BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, November 12, 2006

Rahsia Mendapat A Untuk Esei Kerja Kursus Sejarah - Elemen 3

Tahukah adik-adik kenapa adik-adik perlu membuat membuat laporan Kerja Kursus Sejarah? Tujuannya tidak lain dan tidak bukan selain untuk menyemai semangat patriotik dalam jiwa adik-adik. Sebab itu adik-adik diminta untuk menulis esei. Esei ini adalah mengenai diri adik-adik dan bagaimana adik-adik menyerlahkan semangat patriotik ini selepas mengharungi pelbagai rintangan dalam menyudahkan Kerja Kursus Sejarah.

Kita belajar sejarah bukan untuk menghafal fakta, sebaliknya untuk memahami apakah kejayaan dan kesilapan bangsa manusia pada masa silam, supaya kita dapat menjadi generasi yang lebih baik daripada generasi dahulu.

Itulah tujuan kita belajar sejarah. Kalau guru di sekolah adik-adik memaksa adik menghafal tahun dan peristiwa sahaja, guru itu silap besar! Perkara yang seharusnya ditekankan ialah penghayatan dan kefahaman adik-adik terhadap apa yang telah berlaku, bila, di mana dan kenapa boleh jadi begitu? Bagaimana masyarakat dulu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka ketika itu?

Baiklah, elemen ketiga dalam Kerja Kursus Sejarah ini memberi adik-adik 4 markah dengan syarat adik-adik mesti menulis esei yang mengandungi empat daripada lima unsur patriotisme.


Apakah unsur-unsur patriotisme?

Adik-adik pernah menggunakan Bahasa SMS atau Bahasa Rojak semasa menulis? Hindarkan. Orang yang menggunakan Bahasa SMS atau Bahasa Rojak dalam penulisannya ialah bangsa yang tidak ada nilai-nilai patriotisme dalam dirinya. Bahasa adalah maruah bangsa. Pertahankannya.

Unsur-unsur patriotisme yang perlu ada dalam esei adalah seperti berikut:

  1. Berbangga sebagai rakyat Malaysia
    • menghormati raja dan pemimpin negara.
    • menghargai jasa dan perjuangan tokoh-tokoh negara.
    • menghormati lambang-lambang negara (seperti bendera, lagu kebangsaan dan jata negara).
    • menjaga dan mempertahankan maruah bangsa dan negara.
    • berbangga dengan sejarah negara.


  2. Bersemangat setia negara
    • cinta akan bangsa dan negara.
    • taat dan setia kepada raja dan pemimpin negara.
    • sedia berkorban untuk bangsa dan negara.
    • bertanggungjawab kepada bangsa dan negara.
    • berani dan sanggup mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara.
    • peka kepada masalah dan isu tentang bangsa dan negara.
    • bersyukur sebagai warganegara Malaysia.


  3. Bersemangat kekitaan
    • bersatu padu dan harmoni.
    • bertolak ansur dan bertoleransi.
    • bekerjasama dan tolong-menolong.
    • hormat-menghormati.
    • bersefahaman dan bermuafakat.
    • muhibah atau semangat bermasyarakat.


  4. Berdisiplin
    • berakhlak dan berbudi pekerti mulia
    • mempertahankan dan menjunjung Perlembagaan Negara.
    • mematuhi peraturan dan undang-undan.
    • berkelakuan sopan, bertatasusila dan berhemah tinggi.
    • bertindak wajar.
    • bersifat amanah dan jujur.
    • berlaku adil dan bertimbang rasa.


  5. Berusaha dan produktif
    • rajin dan gigih
    • berdikari
Pejamkan mata, tunduk dan renungkan kembali. Adakah adik-adik memiliki unsur-unsur di atas dalam diri adik-adik? Wujudkan unsur-unsur di atas dan dengan sendirinya tanpa perlu meniru mana-mana contoh esei, adik-adik akan dapat meluahkan sendiri semangat patriotisme yang tersembunyi adik-adik dalam esei atau karangan adik-adik.

Ini adalah jati diri, sekiranya adik-adik gagal untuk mewujudkan semangat patriotik dalam diri adik-adik. Pelajar yang gagal mewujudkan semangat patriotik selepas selesai membuat Kerja Kursus Sejarah, secara automatik, kerja kursusnya adalah gagal biarpun dia mendapat gred A atau lulus dalam kerja kursus tersebut.

Apa yang penting dalam diri kita sebagai manusia ialah nilai-nilai kemanusiaan dan bukan sekadar memiliki kepakaran, kepandaian atau keputusan akademik yang baik. Kejayaan seseorang individu itu ditentukan menerusi sumbangannya kepada masyarakat, budi bahasa dan tingkah laku yang baik terhadap dirinya sendiri dan terhadap masyarakat di sekelilingnya.

Renung-renungkan...