BLOG DUKE AMIENE REV

Ahad, Julai 29, 2007

Battle Of The Band Pada Malam Yang Ngeri

Malam itu, aku begitu menonjol di dalam kelas. Subjek pada malam itu adalah subjek berkaitan dengan logik. Aku bersyukur kerana pada malam itu, aku menunjukkan hasil pembelajaran yang sungguh memberangsangkan. Pensyarah meminta aku ke hadapan untuk menulis contoh jawapan yang kubuat di papan putih.

Subjek pada malam itu ialah subjek Matematik yang tulen. Satu subjek yang dianggap sebagai subjek pembunuh yang amat memeritkan ramai pelajar. Namun aku bersyukur sekali lagi, kerana Tuhan menyenangkan pemahamanku pada malam itu. Pada hari pertama sahaja, aku sudah menjadi perhatian pensyarah kerana berjaya menjawab soalan-soalan Matematik yang sukar. Alhamdulillah.

Pada masa yang sama, aku harus bersiap sedia dengan perjumpaan dengan timbalan-timbalan pengarah dan setiausahaku untuk melaksanakan Program KITAB yang seterusnya. Baru beberapa hari lepas, aku sudah bertemu dengan Penasihat Persatuan dan Imam Desa Bakti. Program ini harus digerakkan secepat mungkin. Menurut maklumat yang aku dapat, ada beberapa orang mahasiswa dan mahasiswi sudah tidak sabar untuk menjadi tutor.

Ah, ya. Malam tadi, selepas tamat kelas, aku sempat menyaksikan Battle Of The Band anjuran sebuah kolej. Belasan buah kumpulan muzik yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi bersaing untuk merebut gelaran juara. Kumpulan 100% wanita, digelar Black Honey mencuri perhatian ramai. Kumpulan Lorong Terbabas muncul juara, manakala Houdinik muncul sebagai naib juara dengan vokalis terbaik. Kumpulan Lorong Terbabas mempamerkan persembahan yang sungguh hebat, dengan barisan gitaris dan pemain drum yang bertenaga. Gitaris Lorong Terbabas muncul sebagai gitaris terbaik.

Namun pada malam itu juga satu kecelakaan berlaku. Pada malam itu, selepas keputusan diumumkan, aku berangkat pulang ke kolej, melalui deretan lampu pelita yang telah padam. Tiba-tiba aku ternampak seekor makhluk, kakinya lebih panjang untuk dikatakan sebagai kucing. Sedang menyelongkar tong sampah yang menutup sebahagian besar badannya.

Anjing! Anjing itu seolah-olah menghalang jalanku. Dia merenungku. Aku berpatah balik, lalu menurut jalan yang lain. Peristiwa serangan dua ekor anjing beberapa tahun yang lalu menyebabkan aku sentiasa berwaspada apabila berdepan dengan anjing. Padahal dahulu, nendaku ada membela dua ekor anjing buat menjaga dusun di kampung. Aku mahu lalu, tetapi anjing itu mahu menghalang.

Tiba-tiba aku terlintas peristiwa kemalangan di suatu tempat baru-baru ini. Aku bergegas meminta anak muridku menelefon ambulan. Pemilik motosikal itu dilanggar kereta hitam sebanyak dua kali. Bahagian depan kereta itu remuk teruk, manakala pemilik motosikal itu selepas dilanggar kali kedua terus terbaring tidak bergerak. Anak muridku tersalah mendail nombor polis, lalu aku terpaksa menjawab banyak soalan sambil berulang-ulang meminta ambulan disegerakan. Menyesal juga kerana tidak membawa telefon bimbit bersama. Telefon bimbit usang itu sudah rosak. Pada malam ini aku terasa lain macam.

Tiba-tiba terdengar bunyi ambulan. Bunyi ambulan itu kurang menyenangkan. Sebenarnya ada sesuatu yang menyedihkan berlaku pada malam atau lebih tepat, pagi itu. Sekitar pukul 1.00 pagi, seorang pelajar Tahun Satu, dari Fakulti Alam Bina, jatuh rebah kerana serangan penyakit jantung. Beliau disahkan meninggal dunia. Jenazahnya disembahyangkan pada waktu Zohor hari ini, dan dibawa pulang ke Kelantan.

Pada usia yang muda, ajal tidak mengenal belas. Al-Fatihah. Petang ini, selepas tamat kelas kuliah, aku menghadiri latihan memanah dengan hati yang hiba.

Tanggungjawab kita... adakah aku akan dapat melaksanakan semua tanggungjawab itu sebelum aku meninggal dunia. Semoga Tuhan mematikan aku dalam keadaan beriman, dan dalam keadaan dijamin ke syurga, dan tidak terjejak atau terbau api neraka.

Amin.