BLOG DUKE AMIENE REV

Sabtu, September 15, 2007

Melayang-layang Dalam Lucid Dream, Susah bangun tidur kerana Paralysis Dream

Sungguh seronok hidup ini, jika salah satu lumrah manusia ialah berkeupayaan untuk terbang. Aku tidak pasti, ini kali ke berapa aku bermimpi, boleh terbang melayang-layang dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Terbang dengan pantas dan bebas.

Mimpi melayang-layang dengan kawalan diri ini sudah menjadi permainan mimpi sejak dahulu lagi, sudah berbelas-belas tahun lamanya.

Apa yang menarik mengenai keupayaan terbang di dalam mimpi ini, ialah aku berupaya terbang hampir dalam kesemua mimpi yang dialami. Mimpi-mimpi ini pula seolah-olah benar, dan kebanyakan masalah yang wujud di dalam mimpi, dapat diselesaikan, seolah-olah aku mengawal mimpi.

Pernah juga beberapa ketika, aku mengalami keadaan tanpa mimpi, tidur malam yang sentiasa gelap tanpa bayangan atau imaginasi. Juga pernah juga aku mengubahsuai mimpi yang menyeramkan menjadi mimpi yang baik-baik.

Pendek kata, mimpi boleh dikawal sekiranya kita mahu. Mimpi yang boleh dikawal dan diubah ini pula dipanggil lucid dream. Aku tidak pasti pula istilah dalam Bahasa Melayu.

Antara laman web yang banyak membincangkan mengenai lucid dream ini ialah laman web www.lucidity.com atau klik di sini.

Ada beberapa jenis mimpi yang tidak dapat dikawal. Bagi aku, mimpi yang seperti ini, mempunyai maksud atau berita tertentu, yang kemudiannya menjadi kenyataan pada kemudian hari. Antara mimpi-mimpi ini, termasuklah kematian kawan-kawanku, dan juga peristiwa tsunami yang berlaku beberapa tahun lepas. Mimpi-mimpi ini tidak dapat kuubah.

Pernahkah antara kita yang berasa susah hendak bangkit, terasa berat badan, tengkuk atau tangan apabila hendak diangkat. Keadaan ini dipanggil sebagai sleep paralysis. Kadangkala, ada juga sesetengah orang beranggapan ini sebagai kes ditindih jin. Tolong, jin tindih saya!

Masalah untuk mengatasi kes ditindih jin ada diceritakan di laman web wikihow.com atau klik di sini.

Apa pun, bagi aku, mimpi berkeupayaan untuk terbang ini adalah lambang kebebasan.