BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, Jun 25, 2007

Kajian Yang Memedihkan Tetapi Penting

Orang kata, budak-budak zaman sekarang sukar dikawal. Orang kata, kanak-kanak paling susah untuk diajar di dalam kelas. Orang kata, lebih senang mengajar remaja berbanding mengajar kanak-kanak.

Aku mencipta hipotesis. Mengkaji kebenaran kata-kata ini. Untuk beberapa minggu pertama, aku mengajar seperti biasa. Kemudian, aku merendahkan tahap kawalan dan ketegasan dalam pengajaran secara berperingkat untuk melihat apa yang akan berlaku.

Pada tahap tertentu, pelajar mula mendapat 'kunci' untuk berlaku nakal lagi 'comel' di dalam kelas. Dengan membiarkan keadaan ini, aku membiarkan pelajar-pelajar 'naik kepala' untuk beberapa ketika. Kemudian, aku mengkaji tahap keberkesanan pengajaran, melihat hasil pembelajaran.

Malam ini, aku meningkatkan tahap ketegasan kepada tahap yang asal. Hasilnya amat memuaskan. Di sini, aku dapat lihat perkaitan antara perlakuan pembelajaran dengan hasil pembelajaran. Kajian ini memang memedihkan, namun seperti apa yang aku pernah catatkan dulu.

Di asrama, aku adalah kawan atau ayah kepada murid-murid aku, di sekolah, aku adalah seorang guru yang tegas. Kajian ini memedihkan hati, sebab aku harus menahan perasaan simpati melihat murid-murid aku, terkejut melihat guru mereka kembali ke tahap asal.

Ada yang kelihatan seolah-olah hendak menangis, namun, sebagai seorang guru, aku harus tetap dengan pendirian aku. Hasil kajian ini sungguh menyenangkan. Seterusnya, aku mahu lihat, dalam beberapa hari ini, apakah peningkatan yang dapat dilihat dalam diri pelajar-pelajar ini.

Aku harus mengekalkan tahap perlakuan pelajar dalam pembelajaran pada tahap ini untuk beberapa minggu, kerana ada hasil pembelajaran yang perlu ditingkatkan dengan menggunakan tahap perlakuan pelajar pada peringkat ini.

Aku berpegang pada pendapat aku sejak dulu, bahawa guru yang menguasai ilmu psikologi, adalah raja dalam dunia pendidikan. Dia berupaya mengawal seorang atau seluruh dunia, dan dari titik inilah lahirnya pemimpin-pemimpin dunia... dari keringat seorang guru dan dengan izin Tuhan Yang Maha Esa.