BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, September 17, 2007

Sajak Khusus Buat Keluarga Nurin Jazlin 3

Rindu Ini Terus Menjejakimu
Biarpun Di Alam Mimpi

Nukilan: Amiene Rev (C) 2007

Ketika ini
setiap ibu dan bapa
yang mendekatkan bibirnya
ke dahi anak-anak mereka
yang lena
di pentadbiran mimpi
mengenangkan esok hari
sehari satu umur telah meningkat

Ketika itu juga
Ada sepasang bonda dan ayahanda
merapatkan bibir melekuk layu
Mata-mata terus sayu
mengenangkan seorang anak:

Malamnya bermimpi di mana?
Siangnya menjejak ke mana?

Lalu kami dari bumi yang sama
dari dunia yang nyata
dari kaum yang berbeza
dari agama-agama yang bersetuju
bahawa kebaikan itu untuk semua,
menutur doa dan harapan
membisikkan semangat dan keyakinan
pada angin yang bertiup lembut
dan cengkerik berseru-seru memujuk

Menangiskah dia, si anak kecil?
Takutkah dia, si anak kecil?
Pasti Tuhan yang ada di sisi,
takkan biarkan mu putus harapan!

Ini bisikan rindu,
kau pasti kembali,
dan dengan rindu ini,
kan kami julang doa
menjejakimu
biar di alam mimpi.

Hijab mimpi,
tidak sekali-kali
menghalang perpaduan hati
keluarga yang satu.


Nota buat pembaca: Kehilangan Nurin Jazlin sejak 20 Ogos lalu masih menjadi igauan nyata. Sekiranya anda memiliki maklumat mengenai diri anak kecil ini, sila hubungi nombor telefon pihak berikut sebagaimana yang tertera di jaringan yang disediakan dalam blog ini (klik di sini).