BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, September 02, 2007

Bagaimana Mencari Penaja Untuk Program Ini?

Kemerdekaan masih terasa bahangnya. Hujan masih terasa dinginnya. Program KBT beransur-ansur menemui rentaknya. Aku ingin mencari penaja untuk program ini. Aku ingin mengadakan pertandingan khas, untuk menyuntik semangat ke dalam semua ahli kumpulan belajar dalam program ini.

Matlamat program ini adalah untuk mencapai 100% Keputusan Baik dan Gred E Sifar (tidak ada yang gagal!). Selama beberapa minggu ini, aku telah berusaha, mengorbankan masa kehidupanku untuk merancang dan melaksanakan tugas-tugas penting bagi menjayakan program ini.

KBT-KITAB adalah perjuanganku. Bermula daripada KITAB - Fasa 1, kemudian KBT-KITAB (KITAB2 - Fasa 3). Program ini adalah hadiah terakhir yang aku mahu sampaikan untuk generasi baru di IPTA ini. Sebuah program lengkap yang mengatur kecemerlang akademik dan kegemilangan sahsiah. Kemahiran generik.

Usaha untuk menyempurnakan program ini, telah memakan banyak tenaga, keringat, air mata dan darah. Ya, darah. Pada awal perlaksanaan program ini, aku berjalan terlalu banyak, dari jarak yang jauh, memberi tekanan kepada kakiku. Barangkali kasut itu terlalu ketat? Sehingga akhirnya aku terpaksa berjalan menggunakan selipar, dengan darah yang menitis dari kaki.

Aku harap pendarahan ini tidak akan berlaku lagi. Aku tidak mahu kecederaan mengganggu aku untuk menyempurnakan program ini. Aku sudah mempertaruhkan nyawa aku untuk memastikan program ini berjaya!

Tugas untuk program ini diakui sangat berat. Walau bagaimana pun, inilah perjuangan. Penderitaan yang dialami, depresi, tekanan dan cabaran. Bukan mudah untuk meraih sokongan para pelajar dan para pensyarah.

Apabila melihat ada pensyarah yang sanggup menjadi sukarelawan untuk program ini, bagaikan ada air mata yang mahu mengalir.

Aku mengingati semula rakan-rakan aku dahulu. Ada yang telah gagal dalam pelajaran, malu dan kemudian membawa diri. Ada yang dilanda kesunyian. Ada yang tertekan perasaannya. Ada yang putus asa.

Program ini adalah untuk membantu golongan ini. Golongan ini sajakah? Aku mahu, aku mahu tidak ada seorang pun yang terabai! Program ini memerlukan ramai penyokong, supaya dunia yang aku mahu tercipta, komuniti yang aku mahu wujudkan, kehidupan yang aku impikan akan menjadi kenyataan.

Ini... kehidupanku. Perjuanganku.