianggap sebagai ibu bapa. Rakyat ada yang baik, ada yang nakal, ada yang mendengar kata, ada yang suka memberontak, ada yang manja, ada yang pandai berdikari dan banyak ragam dan pelbagai idea , kepandaian dan tahap pemikirannya. Namun, ada satu perkara yang perlu diberi perhatian.

Tidak kira apa pun ragam dan sikap rakyat, mereka percaya kepada satu perkara. Pemimpin adalah ibu bapa mereka. Anak-anak tidak suka sekiranya pemimpin terlalu sibuk mengejar harta, mengejar kekayaan, biarpun dengan alasan untuk menyara dan memberi makan mereka. Anak-anak suka apabila ibu bapa mengambil berat dan menyayangi mereka. Anak-anak kadangkala suka memberontak, nakal dan berbuat salah, tetapi mereka tetap mahukan panduan dan perhatian ibu bapa, yang menegur kesalahan mereka. Anak-anak juga suka dan sayang kepada ibu bapa yang memberi peluang dan mahu mendengar suara mereka, masalah mereka, pandangan dan cadangan mereka.

Anak-anak mungkin ada yang berterima kasih dengan program-program hiburan yang berlebihan, konsert-konsert, pusat-pusat hiburan, tetapi dalam diam, mereka rindu dan dahagakan program-program yang lebih bersifat intelektual. Program-program bersifat pendidikan yang dapat menghilangkan keresahan hati mereka dengan memberikan mereka lebih pengetahuan, kemahiran dan panduan untuk kehidupan mereka.

Dalam diam mereka mengadu, mahukan pendidikan yang lebih berkesan, lebih dekat dengan jiwa mereka, lebih mudah penyampaiannya, lebih memberikan ketenangan dan harapan kepada diri mereka.

Rakyat adalah umpama anak-anak. Pemimpin dan kerajaan umpama ibu bapa. Asalkan keperluan ini dipenuhi, maka kegelisahan akan pudar, masa depan semakin jelas dalam penglihatan minda, dan jiwa akan lebih lapang dan bahagia.

Apabila sesuatu perkara itu dibatalkan, maka perlu ada penggantinya. Sebagai contoh, pusat-pusat hiburan seperti disko ditutup. Permintaan terhadap arak pun berkurangan. Maka berlakulah kekosongan masa bagi segelintir rakyat. Masa ini, harus diisi dengan perkara-perkara yang lain, yang sesuai dan lebih baik untuk menghilangkan kehausan rakyat tersebut.

Apa sebab rakyat pergi ke disko? Penulis tidak dapat menjawab persoalan ini dengan tepat kerana penulis tidak pernah pergi atau menjejakkan kak ke disko. Berdasarkan apa yang dibaca, didengar dan dilihat, penulis menganggap individu-individu yang pergi ke disko atas beberapa sebab (sebab-sebab yang difikirkan boleh digantikan dengan perkara lain):

  1. Menghilangkan perasaan bosan dan mental negatif (tekanan, kesedihan, kegelisahan)
  2. Menghilangkan kesunyian (sosial)
  3. Menggerakkan anggota badan dengan bebas (riadah - fizikal)
  4. Memenuhi keperluan nafsu dan ketagihan (konsumer)
Empat perkara di atas berkaitan dengan jasmani, emosi dan rohani . Individu yang bermasalah pergi ke disko untuk meledakkan perasaan dan nafsu, dengan harapan dapat meredakan segala tekanan dan kelesuan mental. Mereka mahu menghilangkan tekanan menerusi aktiviti sosial (bertemu orang lain atau mahu berada di tempat yang ramai orang) dan fizikal (menari , menari untuk melepaskan perasaan).

Bersukan merupakan aktiviti riadah yang terbaik untuk menggantikan aktiviti-aktiviti di pusat hiburan. Terdapat pelbagai jenis sukan. Rakyat pasti suka, apabila adanya tapak-tapak sukan yang dapat memenuhi keperluan jasmani dan rohani. Namun, cadangan untuk menambahkan tapak atau memperbanyakkan aktiviti sukan sahaja tidak mencukupi. Perlu kena dan sewaktu dengan masa orang-orang pergi ke disko. Aktiviti sukan perlu lebih mesra kepada individu-individu ini. Kejayaan futsal menjadi aktiviti sukan pada malam hari merupakan salah satu kejayaan besar.

Manusia ingin bersosial. Mendapatkan kawan untuk bersosial. Sayangnya, tidak semua kawan yang dikenali di pusat-pusat hiburan boleh dianggap sebagai sahabat sejati. Kawan yang ditemui di pusat-pusat hiburan atau aktiviti-aktiviti hiburan sebenarnya adalah orang-orang yang mahu memerlukan keperluan diri. Hubungan yang wujud di tempat-tempat seperti ini boleh memakan diri. Kawan yang baik walau bagaimana pun boleh ditemui menerusi aktiviti kebajikan dan keagamaan. Orang-orang yang melibatkan diri dalam akviti-aktivit kebajikan dan keagamaan biasanya orang-orang yang mahu memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik, mahu berjasa dan memberi sumbangan dalam hidupnya.

Aktiviti-aktiviti yang bersifat kebajikan perlu diperluaskan untuk mengisi kehendak sosial. Arak dan dadah yang biasa ditemui dan disebarkan di pusat-pusat hiburan sebenarnya berkait rapat dengan faktor ingin bersosial. Malu tetapi mahu menonjolkan diri. Mahu melakukan aktiviti hebat dengan segera atau tiba-tiba. Mahu melupakan masalah di dunia nyata dengan imaginasi dan khayalan.

Rakyat harus dididik supaya sukakan aktiviti kebajikan. Aktiviti kebajikan ini biarpun bermaksud peserta memberi sumbangan dengan ikhlas kepada orang yang memerlukan, pada masa yang sama, perlu juga memberi suatu perasaan pengisian kepada peserta. Peserta mendapat sesuatu yang berpusatkan pada keperluan peserta untuk mengisi kekosongan dalam jiwanya, melapangkan fikirannya dan menggerakkan fizikalnya.

Sukan dan kebajikan adalah dua aktiviti yang perlu digubah secara ringkas (dipermudahkan dengan bijak) supaya dapat memenuhi keperluan jiwa peserta. Di Malaysia ini sendiri terdapat berjuta-juta orang, pasti ada banyak idea menarik yang boleh difikirkan untuk dikaitkan dengan sukan dan kebajikan. Kedua-dua aktiviti ini perlu digabungkan bagi menggantikan sebab-sebab kenapa disko dijadikan pilihan bagi sesetengah warganegara.

Hiburan yang berlebihan melemaskan, apabila tidak ada pengisian yang setimpal untuk rohani dan intelektual. Akal perlu digerakkan. Sekiranya sesuatu aktiviti itu tidak memiliki keseimbangan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intektual, maka selagi itulah peserta tidak akan puas dan sentiasa haus. Sayangnya, tidak semua peserta tahu, apakah sebenarnya yang mereka perlukan untuk menghilangkan kehausan jasmani, emosi, rohani dan intelektual mereka. Mereka tidak akan tahu selagi mereka tidak diberi peluang untuk mencuba.

Oleh itu, kerajaan sebagai ibu bapa, akan lebih disayangi apabila berusaha memperkenalkan aktiviti-aktiviti alternatif yang dapat memenuhi keperluan jasmani, emosi, rohani dan intelektual secara serentak. Apabila keempat-empat keperluan ini dipenuhi, maka tidak perlu lagi disko. Rakyat tidak akan tahu dan ragu-ragu sekiranya tidak ada galakan dan promosi berterusan untuk mereka mencuba pembaharuan ini.

Seorang anak takut untuk mencuba sesuatu makanan yang dianggap baru baginya, maka ibu dan ayahnya perlu berusaha memujuk anak itu makan makanan tersebut., dengan cara yang lemah lembut, mesra dan bertanggungjawab. Pasti, anak itu akan suka untuk mencubanya. Rakyat juga begitu...

Jika anak tidak suka makan sayur, maka jadikan hidangan sayur itu menarik atau enak dimakan, dengan resepi-resepi masakan atau petua-petua tertentu. Jangan pula ditambahkan pewarna dan perisa yang memudaratkan kesihatan, menjejaskan mental. Proses penyediaan program dan aktiviti untuk mengisi keperluan rakyat juga perlu dibuat begitu. Biar makanan itu enak dan berkhasiat. Biar aktiviti itu memenuhi keperluan jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

Semua orang pasti bahagia...