BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, Jun 06, 2007

Zhi Yao Wei Ni Huo Yi Tian - He's a Fool and She's a Mute

Dalam filem Kung Fu Hustle, lakonan Stephen Chow, ada dua watak penting yang menarik. Si bisu yang menjual gula-gula dan si penyangak yang menjadi baik.

Sementara itu, dalam Ghost Rider pula, ada watak pelagak ngeri, jika di Malaysia dia mungkin dipanggil Mat Rempit, yang memburu orang-orang jahat, termasuk para malaikat yang mengkhianati syurga.

Sementara itu dalam filem Jangan Pandang Belakang, terdapat saka yang mengejar pewarisnya. Kemudian muncul pula Waris Jari Hantu dengan kisah saka harimau mencari pewaris.

Stephen Chow mempunyai konsistensi dalam penyampaian ceritanya. Kalau diteliti, Stephen Chow mengangkat kefahaman mengenai Buddha dan Taoisme, yang lebih dipengaruhi menerusi elemen populariti seni mempertahankan diri Kung Fu dari Kuil Shao Lin.

Sementara itu, Hollywood pula boleh bermegah dengan karya-karya komik Marvel dan DC dari Baratnya.

Bagaimana pula dengan Filem Malaysia? Filem Malaysia seakan-akan sudah menemui rentaknya, menerusi filem-filem masa kini yang lebih berindentitikan kebudayaan mistik dan sejarah Melayu. Lombong ilham, lubuk kreativiti filem Melayu sudah pun terbongkar.

Filem-filem Malaysia seperti Pontianak Harum Sundal Malam, Puteri Gunung Ledang, Jangan Pandang Belakang dan Waris Jari Hantu mengangkat tema mistik dalam kebudayaan Melayu. Namun begitu, Mukhsin karya sutradara Yasmin Hamid masih unggul dengan tema cinta dan aspirasi terhadap budaya harmonis dan liberal. Afdlin Shauki juga membawa tema budaya luar yang diselamkan ke dalam jiwa Melayu, namun tema Afdlin masih tidak lari dari tema terhidrat, iaitu tema orang 'besar'.

Tidak kira Yasmin Hamid, Ahmad Idham atau Suhaimi Baba, perkara yang menjadi kesatuan, tampak paling menarik dalam menghasilkan filem ialah sinematografi. Jurukamera Malaysia tidak lagi malu-malu untuk memegang kamera, visual yang dihasilkan kini lebih hidup, asertif dan simulasi.

Kebangkitan pakar-pakar animator, pakar CGI dalam arena perfileman seperti Cicakman, yang dirintis oleh Yusry KRU membangkitkan lagi semangat karyawan, lalu lahirlah beberapa karya berunsur parodi superhero menerusi drama-drama tempatan. Namun, kehadiran drama Susuk, hasil kreativiti asal daripada penulis Nizam Zakaria, yang dahulunya banyak menghasilkan e-buku novel percuma untuk dibaca, membuahkan hasil. Sekali lagi elemen mistik menguasai karyawan media elektronik tempatan.

Tema mistik dan penggunaan CGI, menjurus semangat filem Malaysia ke arah pengkaryaan filem global.

Jadi apa kena mengena lagu yang saya mainkan dalam entri ini dengan apa yang saya tulis dalam entri ini. Oh, tidak ada kena-mengena, sebab saya sedang menyiapkan sesuatu untuk masa depan. Jadi, tiba-tiba saya teringatkan sesuatu, dan lagu ini merupakan album sonik, mengenai memori dan kenangan pada masa silam.