BLOG DUKE AMIENE REV

Isnin, September 25, 2006

Perkataan-perkataan Dalam Teknik Acuan Ayat Amiene Rev

Teknik Acuan Ayat yang akan diperkenalkan oleh Cikgu Amien kepada anda ini merupakan satu kaedah yang akan membantu para pelajar untuk membina ayat yang menarik dibaca dengan mudah.

Sebelum ini, Cikgu Amiene Rev telah pun menunjukkan contoh-contoh acuan ayat yang boleh digunakan dalam membentuk ayat karangan. Kali ini kita akan lihat pula perkataan-perkataan yang menarik untuk digunakan sebagai perkataan tidak malar (boleh diubah) dalam acuan ayat.

Tajuk dan tema yang dibincangkan menerusi entri-entri di sini adalah secara rawak. Namun begitu, para pelajar boleh merujuk pada acuan ayat yang digunakan untuk membentuk ayat bagi karangan yang berlainan tajuk dan temanya. Kali ini Cikgu Amien akan membentuk ayat bagi tajuk yang berkaitan dengan kepentingan mata pelajaran Komsas (Komponen Sastera).


KEPENTINGAN MATA PELAJARAN KOMSAS

Komsas dapat memasyarakatkan budaya sastera kepada generasi baru yang bakal mewarisi generasi terdahulu.

Ulasan: Perkataan memasyarakatkan adalah perkataan yang menarik.


Komsas bakal melahirkan generasi Malaysia beracuan baru yang bukan sahaja terampil dalam bidang sains dan teknologi tetapi juga terampil dari aspek sahsiah dan moral.

Ulasan: Perkataan beracuan baru digunakan dalam konteks yang sesuai. Perkataan terampil pula sinonim dengan perkataan menonjol. Pelajar harus bijak mempelbagaikan istilah dan perkataan yang digunakan seperti contoh ayat di atas.


Ibarat orang bertatih, kemudian berjalan dan berlari, Komsas dapat merapatkan generasi muda ke satu tahap pertumbuhan insan yang lebih memahami dan menghayati dunia persekitarannya.

Ulasan: Ayat kali ini menggunakan kiasan. Mempelbagaikan gaya penulisan merupakan salah satu ciri yang perlu ada dalam penulisan karangan di peringkat SPM.


Komsas akan mendekatkan alam pelajar yang kian dewasa kepada sejarah perkembangan sastera tanah air dan perkembangan pelbagai ilmu lain.

Ulasan: Ayat tidak perlu terlalu bombastik. Ayat karangan yang baik adalah bersifat bersahaja tetapi jitu dalam penyampaian mesejnya.


Komsas berkeupayaan membentuk warga sekolah yang kaya dengan budi bahasa, bermaruah, berkeyakinan, amanah, jujur, ikhlas dan sentiasa siaga dengan hal buruk yang boleh menyesatkan.

Ulasan: Pelajar perlu kritis dan bersifat analitikal dalam membina ayat yang mengandungi banyak istilah. Elakkan pertembungan makna.


Komsas membina hobi membaca.
Ulasan: Kadangkala perkataan yang sesuai di dalam ayat yang ringkas sudah cukup untuk menerangkan maksud sesuatu perkara. Namun, pastikan ayat sebegini disokong dan dihurai dengan lebih jelas menerusi ayat-ayat seterusnya.