BLOG DUKE AMIENE REV

Jumaat, Oktober 19, 2007

Kontroversi Pemandu Teksi dengan Pelajar Universiti

Jika tadi aku menyatakan mahu memberi anugerah terhadap skrip filem Bridge To Terabithia dan The Pursuit Of Happyness, sekarang aku mahu menyatakan perasaan (seolah-olah memberi anugerah) kepada seorang pemandu teksi dari Kota Kinabalu.

Kisahnya begini. Seorang pemandu teksi membawa seorang penumpang ke Lapangan Terbang Terminal 2 Kota Kinabalu. Penumpang tersebut perlu menaiki kapal terbang yang dijangka bertolak pada pukul 6.35 pagi dari Kota Kinabalu ke Pulau Pinang. Sayangnya, penumpang tersebut disekat daripada menaiki kapal terbang kerana dia tidak mampu membayar baki RM150 (seratus lima puluh ringgit) untuk lebihan berat bagasi sebanyak 10 kilogram.

Pemandu teksi tersebut membuat keputusan meminjamkan wang sebanyak RM150 kepada penumpang tersebut supaya penumpang tersebut dapat menaiki bas. Alangkah bagusnya pemandu teksi seperti ini. Pemandu teksi yang berjiwa perwira ini bernama Lasius atau Aloysius. Kisah benar ini berlaku sekitar bulan 10 tahun 2007.

Ada satu lagi kisah pemandu teksi yang baik hati di Johor. Namanya En. Sauli. Suatu ketika seorang pelajar universiti (bukan aku), mahu menaiki bas tetapi belum menempah tiket. Maka En. Sauli menempah tiket untuknya dengan menggunakan duitnya sendiri. Malangnya si pelajar ini yang sikapnya tidak tetap pendirian telah menyusahkan pemandu teksi ini. Pelajar tersebut tidak jadi menaiki bas, dan si pemandu teksi terpaksa membayar nilai harga untuk tiket tersebut.

Kebaikan pemandu-pemandu teksi seperti ini walau bagaimana pun sedikit sebanyak telah dicemari oleh sikap segelintir pemandu teksi yang mementingkan diri sendiri dan keluarga sendiri. Harga tambang teksi yang diletakkan sesuka hati menyebabkan timbulnya rasa kurang percaya di kalangan pelajar dan orang lain terhadap mereka.

Contohnya, harga untuk destinasi yang sama dari A ke B, didapati berlainan mengikut pemandu teksi. Beza harga sekitar RM1 ke RM2. Ada yang kata RM5 dan ada yang kata RM6. Sebaliknya, apabila mengikut meter teksi, harga tambang cuma sekitar RM3.80. Namun meter cuma hiasan bagi majoriti pemandu teksi. Nilai RM5 boleh diterima oleh kebanyakan pelajar, tetapi RM6 itu dianggap sebagai satu ketidakjujuran dan ketidakikhlasan dalam memberi perkhidmatan.

Apabila kisah ini dikemukakan kepada beberapa pemandu teksi yang pro-RM5, mereka kata, kalau ada pemandu teksi yang meminta lebih daripada nilai itu, maka penumpang tidak perlu bayar. Ada juga penumpang yang berdebat dengan pemandu teksi di dalam teksi sebelum pemandu teksi akhirnya menekan pedal, memecut laju meninggalkan penumpang.

Dalam kebanyakan kes, bagi penumpang yang berpengalaman, mereka selalunya menang berdebat. Belitan lidah pemandu teksi yang meminta tambang teksi berlebihan selalunya lemah. Hujah mereka cuma lebih kepada ekspresi suara dan emosi yang dibuat-buat yang semestinya tidak dapat mengalahkan pengalaman penumpang yang biasa menaiki teksi. Namun ada juga penumpang yang kurang berkeyakinan tertindas jua.

Nilai tambang yang berbeza harga menimbulkan persoalan. Petang tadi, semasa hendak pulang ke kampus, aku terdengar suara-suara tidak puas hati seorang pemandu teksi terhadap sekumpulan pelajar universiti. Halnya berkaitan dengan soal tambang juga. Aku tidak tahu bila agaknya masalah harga tambang jujur dan khianat ini akan berakhir. Sebab itu, aku lebih suka berjalan kaki atau menaiki bas sahaja untuk keluar dari kampus.

Namun kepada Lasius AKA Aloysius dan En. Sauli, aku berharap dua orang ini dimurahkan rezeki. Kejujuran anda sebagai pemandu teksi sepatutnya menjadi teladan kepada pemandu-pemandu teksi yang lain.


"Memandu dan menumpang teksi adakalanya ibarat berjudi. Kita tidak tahu berapa kita perlu bayar untuk ke satu-satu destinasi." - Amiene Rev