BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, September 09, 2007

Aku Dilamar Sebuah Lagi Penerbit

Betapa kasihnya Tuhan kepada hamba-hamba-Nya yang teraniaya. Betapa murahnya rezeki yang Tuhan curahkan kepada hamba-hamba-Nya yang bersyukur. Aku kini diberi satu lagi petanda oleh sebuah penerbit baru dalam bidang penulisan.

Aku tidak tahu daripada siapa mereka mendapat maklumat mengenai diri aku. Sedangkan aku berdiam diri tidak memecahkan privasi diriku kepada orang ramai. Rakan-rakan terdekatku yang pernah menyokong kebenaran hakikat bahawa aku seorang berbakat dalam bidang penulisan, pasti bukan orangnya yang membocorkan rahsia. Mustahil mereka mengetahui atau mempunyai perkaitan rapat dengan mana-mana syarikat penerbitan buku.

Dalam mata hati aku setakat ini cuma ada dua syarikat penerbitan yang mendapat penghormatanku. Biarlah aku rahsiakan dulu dua syarikat penerbitan ini, sebab aku pasti jauhari juga yang mengenal manikam.

Untuk memastikan kewujudan syarikat ini, aku berkunjung ke kedai buku, meneliti sama ada benar-benar wujud atau tidak syarikat ini. Ternyata perkabaran ini benar. Aku lihat rekabentuk buku yang menarik, juga ada di kalangan penulis-penulis bukunya yang merupakan nama cemerlang dalam dunia penulisan.

Kenapa dia sanggup mengambil risiko menjemput penulis yang baru hendak mencipta kehidupannya dalam bidang penulisan seperti aku ini? Menurutnya, dia juga pernah membaca puisi yang pernah aku kirimkan ke sebuah majalah terkenal tempatan pada enam tahun yang lalu. Puisi itu ringkas, tetapi isinya mantap dan membawa erti. Penghayatan individu ini cukup mendalam. Dia sempat mengulas karya puisiku, seolah-olah mahu meyakinkan aku bahawa dia sangat mengutamakan kualiti setiap penulis yang dijemput untuk menulis di bawah syarikat penerbitannya.

Barangkali inidividu ini adalah seorang editor yang berpengalaman. Atau dia mempunyai perkaitan dengan mana-mana penulis yang aku kenal sebelum ini? Biarkan dulu.

Aku amat menghormati dia kerana, penghormatan yang diberikannya kepada aku. Dia akan mendapat peluang itu nanti. Buat masa ini biarlah aku menumpukan perhatian untuk penerbit-penerbit yang sedia ada.

Bak kata, jangan kerana guruh di langit, habis air setempayan dicurahkan. Ini barangkali, satu bentuk ujian daripada-Nya. Alhamdulillah.