BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, November 12, 2006

Rahsia Mendapat A Untuk Kerja Kursus Sejarah - Elemen 1

Panduan Mendapat Gred A dalam Kerja Kursus Sejarah

Tahukah adik-adik betapa senangnya untuk mendapat A dalam Kerja kursus Sejarah di sekolah sekiranya adik-adik terlebih dahulu mengetahui apa yang perlu dilakukan selaras dengan kehendak penilai? Ini adalah cara-cara untuk mendapat gred A atau markah penuh dalam kerja kursus sejarah. Selain merujuk guru-guru di sekolah adik-adik, bahan-bahan bacaan dan internet juga juga merupakan sumber penting dalam meningkatkan kemahiran adik-adik untuk mendapatkan maklumat berkaitan.

Terdapat TIGA elemen utama yang perlu adik-adik berikan perhatian semasa melaksanakan kerja kursus sejarah iaitu:

  1. Elemen 1: Mengumpul Fakta Sejarah
  2. Elemen 2: Merekod Fakta Sejarah
  3. Elemen 3: Penerapan Unsur Patriotisme

Elemen 1: Mengumpul Fakta Sejarah

Markah penuh bagi elemen 1 ini ialah 4. Bagaimanakah caranya untuk mendapat markah yang cemerlang ini? Terdapat dua kriteria untuk pemarkahan dalam elemen ini iaitu:

Mengumpul fakta sejarah daripada EMPAT jenis sumber

ATAU

Mengumpulkan fakta daripada EMPAT orang sumber sekiranya adik-adik mengkaji perkara sangat baru atau yang belum pernah diterbitkan dalam mana-mana sumber. Contohnya jika perkara tersebut melibatkan kajian mengenai keluarga adik-adik.

Sekiranya adik-adik hanya menyediakan tiga fakta sahaja, maka adik-adik hanya akan diberi 3 markah, begitu juga kalau satu sahaja fakta, maka adik-adik hanya akan mendapat satu markah sahaja.

Seelok-eloknya adik-adik mempelbagaikan sumber, contohnya ada (1) gabungan akhbar, (2) buku, (3) orang sumber dan (4) tempat yang dilawati. Ini akan menunjukkan adik-adik telah menggunakan pelbagai cara dan kemahiran untuk mengumpul fakta.

Sumber rujukan adalah perlu untuk keempat-empat fakta yang disertakan. Sumber rujukan hendaklah dicatatkan di ruangan rujukan dan adik-adik perlu menyediakan lampiran untuk salinan dokumen sumber untuk pemarkahan.


Cara Untuk Menulis Rujukan Bagi Kerja Kursus Sejarah:
Bagaimana caranya hendak menyatakan sumber? Contoh untuk menyatakan sumber bagi setiap jenis sumber adalah seperti berikut:

Buku ilmiah - 5 perkara perlu dinyatakan
Nyatakan (1) nama pengarang, (2) tahun terbit, (3) tajuk buku, (4) tempat terbit, (5) penerbit.

Cara menulisnya ialah:

Nama-nama penulis (koma) tahun terbit (noktah) tajuk buku (noktah) tempat terbit (titik bertindih) penerbit (noktah)

Contoh 1: Seorang penulis untuk satu buku 
Amiene Rev, 2007. Panduaan Kerja Kurus Sejarah Peringkat PMR dan SPM. Kuala Lumpur: Wajib Edar Publication Sdn. Bhd

Contoh 2: Dua atau lebih penulis untuk satu buku
Abu Bakar Supardi, Maimunah Muslim, Kamariah Hizbullah, 2004. Asal Usul Nenek Moyang Melayu. Kuala Lumpur: DBP.

Perhatikan tajuk buku ditulis dengan tulisan condong.


Jurnal - 4 perkara perlu dinyatakan
Nyatakan (1) Nama pengarang, (2) tajuk , (3) bilangan, (4) tahun.

CONTOH: Ahmad Masjidin, "Malayan Union Dalam Ruangan Akhbar Warta Negara" dalam Jurnal Malaysia dari Segi Sejarah. Bil 8, April 1979.


Akhbar dan Majalah - 2 perkara perlu dinyatakan 
Nyatakan (1) Nama akhbar, (2) tarikh. Baik juga dinyatakan halaman.

CONTOH AKHBAR: Utusan Malaysia, 17 Jun 1993, halaman 10.

CONTOH MAJALAH: Dewan Siswa, Februari 2002, halaman 20.

Orang sumber - 3 perkara perlu dinyatakan
Nyatakan nama, umur dan alamat

CONTOH: Mohd Tarmizi bin Omar, 50 tahun, No 26, Jalan April, Taman Sepak Takraw, 52000, Kuala Lumpur.

CONTOH: Syamsul Hairi bin Saidi, 68 tahun, No 12, Jalan Bulan Empat, Taman Penawar, 80300, Johor Bahru, Johor.

CONTOH: Mohd Ridzuan bin Musa, 40 tahun, No 24, Jalan Mahmud June, Taman Bandar Baru, 15100, Kota Bharu, Kelantan.


Internet - Nyatakan alamat laman web

CONTOH: Duke Amiene Rev, http://dukeamienerev.blogspot.com/sejarah.php3.htm

CONTOH: Forum Dragonizer, http://s6.invisionfree.com/dragonizer/tokohagung.htm


Televisyen atau radio - Nyatakan tajuk program, tarikh, masa dan rangkaian

CONTOH: Edisi Siasat. 12 April 2007, 8.30 malam, NTV7.

CONTOH: Dokumentari Tokoh Sepak Takraw. 24 Jun 2007, 9.00 malam, TV3.

CONTOH: Sejarah Sekolah Sukan Bandar Penawar. 26 April 2007, 10 pagi, RTM1.


VCD/DVD - Nyatakan tajuk program dan terbitan

Sumber-sumber lain - Nyatakan jenis sumber, alamat/punca.

Klik pada label Kerja Kursus Sejarah di bawah untuk melihat lebih banyak informasi mengenai bagaimana adik-adik boleh mendapat keputusan gred yang baik dalam membuat Kerja Kursus Sejarah adik-adik. Selamat berjaya!