BLOG DUKE AMIENE REV

Selasa, April 17, 2007

Telefon Bimbit dan Kesannya ke Atas Evolusi Toyol dan Lebah

Sebelum ini negara kita dikejutkan dengan kehilangan Nazrin atau Yin. Sekarang, di London pula, ada saintis yang memberi amaran bahawa penggunaan telefon bimbit adalah punca berjuta-juta lebah hilang dan tidak kembali ke sarangnya untuk membantu proses pendebungaan, satu fenomena yang bermula di Amerika Syarikat dan kini dilaporkan di benua Eropah.

Teorinya ialah radiasi dari telefon bimbit mengganggu sistem pemanduan lebah yang menghalang spesies yang dikenali amat menyayangi sarangnya, menemui jalan balik. Ia mungkin kelihatan mustahil tetapi bukti sudah menyokong teori itu.

Gangguan Keruntuhan Koloni (CCD) berlaku apabila lebah yang menghuni sarang tiba-tiba hilang, cuma meninggalkan ratu, telur dan lebah kurang matang. Lebah yang hilang tidak ditemui semula dan dianggap mati jauh dari sarang.

Parasit, hidupan liar dan lebah lain yang selalunya menyerbu tinggalan madu dan debunga apabila koloni mati juga enggan mendekati sarang yang ditinggalkan.

Sementara itu, kita juga dapati, toyol yang biasanya berwarna hijau telah berevolusi ke warna kuning dan dengan struktur badan yang lebih besar. Toyol kuning, yang merupakan genetik baka baru, merupakan spesies toyol yang tidak agresif, agak bersopan santun, nekad dan tidak materialistik.

Lebah juga mengandungi warna kuning yang berbelang-belang di badannya. Adalah dipercayai, lebah mungkin melihat toyol-toyol kuning ini lalu berasa takut dan hilang arah tujuan. Kemunculan toyol memberi kesan dari segi emosi para lebah yang rajin dan menyebabkan amnesia lebah iaitu sejenis penyakit di mana lebah mengalami kehilangan memori yang disebabkan oleh kesan magnetik.

Kesimpulannya, penggunaan telefon bimbit menyebabkan kesan rumah kuning.

SUMBER: BERITA HARIAN
Nota: Kenyataan bertulisan tebal yang berwarna agak kehijau-hijauan itu adalah karut!