BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Oktober 24, 2007

Apabila Dia Mahu Mati - Kembali Ke Jalan Kegelapan

Agaknya, kenapa dia sudah berubah sikap sekarang? Kenapa dia begitu dingin, seperti tidak suka dengan semua orang? Aku keliru. Hujan dan angin tidak menentu. Sejak beberapa hari ini, cuaca tidak begitu baik.

Mesin basuh kolej rosak. Perkhidmatannya tidak memuaskan. Aku mengambil keputusan membasuh sendiri baju-baju aku. Malam tadi juga, sekumpulan budak universiti, bermain mercun di perkarangan asrama. Aku terdengar suara sekumpulan mahasiswa terkekeh-kekeh di aras atas.

Pun begitu, bunyi letupan dan gelak ketawa belum dapat menceritakan suasana yang agak lengang di universiti ini. Aku seolah-olah merasai ada orang mahu membunuh diri. Aku dapat merasai semacam ada perasaan yang sangat hiba, kecewa dan merana. Siapakah orang ini, dan kenapa perasaan negatifnya seolah-olah menusuk ke jiwa aku?

Ada orang cuba berhubung dengan diriku. Aku tidak pasti siapa. Ini kerana pancaran magnetk personalitinya seolah-olah asing, penuh dengan perasaan marah, geram dan memberontak. Aku terbayang-bayang darah, pisau dan tali gantung.

Dia? Sejurus itu juga, tiba-tiba pandangan visualku melaju, menjejaki seseorang. Titisan hujan terasa turun dengan sangat perlahan, seolah-olah detik masa telah diperlambatkan. Manusia-manusia yang kelihatan, berjalan, berbicara, ketawa, menggerakkan tubuh badan dengan sangat perlahan. Aku berpaling, mencari-cari dia.

Kenapa? Kenapa kau mesti kembali ke sikap itu! Aku melaung. Dia terpaku. Duduk dengan kedua-dua belah kakinya terlipat. Kedua-dua belah lengannya melunjur ke tanah. Tangan-tangannya menggenggam penumbuk. Dia tunduk. Dingin hujan membasahi tubuhnya. Wajahnya pucat. Rambutnya lentuk dibasahi hujan. Ada lebam di bawah matanya yang merah.

"Aku... aku benci manusia!" Dengan suara tersekat-sekat. Geram. Marah. Dia bersuara.

"Kenapa? Kenapa kau mesti benci manusia?" Entah kenapa? Perasaan terharu melintasi jiwaku. Aku mesti, mahu menyelamatkan dia dari kembali kepada kegelapan.

"Manusia cuma pentingkan diri sendiri. Manusia cuma tahu menganiayai orang!" Lantang sekali suara dia. Dia mengetap bibirnya. Dia memicingkan mata merahnya, memandang tajam ke arah aku. Terpancar kekecewaan pada wajahnya. Kebencian.

"Kau juga manusia!" Aku memperingatinya.

"Bukan!" Jeritnya. "Aku... bukan... manusia!" Suaranya agak garau dan lontaran nadanya sangat keras!

"Habis! Kau siapa?" Aku melaung dalam keributan hujan yang mencurah-curah. Pokok-pokok yang berada di persekitaran bergoyang-goyang seolah-olah mabuk dan mahu rebah ke bumi.

Dia diam. Matanya terbeliak memandang ke bumi. Dia menggenggam rambutnya dengan kedua-dua sikunya yang dibengkokkan. Seolah-olah orang yang menyerah diri kepada pihak musuh.

"Kau siapa?" Aku melaungkan pertanyaan itu lagi. Aku harap aku dapat menyedarkan dia.

"Aku... aku... Garuda! Aku musuh engkau... Naga!" Dia memandangku dengan penuh kebencian. Matanya yang terbeliak ganas. Barisan gigi putihnya yang tersusun rapat. Ekspresi mukanya yang penuh dengan kemarahan dan dendam.

"Aku benci engkau. Sebab kebenaran yang kau katakan itu tidak wujud! Cuma ada penganiayaan! Cuma ada kesengsaraan!" Garuda bangkit. Kedua belah lengannya diluruskan ke bawah. Dia menggenggam erat penumbuk-penumbuknya. Air hujan membasahi mukanya, seperti air mata tangisan yang mengalir keluar.

"Dunia ini mana ada keadilan! Engkau berdusta, Naga! Engkau bohong! Manusia ini haiwan! Segala-galanya binatang!" Garuda menjerit sekuat-kuat hatinya. Menengking, meluahkan perasaan kecewa dan marahnya. Geram!

"Engkau telah sesat, Garuda. Kembalilah. Kembalilah kepada kebenaran! Jika tidak, aku terpaksa menghapuskan engkau!" Aku menuturkan kata-kata itu dengan perasaan terharu. Kesal. Sedih. Dadaku bagai dicucuk semilu. Mataku seolah-olah bergenang mengenangkan seorang sahabat yang kini telah kembali sesat. Dia tewas dengan ujian kehidupan, tetapi dia belum gagal! Dia belum gagal sepenuhnya! Aku, aku mesti bawa dia balik! Kembali sebagai manusia!

Garuda merenungku. Matanya memerah. "Aku benci engkau, sebab sekiranya aku tidak menghapuskan engkau, aku takkan dapat kembali, ke dunia kegelapan. Cuma, dengan membunuh engkau, baru aku dapat, merasai semula kesesatan!"

Sebaik-baik sahaja menghabiskan perkataan-perkataan negatifnya, Garuda memecut laju ke arahku dengan sebelah penumbuknya menghala ke arah aku.

"Baik! Biar pertarungan ini, menjadi saksi, kebenaran itu wujud atau pun tidak. Kebenaran itu wujud, Garuda!" Aku bersiap sedia memasang kuda-kuda. Bersedia menyambut serangan Garuda. Aku ini Amiene Rev. Pernah digelar sebagai Dragonizer - Naga Unggul. Naga Unggul, Naga Terbilang, Naga Agung, Naga Disanjung. Dengan empat jurus keramat ini, aku akan menumbangkan Garuda!

"Kesunyian telah meracuni engkau, Garuda! Aku akan membawa pulang engkau dari jalan sesat itu!"

Pertarungan antara dua orang sahabat. Pertarungan yang akan menentukan wujudnya kebenaran. Pertarungan yang bakal mengubah pendirian. Kini meletus!

Aku cuma mampu berdoa. Agar kebenaran yang akan menang. Mengembalikan Romantis Selatan, dari jalan kesesatan. Dou adalah jalan yang salah, Sei itu adalah jalan yang benar!