BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, April 09, 2007

SEKOLAH KLUSTER: Sudah tiba masanya para pendidik menunjukkan kreativiti dan kehebatan masing-masing!

Guru adalah pemimpin, guru adalah pendidik, guru adalah pemikir, guru adalah pengarah, guru adalah pelakon, guru adalah fasilitator, guru adalah ibu bapa, guru adalah pengurus, guru adalah wakil rakyat, guru adalah rakan, guru adalah kaunselor, guru adalah jurulatih, guru adalah segala-galanya dalam pembentukan modal dan sumber manusia yang cemerlang pada masa akan datang.

Sekolah kluster tidak akan membebankan rakyat atau pentadbiran sekolah, kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sekolah), Alimuddin Mohd. Dom.


Prinsip asas sekolah kluster ialah mengelakkan elitism – dengan semua pihak akan berada dalam ‘padang permainan yang sama’.

‘Kluster’, katanya ialah sebuah sekolah terbaik daripada setiap kategori sekolah, yang akan dipilih dan diberi kuasa autonomi, walaupun sekolah itu dalam kategori pendidikan khas, pedalaman atau sekolah Orang Asli.

‘‘Walau pencapaian sekolah Orang Asli rendah berbanding sekolah berasrama penuh, tetapi kita tidak akan menganaktirikannya dan tetap akan ada sekolah kluster Orang Asli,” tegas beliau.

Menurut Alimuddin, perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan kedudukan sekolah kluster dalam hierarki sekolah sebagai ‘terbaik dalam kalangan yang terbaik’.

‘‘Kalau ia kluster sekolah berasrama penuh, maka sekolah yang terpilih itu adalah yang terbaik dalam kalangan sekolah berasrama penuh di Malaysia,” katanya.

Beliau seterusnya membayangkan contoh sekolah kluster di pedalaman yang mungkin hanya sebuah, atau beberapa deretan bangunan papan, tetapi ada pelajarnya yang mencapai kejayaan sehingga ke peringkat daerah, negara atau antarabangsa.

Kuasa autonomi yang akan diberikan turut diperluaskan kepada penjadualan waktu harian.

‘‘Sekadar contoh, sekolah kluster boleh memulakan persekolahan pada pukul 8 pagi, tetapi mesti balik lewat sedikit supaya cukup jam mata pelajaran,” katanya.

Tentang pendekatan pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah kluster, Alimuddin meletakkan pihak sekolah sebagai penentu hasil pembelajaran, dan terpulanglah kepada sekolah itu bagaimanakah untuk mencapainya.

‘‘Kalau sebelum ini guru kerap mengadu yang mereka terikat kepada sesuatu pendekatan P&P, maka pada kali ini kita serahkan kepada kreativiti mereka,” ujarnya.

Dalam senario di sekolah kluster, Alimuddin memberitahu, pengetua atau guru besar akan bertindak sebagai pengurus kurikulum. Pentadbir boleh mentadbir berdasarkan pendekatan pengurusan instructional atau lain-lain ilmu pengurusan moden. Beliau juga menolak kemungkinan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) mentadbir sekolah kluster.

Malah, pengaruh kuasa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidi Negeri (JPN) turut dikecilkan apabila pihak sekolah diberi kuasa autonomi tertentu kelak.

Ditanya sama ada perlu dilakukan penggubalan kepada kurikulum di institut perguruan supaya menjurus kepada keperluan sekolah kluster, Alimuddin berkata, perkara itu tidak perlu dilakukan.

Katanya, Bahagian pendidikan Guru (BPG) akan memberikan latihan kepada bakal guru Sekolah Kluster, sementara pengetua dan guru besar akan tetap mendapat latihan khusus di Institut Aminuddin Baki - seperti mana sebelum ini.

Tentang pelantikan guru atau pengetua, hal itu akan diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kata Alimuddin.

Menurut beliau, pentadbir sebuah sekolah kluster perlu merancang, menetapkan sasaran dan tahu bagaimana menyediakan kertas cadangan bagi sasaran pencapaian sekolahnya.

Pihak sekolah sendiri yang akan menetapkan sasaran untuk dicapai, dan bagaimana hal itu hendak dicapai, ujar Alimuddin.

Bagi pihak Kementerian Pelajaran satu terma rujukan dan jaminan kualiti akan menjadi petunjuk yang mengiringi proses mencapai matlamat itu.

Kata beliau, jika idealisme konsep kluster tercapai, maka sekolah terpilih ini mesti bertindak membimbing sekolah di sekitarnya, khususnya yang di bawah kluster yang sama untuk bersama-sama meningkatkan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan nilai.

Beliau tidak menafikan bahawa kemungkinan yang akan berlaku ialah sekolah harian biasa dalam kluster yang sama akan menandingi sekolah kluster terpilih dalam bidang akademik dan kokurikulum.

‘‘Sebab itulah pada tahun ini kita lantik 300 buah dahulu, dan bakinya selepas itu adalah berdasarkan permohonan terbuka daripada pentadbir sekolah yang layak diangkat sekolah mereka menjadi sekolah kluster,” katanya.

Mengulas tentang pelbagai cadangan serta andaian yang agak berlebih-lebihan tentang sekolah itu, Alimuddin menegaskan bahawa ia tetap sebuah sekolah kebangsaan yang diberi beberapa autonomi untuk menjadi sekolah yang berada dalam kelasnya tersendiri.

Tegas beliau, sekolah kluster diikat dengan akta, peraturan kerajaan serta pekeliling. ‘‘Walau diberi autonomi, tetapi ia masih terikat (kepada undang-undang) untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa,” ujarnya.

Beliau menegaskan demikian kepada Utusan Malaysia selepas Bengkel Autonomi Sekolah Kluster di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Pada akhir bengkel itu, pernyataan autonomi dibahagikan kepada cabang kurikulum, kokurikulum, pengurusan sekolah, pengurusan kewangan dan fizikal serta pengurusan sumber manusia.

Bengkel disertai oleh warga sekolah serta pegawai Kementerian Pelajaran, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan alumni sekolah.

Aspek autonomi dalam kurikulum mencakupi cara penyampaian kurikulum, cara penilaian pembelajaran murid/kemajuan, cara laporan kemajuan murid, penjadualan waktu belajar/interaksi pembelajaran, tempoh masa pelaksanaan kurikulum, mata pelajaran peperiksaan kebangsaan (mata pelajaran selain mata pelajaran teras kurikulum kebangsaan) dan sebagainya.

Aspek kokurikulum pula mencakupi autonomi jenis kokurikulum yang dipersetujui PIBG, pemilihan penyertaan aktiviti kokurikulum, penjadualan masa pelaksanaan, bentuk penilaian dan laporan, pemilihan jurulatih dan sebagainya.

Bengkel turut membincangkan tentang autonomi dalam pengurusan sekolah yang mencakupi isu pengurusan inovatif, khidmat sokongan, instructional leadership dan sebagainya, serta pengurusan sumber kewangan dan sumber fizikal yang mencakupi pelbagai hal termasuk dana sekolah.

Turut disentuh ialah autonomi daripada perspektif sumber manusia, yang mencakupi;

  1. pemilihan guru
  2. penentuan sistem latihan
  3. pemilihan dan pembangunan pemimpin pelapis
  4. pemilihan sejumlah murid baru berasaskan niche areas
  5. perkongsian kepakaran dalam kluster dan antara kluster, dan sebagainya.

Beliau mengingatkan bahawa matlamat utama penubuhan sekolah kluster ialah membangunkan modal insan sehingga ke satu kelas tertentu.

Modal insan, kata Alimuddin mengandungi tiga elemen yang asas iaitu ilmu (kemahiran akademik), kemahiran (soft-skill) dan nilai.

Katanya dalam melaksanakan segala agenda sekolah kluster, pengetua yang bakal terpilih nanti tidak boleh memberi alasan ‘‘tak boleh’' jika berdepan kesukaran. ‘‘Mereka kena fikir,” ujarnya.

ULASAN: Pengetua mesti berdikari untuk memajukan sekolah kluster, bersepakat dengan para guru dan kakitangan sekolah untuk menghidupkan sekolah kluster yang diamanahkan.

SUMBER: www.utusan.com.my