BLOG DUKE AMIENE REV

Rabu, April 04, 2007

ULASAN BLOG: Perjalanan Hidup Si Oren

Sudah lama aku tidak mengulas blog. Dahulu, aku berjanji akan mengulas blog si Mr.Kay ini. Jadi hari ini, aku menggunakan sedikit masa lapang aku untuk mengulas blog beliau. Kay, nampaknya dah sembuh dan sihat walafiat. Alhamdulillah. Dah dapat berlakon teater. Baiklah, biar aku tukar ke mod pengulas blog dan dengan itu secara automatik aku menukar penggunakan kata ganti diri 'aku' kepada 'saya'.

Blog www.orange4k.com ini digerakkan di atas pelantar dakwat digital yang dikenali sebagai wordpress.com.

Saya mengagumi wordpress, kerana keindahan rupa dan rekabentuknya. Saya menyukai wordpress kerana fungsinya yang hebat. Namun, saya tidak jatuh cinta dengan wordpress kerana ketidakfleksibilitinya dari segi wakaf. Ha!Ha!

Kembali kepada blog Mr. Kay. Saya cuma akan mengulas beberapa elemen sahaja dalam blog beliau, memandangkan kriteria baru untuk mengkritik blog kini sudah berubah. Apa yang penting kepada seorang pembaca, dan apa yang tidak penting kepada seorang pengunjung blog? Itu perkara yang akan saya titik beratkan dalam ulasan saya untuk blog-blog akan datang.

Tema blog sememangnya tidak dinilai. Sebab itu adalah hak ekslusif penulis blog itu sendiri yang tidak perlu saya usik. Penulis blog bebas menulis apa sahaja di dalam blognya, tetapi ada perkara-perkara tertentu yang menjadi hak bersama. Hak bersama ini boleh jadi teladan, inspirasi, ilmu dan pandangan yang menjadi tanggungjawab setiap manusia untuk mematuhinya. Mr. Kay lebih banyak menulis mengenai catatan peribadi beliau di dalam blog ini. Sebabnya, seperti tajuknya, ini adalah blog catatan peribadi.


1. Bahasa: Rojak (2/5)
Bahasanya sekejap indah, sekejap buruk. Ejaan banyak yang salah dan melanggari prinsip-prinsip kewarasan penulisan. Namun, saya bangga sebab Mr. Kay terlibat dalam memberi sumbangan terhadap kebudayaan Melayu menerusi teater.

Cuba bayangkan kalau Tun Perak bercakap dalam bahasa rojak dan rosak sebegini kepada Sultan: "Yo! Twengku! Wassup!"

Mahu dibuang negeri agaknya. Ha! Ha!

Berbalik kepada ulasan. Blog ini akan bertambah menarik, apabila bab-bab teater itu ditulis dalam Bahasa Melayu Tinggi. Kebudayaan dan bahasa. Nampak penghayatannya.


2. Rekabentuk: (4/5)
Rekabentuknya menarik. Fungsi-fungsi carian isi kandungannya bagus. Kombinasi warna merah, putih dan kelabu menampakkan profesionaliti blog ini.

Kekurangan pada blog ini cuma di bahagian jaringan blogger. Saya melayari blog ini dengan menggunakan Internet Explorer dan Mozilla Firefox, didapati tidak ada apa-apa perbezaan dari segi kecacatan pada latar belakang di bahagian jaringan blogger. Sekiranya kecacatan itu dibaiki, secara automatik markah rekabentuk akan berubah dari 4 ke 5.

Dari segi kelancaran, setakat ini saya rasa blog ini lebih baik daripada blog saya. =.=" Isi-isi penting dapat dibaca dengan cepat apabila kita mula-mula melayari blog ini.

Apabila merekabentuk blog saya, saya mengutamakan isi penting, iaitu pos atau entri yang tersiar, supaya tersiar terlebih dahulu. Bahagian-bahagian sampingan yang lain seperti audio, jaringan blog dan sebagainya adalah perkara kedua.


3. Penyampaian: (4/5)
Blog orange4k.com ini mengandungi elemen grafik yang cantik sebenarnya. Setiap entri dihiasi dengan imej-imej tertentu. Walau pun imej-imej tersebut kadangkala tidaklah terlalu berkaitan, atau simbolik terhadap entrinya, namun ada penceritaan atau nota ringkas yang menerangkan apa yang sedang berlaku di dalam gambar tersebut.

Mesej peribadi yang disampaikan di dalam blog ini kebanyakannya berbentuk pandangan beliau terhadap dirinya sendiri. Boleh dikatakan sebagai muhasabah diri dan nilai-nilai kehidupan yang beliau lihat, dengar dan rasai.


4. Isi Kandungan: (4/5)
Lebih kepada catatan peribadi. Namun ada juga pandangan dan cadangan yang dikaitkan berkaitan permasalahan atau isu yang sedang atau telah dilalui. Tidak dibiarkan tergantung begitu saja. Ini sesuatu yang bagus dan memotivasikan.

Saya suka membaca blog, di mana terdapat penulis yang bercerita mengenai masalah hidupnya, dan kemudian membuat strategi atau langkah-langkah penyelesaiannya. Sekurang-kurangnya apabila kita membaca blog tersebut, tidaklah kosong jiwa kita.

Ada sesuatu yang boleh kita jadikan sebagai pengajaran, teladan dan sempadan selepas kita melangkah pergi dari blog tersebut.


5. Potensi: (5/5)
Secara umumnya, penulis blog ini mempunyai motivasi dari aspek rekabentuk blognya. Ada nilai-nilai di dalam blog ini yang saya lihat sebagai usaha penulis blog ini untuk memajukan lagi blognya. Contohnya, blog ini hidup dengan rempah-ratus sampingan seperti rangkaian jaringan blog, ruangan dedikasi (terima kasih kerana meletakkan saya di bahagian yang bernama Special), fungsi carian, ruangan komentar dan sebagainya. Kita dapat lihat penulis menjaga blognya dengan baik, biarpun sibuk dengan tugas-tugas harian dan terpaksa berpergian.


Penilaian Gred
= (Bahasa + Rekabentuk + Penyampaian + Isi Kandungan + Potensi) x 4
= (2+4+4+4+5) x 4
= (22) X 4
= 76%

= Gred B+


Umum: Saya dapati ada juga penulis blog yang mematikan fungsi komentar. Itu hak peribadi mereka. Namun ada baiknya jika medan penulisan blog ini juga dijadikan medan perbincangan yang sihat. Penulis menulis idea dan pandangan mereka berkaitan dengan pelbagai tema, kehidupan, percintaan, intelektual, politik, psikologi, pergaulan, pekerjaan dan sebagainya.

Bercakap soal pekerjaan... Ya! Satu lagi blog yang telah saya janjikan untuk menjadi hidangan pengulasan blog saya. Siapa dia? Kita nantikan ulasan blog tersebut...