BLOG DUKE AMIENE REV

Khamis, Julai 26, 2007

Syurga Tetap Di Bawah Tapak Kaki Ibu

Saya masih ingat satu kisah di Tanah Arab, mengenai seorang anak yang ingin pergi melanjutkan pelajaran di sebuah negeri yang jauh, tetapi tidak mendapat restu ibunya. Si anak walau bagaimana pun tetap berdegil dan tidak mengendahkan larangan ibunya yang sudah tua.

Pada suatu ketika, si anak itu sedang tekun mendalami ilmu agama di sebuah masjid, datanglah seorang pencuri berlari menyusup ke dalam masjid itu. Kebetulan mereka berpakaian hampir serupa. Si pencuri itu kemudiannya berlari keluar dari masjid itu mengikut arah yang lain.

Tiba-tiba datang sekumpulan orang, pengejar-pengejar pencuri, lalu menemui anak itu di dalam masjid. Anak itu ditangkap, dipotong kedua belah tangan dan kakinya, lantaran dituduh sebagai pencuri dan perompak.

Akhirnya, para penghukum tersedar mereka telah tersilap orang. Nasi sudah menjadi bubur, anak itu akhirnya dibawa pulang ke rumahnya. Ketika itu ibu tua yang sudah rabun matanya tidak lagi dapat mengenali si anak kerana rupanya seperti mengemis.

Si ibu menghulurkan sekeping roti untuk si anak yang disangkanya pengemis. Si anak yang masih mengecam ibunya lantas memanggil ibunya. Lalu, gentarlah hati si ibu melihat anaknya yang sudah menjadi cacat sedemikian rupa.

Si anak yang masih menderita kesakitan meminta ampun kepada ibunya, lalu dengan hati yang sedih, luka dan derita, si ibu mengampunkan si anaknya.

Lantaran tidak sanggup melihat si anak menanggung derita, serta memikirkan kesusahan yang bakal dihadapi, si ibu berdoa kepada Tuhan agar penderitaan mereka berdua ditamatkan. Lalu dicabut nyawa kedua-duanya.

Moral: Walau pun kita berniat untuk melakukan sesuatu perkara kebaikan, restu ibu itu tetap penting. Jika si ibu tidak redha, maka pasti kita akan ditimpa kecelakaan atau keaiban. Semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita. Amin.