BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, September 05, 2007

Our Destiny Must Not Be The Same: We're Rival

Entah kenapa, pada hari ini aku banyak mengimbas kenangan masa silam aku. Ada bahagian-bahagian yang ternyata sudah hilang. Ketika inilah, aku menemui ingatanku mengenai salah seorang sepupu aku yang berdarah Eropah.

Sudah lebih 12 tahun kami berpisah. Dalam ketika itu, kami saling bersaing antara satu sama lain. Dahulu aku selalu mengalah. Tidak ada niat untuk bersaing. Kemudian, perlahan-lahan, persaingan itu wujud. Semuanya gara-gara guru yang mencetuskan semangat persaingan ini.

Namun beberapa tahun lalu, kami pernah berkomunikasi menerusi talian telefon. Dia masih berdendam. Ini kisah antara keluarga. Kami menjadi mangsa, tapi aku percaya dia dipengaruhi oleh ibunya. Dia memusuhi aku pada ketika itu. Menyatakan dendamnya terhadap keluarga aku. Sejak itu aku tidak mendengar kisahnya lagi. Barangkali kedewasaan dan kematangan akan menghapuskan dendam tersebut. Aku tidak tahu, aku cuma anak yang menjadi mangsa dalam kisah silam. Aku tidak berani mengulas siapa yang benar atau siapa yang salah. Aku cuma tahu, dahulu kami sangat rapat dan dianggap sebagai kembar.

Wajah kami dikatakan seiras semasa kecil. Aku sering dipanggil dengan namanya dan dia dipanggil dengan namaku. Apabila dia pulang lambat, aku akan disalah anggap sebagai dia.

Dahulu aku tidak kenal apa itu persaingan. Cuma ada keseronokan. Memiliki kawan-kawan yang mengagumi kebolehanku. Apabila ada orang mengajak aku bertanding, cepat-cepat aku mengalah. Tidak menonjolkan kebolehanku.

Kemudian aku sedar, aku memiliki kesempurnaan dalam pelbagai perkara. Patutlah aku sering dilantik sebagai pemimpin. Kekuatan, tenaga, kebijaksanaan, ketabahan, kepantasan, kehandalan, keberanian dan pelbagai lagi perkara yang sukar dijelaskan.

Sepupu aku kini sejak dia melepaskan diri daripada kongkongan bapanya, dia kini menjadi seorang yang luar biasa. Bakal meletakkan diri dalam arena pemerintahan dunia. Dia bercita-cita untuk menjadi salah seorang elit, anggota Majlis Tertinggi dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Kata-katanya dipetik sebagai ayat-ayat penting dalam surat khabar.

Aku pernah mengalahkannya dulu. Sebab itu aku percaya, jika sepupu aku yang pernah aku kalahkan itu boleh sampai ke tahap itu, maka aku boleh pergi jauh lebih hebat lagi. Mengalahkan The Existence Of The Best Beings.

Aku menggunakan internet untuk mencari wajah terbarunya. Berjaya! Gambar dia ketika di Paris. Aku gembira, melihat kejayaannya. Namun, seperti apa yang pernah aku katakan dulu. Persaingan. Barangkali, kali ini bukan lagi persaingan tetapi motivasi.

Aku memecahkan kongkongan potensi yang terpendam, mengatasi segala cabaran yang wujud. Nama-nama tokoh yang 'angkuh' di persada seni kelihatan kecil. Ini pasti kesan bahaya daripada kaedah 'absorb' yang aku gunakan.

Aku percaya, setiap tokoh-tokoh yang terkenal dan hebat dalam lembaran sejarah, pasti melalui zaman yang sukar sebelum sampai ke tahap itu.

Aku semakin memahami erti penderitaan, kesakitan dan oleh itu aku juga semakin memahami erti ketabahan dan ketenangan.

Ketika itu aku tidak akan menoleh lagi. Memijak tokoh-tokoh 'angkuh' dan 'sombong' seperti memijak batu-batu kelikir di tengah jalan.

Kejayaan itu pasti adalah penamat yang paling mempersonakan.