BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Mac 14, 2008

Hujan Setiap Hari 5 - Dalam Kedinginan Ada Keyakinan

Dalam dunia ini orang silap bila kata kamu akan sentiasa bodoh. Sifat bodoh bukan sifat yang kekal dalam diri manusia. Manusia belajar dan menjadi pandai. Hari ini mereka bodoh, dan jika mereka mengambil iktibar daripada kesilapan dan tindakan bodoh mereka, bermakna mereka telah mempelajari sesuatu dan berubah. Sekali kena, dua kali tahu.

Ada manusia sengaja jadi bodoh. Kenapa agaknya mereka sengaja jadi bodoh? Amiene Rev berpendapat, dua faktor yang menyebabkan manusia sengaja menjadi bodoh ialah emosi dan nafsu. Emosi dan nafsu boleh meracuni akal. Takut keterlaluan dan marah yang amat sangat boleh menafikan kelogikan akal. Begitu juga nafsu. Nafsu malas dan tidak sabar yang tidak terkawal memusnahkan segala harapan dan strategi akal.

Pada pandangan Amiene Rev, emosi dan nafsu kadangkala boleh menonjolkan kekuatan kenegatifannya apabila dipengaruhi oleh pengalaman atau tafsiran akal yang tertentu. Keadaan yang menimbulkan putus asa menghasilkan perasaan malas dan enggan bergerak. Begitu juga apabila adanya tekanan persekitaran yang melampau, atau tanggungjawab yang terlalu mencapah.

Contohnya, seseorang itu perlu belajar dengan tekun, pada masa yang sama dia perlu bekerja dengan konsisten untuk mendapatkan wang. Masalah hutang, masalah takut dihalau kerana tidak dapat membayar sewa, masalah bimbang gagal dalam pelajaran kerana terpaksa memberi komitmen kepada kerjaya, masalah takut menerima wang daripada orang lain dan sebagainya.

Apabila ini berlaku, maka penawar perlu dicari. Malangnya pada ketika ini, pesakit merasakan dirinya kurang berupaya untuk bermotivasi. Dorongan moral daripada orang lain sangat membantu. Pesakit perlu banyak berinteraksi dengan orang-orang yang berkaitan dengan bidang yang bermasalah. Ini boleh mengembalikan motivasi. Hidup keseorang, kesunyian tanpa teman yang selari dengan apa yang dikerjakan boleh mendatangkan rasa keliru, tidak jelas dengan matlamat kerja dan akhirnya individu itu gagal menyudahkan apa yang dikerjakannya.

Kesunyian menyebabkan seseorang itu berasa dirinya tidak dihargai. Apabila tidak ada orang cuba mengambil berat mengenai dirinya, sama ada kawan atau kenalan, sama ada pensyarah atau pelajar sekuliah, ibu bapa atau adik beradik, maka individu tersebut boleh keliru dengan matlamat hidupnya. Seolah-olah dia tidak penting lagi, mati pun tidak apa.

Adakalanya, setelah terhantuk baru terngadah. Ini merupakan cara yang berisiko. Ada sesetengah pesakit menganggap, apabila nasi sudah menjadi bubur, maka tidak ada maknanya untuk meneruskan kehidupan lagi. Mereka telah mensia-siakan masa yang ada sebelum ini, dan tidak berminat lagi untuk menyambung usaha tersebut. Kehidupan sudah dianggap sebagai bebanan, dan mereka memutuskan untuk menamatkan kehidupan.

Dalam keadaan ini, pesakit perlu berhati dingin. Dingin bermaksud, bersunyi-sunyian memikirkan suatu matlamat. Matlamat yang berkaitan dengan pekerjaan yang harus diselesaikannya. Lupakan pertalian, tanggungjawab dan janji yang mencapah dengan matlamat tersebut.

Sebagai contoh, si pesakit perlu tamatkan pengajian, bukannya bekerja untuk mencari wang. Dalam kes ini, pekerjaan yang berat itu telah mengganggu matlamat pengajiannya. Perasaan terhutang budi dan mahu membantu orang yang telah membantunya menyebabkan si pesakit hilang fokus utamanya. Si pesakit perlu mengabaikan perkara-perkara yang mencapah ini. Ini dipanggil berhati dingin.

Dalam hati yang dingin, fokus si pesakit cuma satu. Dia melupakan persekitarannya. Si pesakit perlu memanfaatkan ego yang ada dalam dirinya. Si pesakit perlu memanfaatkan emosinya, mengabaikan rasa bersalah kerana mementingkan dirinya. Si pesakit perlu memanfaatkan nafsunya, supaya perasaan mahu bersungguh-sungguh menamatkan pengajiannya itu menggerakkan segala enjin yang bersembunyi di setiap sendi badannya.

Maka si pesakit akan mendapat semula fokusnya, dan berusaha dengan gigih. Semoga berjaya, Romantis Selatan. Semoga berjaya.

Bagaimana sekiranya tidak ada orang pun yang dapat mendorong si pesakit. Si pesakit hidup dalam kesunyian, mustahil akan ada orang untuk berada di sampingnya untuk terus menerus menyokongnya, memberi sokongan moral dan mengucapkan kata-kata untuk mengembalikan semangatnya? Ini mustahil. Cuma ada, Malaikat di bahu kanan, Syaitan di bahu kiri, dan Tuhan yang sentiasa memerhati.

Maka Amiene Rev telah memanfaatkan ilham menerusi kesejukan pada musim hujan, kedinginan kerana hujan yang turun sepanjang hari, untuk menghasilkan suatu teknik terapi menghargai diri yang dipanggil Terapi Hati Dingin.

Bermula entri ini dan akan datang, Amiene Rev akan memulakan Terapi Hati Dingin menerusi blog ini untuk mengembalikan semula keyakinan Romantis Selatan terhadap kehidupannya. Harap-harap South membacanya. Entri-entri yang memanfaatkan ego, emosi dan pengalaman silam sebagai langkah untuk menghargai diri.