BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Februari 22, 2008

Petua Nasi dan Nasi Goreng

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, saya dapati, Blogger sudah dapat diakses, biarpun kadangkala terdapat gangguan internet. Saya sangat gembira dengan perkembangan ini.

Perut saya selalu lapar sejak akhir-akhir ini. Tidak sempat untuk makan, kadang kala saya cuma makan sekali sehari sahaja, atau menjamah mi segera.

Entah kenapa, tiba-tiba saya mengidam nasi goreng. Kalau sekarang saya boleh memasak di bilik ini, pasti sudah saya masak nasi dan goreng. Saya tiba-tiba terfikir bagaimana hendak memasak nasi goreng yang enak? Gunakan nasi sejuk, itulah jawapan yang keluar dari hati saya.

Nasi goreng yang sejuk, zarah-zarah setiap butir nasi itu sudah pasti rapat dan ini menyebabkan butiran nasi bertambah pejal dan apabila digoreng sungguh lazat dan enak.

Saya paling suka makan Nasi Goreng Ikan Masin. Masukkan ikan tenggiri yang disimpan di dalam minyak bersama garam, dicampur dengan bijiran jagung yang dimasak bersama marjerin, dan kacang hijau yang enak, pasti menimbulkan aroma yang menyelerakan. Lada kering yang dipotong-potong, ikan bilis dan kacang. Bunyinya semacam nasi lemak. Adakah nasi lemak goreng di dunia ini? Saya berfikir yang pelik-pelik tatkala lapar, tetapi perkara ini pasti tidak mustahil diadakan pada masa akan datang.

Saya pernah mendengar, ada orang kata, kalau hendak makan nasi basi, tidak mahu dibazirkan atau dibuang nasi basi itu, maka eloklah kalau nasi basi itu digoreng sehingga menjadi seperti bertih. Setelah itu, boleh dicampurkan bahan-bahan lain dan makan seperti biasa. Saya tidak pernah cuba, cuma mendengar kata orang. Jadi saya tidak menjamin kalau-kalau berlaku kes keracunan makanan.

Selain itu, saya pernah terfikir untuk makan nasi goreng yang dimasak dengan minyak zaitun. Entah kenapa, barangkali sebab saya terfikirkan nasi goreng yang harum mewangi. Adakah sesiapa pernah makan nasi goreng minyak zaitun? Kalau tidak ada, suatu masa nanti saya akan cuba menggoreng nasi dengan minyak zaitun.

Aduh, laparnya. Mi segera sudah boleh dimasak. Air panas sudah cukup.


Nota: Ketika blog ini ditulis, saya sentiasa memikirkan kisah seorang peminat yang memplagiat karya saya pada bulan lalu. Saya mengakui, saya ada rasa kasihan dan terharu, biarpun pada masa yang sama saya berasa sedih dan marah terhadap sikapnya. Biarlah, pihak Administrator web tersebut sudah pun mengambil tindakan, saya telah memaafkan dia. Saya sedih kerana sebenarnya saya pun tidak sampai hati hendak mengambil tindakan sebegitu rupa, seolah-olah saya telah berkasar terhadap orang yang lebih tua. Saya tidak senang hati kerana terpaksa bertindak menegur dia, namun, isu plagiat bukan isu main-main. Manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.